Rapuh 23
D bercadang ke Kelapa Gading. Kawannya memperakui Sop Konro Karebosi. Ia mengangkat restoran itu sebagai lokasi sop yang terbaik di Jakarta. Elok juga! Apa salahnya ke situ. Masa memang terluang. Dengan Grab tidak sukar dijengah (Rp 34,000). Perjalanan kami pada pukul 6 petang tidaklah diganggu kesesakan trafik. Dari Red Planet ke restoran di Jalan Boulevard Raya itu tidak pun sampai setengah jam. Ia melalui lebuhraya dan juga jalan sempit kawasan kediaman. Barangkali jalan pintas digunakan oleh pemandu.
Ketika kami tiba, hari masih cerah. Restoran itu terletak pada aras yang lebih tinggi daripada jalanraya. Untuk memasukinya kami mendaki beberapa anak tangga. Dalam restoran ada beberapa meja sedang dilanggani. Ada yang baharu sahaja dihidangkan pesanan dan ada pula yang bersedia meninggalkan restoran itu. Dalam restoran itu ada belasan meja yang panjang kerana disusun bersambungan. Kalau diasingkan setiap meja boleh menampung empat orang.
Kukira untuk makan malam waktu itu masih awal. Banyak lagi meja yang kosong. Kami mengambil satu meja berhampiran dapur. Tetapi ia terhadang oleh aluminium yang sedikit tinggi sekali gus melindungi aktiviti penyediaan makanan. Dapur ini paling hadapan mengadap ke jalanraya. Ya, ruang dapur itu di bibir kaki lima restoran. Bukan terletak di belakang seperti lazimnya pada kebanyakan restoran.
Pelayan remaja lelaki restoran segera tiba memberikan menu. Kami pun segera membuat pesanan. Tiada banyak masa diambil untuk meneliti menu. Memang tujuan utama kemari untuk ‘merasa’ atau ‘menilai’ sop yang dipersohorkan itu. Tiada makanan lain seperti nasi atau roti dipesan mengiringinya. Bersama-sama minuman teh o panas tawar lengkaplah pesanan. Semula lagi, kami tidak bercadang memberati perut.
Sambil itu di sebelah kami sekeluarga 6-7 orang baru tiba. Mereka semuanya orang-orang dewasa. Boleh jadi sekelompok anak beranak termasuk menantu. Dari perawakan dan gaya, mereka kelihatan dari keluarga lokal yang senang. Bahasa Indonesia yang digunakan dapat pula difahami mudah. Dari pesanannya ternyata mereka benar-benar datang makan malam. Kedengaran pesanan mereka tidak seringan berbanding kami.
Kami tidak perlu menunggu lama. Sop itu disediakan di dapur di depan mata. Ada tiga pekerja ligat bertugas. Mereka mungkin ada pengkhususan masing-masing. Asap meruap dan bau ramuan menyemarak.
Sebaik tiba hidangan itu terus kami tumpui. D sangat teruja oleh ‘kow’ kuahnya. Memang ia tidaklah berkurang apa. Dengan tiga ketul tulang berbalut daging yang agak tebal berkuah pekat kehitaman berempah melimpah ia membangkitkan selera. Mudah sahaja untuk dihabiskan. Pun, aku tidak pula boleh menganggap rasanya sampai tidak ada pesaing lain setaranya!
Kami berada di restoran itu sekitar 45 minit. Aku membayar harga makanan tadi di kaunter. Terus kami melangkah keluar. Hari sudah gelap. Aku turun ke aras jalanraya dan berdiri memperhatikan sekitaran. Kereta Grab yang dipanggil D segera datang. Kami berlepas puas menuju Red Planet (Rp 41,000). Sementara itu, pelanggan-pelanggan baru berdatangan memadatkan ruang restoran.
Makan malam kami belum lagi selesai. Di hotel D bertanyaku sama ada hendak memesan makan malam. Aku tidak berhajat. Tapai singkong yang dibeli di Pasar Baru baru sedikit terusik. Ia memadai sebagai tambahan menggenapi sop konro tadi. D memesan murtabak melalui dalam talian. Katanya dalam setengah jam pesanan akan tiba di lobi hotel. Air Mineral yang dibeli petang tadi bakal menjadikan makan malam kami sempurna.
No comments:
Post a Comment