Pantulan F/01/24/2017: Hakikat hamba
Alam nan terbentang bersaujanaan ini sentiasa berupaya mendetikkan insan mengilahaminya untuk menjelmakan sesuatu. Dalam kes Djazlam Zainal, beliau menimbulkan kehebatan ciptaan Ilahi itu dengan seolahan sajak berseri berjudul “Mata Yang Menatap”, (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Bil. 6 [Jun] 2017, muka surat 70. (Walaupun tiada kaitan apa pun, tiba-tiba sahaja, aku teringat sebuah judul filem Argentina/Sepanyol, “Secret in Their Eyes” (2009). Ia sebuah filem yang hebat, yang difilemkan semula sebagai sebuah filem Amerika pada 2015. Kebetulan pula, Djazlan mempelawaku menyukai “Panggung Seni Tradisional 2017” hari ini (13 September).
Ya, sewajarnyalah diakhiri analisis dengan kebenaran pemahaman. Bahawa, semuanya akan berakhir dengan rumusan iaitu yang berkuasa itu ada, dan Dia adalah Yang Maha Besar. Ini selaras dengan kepercayaan kita selama ini, penganut Islam yang suci. Tidak boleh disimpulkan selainnya.
Hanya, seharusnya tidak semestinya dalam sunyi, ‘… sepi dan … sendiri ..’ sahaja keagungan Allah SWT itu hadir kerana dalam kebingaran pun minda harus tidak mengabaikan kewujudan-Nya. Tidak kira dimana-mana, juga meliputi kebila-bilaan waktu-waktunya. Pancaindera yang dikurniakan itu alangkah bermanfaatnya jika sentiasa dirangsangkan untuk kebaikan semata-mata.
Diakui, dalam suasana atau fenomena yang sama, tidak pula semua orang mampu menghayati dengan ketajaman yang serupa. Bahkan, untuk merakamkannya pun, tidak semua orang berupaya menggandakan kesan atau impaknya kepada pembaca. Oleh sebab itu, aku menghargai keupayaan sesiapa, dalam kes ini, Djazlam Zainal, mempersembahkan fenomena alam itu sepadat-padatnya dengan balutan bahasa yang serba kena pula. Aku lagi-lagi suka kerana ciptaan ini demikian positif menjunjung kebesaran Yang Maha Esa. Sungguh insan ini cumalah hamba Penciptanya.
No comments:
Post a Comment