Saturday, 1 September 2018

Rapuh 6

Rapuh 6
Bukankah seakan tamat sudah ceritanya? Sedangkan, hakikat yang berterusan ialah pukauan itu tidak terhenti.
Sedang Pekanbuku terhegeh-hegeh melengangkan premisnya, aku tetap galak menyelongkar sisa-sisanya. Ikatan-ikatan atau longgokan buku tidak terklasifikasi lagi. Sedikit sahaja masih di rak-rak. Yang lebih banyak berlambakan. Di lantai terletak. Pengunjung tak tegar mungkin patah niat.
Pada tahap kecederaan ini, buku-buku yang dikutip boleh dikategorikan ke dalam beberapa ‘puak’.
Pertama, yang tidak menjadi keutamaan berbanding yang sudah sedia dibeli. Termasuk dalam kategori ini, buku-buku yang kurang bermutu oleh sebab-sebab reputasi pengarang, kualiti kewecanaan, sekadar retorik biasa yang tidak menambah pengetahuan sedia ada.
Kedua, yang harganya dikira mahal sedangkan tanpa dimiliki pun tiada rugi terbabit. Tetapi, diskaun yang lebih lumayan menjadikan terfikir tiada mudarat sehama kalau dimasukkan ke dalam koleksi.
Ketiga, buku-buku yang diakui amat mahal, berilmu dan sampai bila pun tiada akan dibeli tanpa diskaun sebesar itu. Ia lebih sesuai untuk perpustakaan IPT, atau kelompok profesional membina prestasi, dan yang seumpamanya. Jauh sekali buku-buku itu terfikir atau tergamak dimiliki oleh individu, lebih sekadar hiasan, kecualilah segelintir orang seperti aku, yang kemaruk bersangatan.
Keempat, yang bertujuan menyelamatkan ‘taraf’ buku-buku berkenaan lantaran sedih memikirkan secantik itu jilidnya, semunasabah itu harga asalnya, seternama itu pengarangnya, sewajar itu tema atau persoalan yang digarapi, tinggal sesia oleh sikap malas membaca, kemerosotan apresiasi terhadap bidangnya, dan keterujaan sendiri peribadi yang hanya terpuasi dengan satu-satunya cara iaitu memiliki! Pendek kata, membiarkannya tanpa membeli adalah meraikan tragedi.
Aku boleh menambah sedikit lagi rasionalisasi ketagihan ini jika mahu melanjutkannya. Namun, yang sedia tertera dikira memadai.
Maka, kerana itulah ia berlaku. Aku berulang-alik ke Pekanbuku. Mujurlah jarak destinasi dengan rumah tidak jauh. BerKelisa amatlah selesa pula. Parkir pun tidak sukar dan tidak berbayar.
Peluang ini boleh jadi sekali seumur hayat. Apalagi ketika sekarang ini selepas bersara lebih dari sedekad!
Aku membayar dan membayar. Setiap hari. Kalau tidak sebelah pagi, dijelang sebelah petang menghilang gian. Dan buku-buku mengisi ruang di rumah menemani kelangsunganku bernafas girang.
Besok hari isnin (19 Mac 2018). Pintu belakang Pekanbuku masih dingangakan. Pasti, buku-buku akan semakin pantas diangkut ke stor berhampiran. Tetapi dalam kegawatan yang mendera, peluang mengutip tetap terbuka. Staf-staf sudah tidak menganggapku orang lain. Tanyalah mereka. Siapa selainku yang lebih peka mengangkut buku-buku dan membayar seakan tiada terputus sumber pembiayaannya?
Comments
Ahmad Said Pekanbuku UM petang tadi (4 April 2018).
Manage
Reply21w
Mohd Rosli Ikhwan Ke mana perginya buku yg byk itu?
Manage
Reply21w
Ahmad Said Sebahagian buku terjual. Bagi buku-buku yang tidak laku ia disimpan dalam sebuah bilik yang tidak berapa besar saiznya berhampiran premis sekarang. Ada kesukaran menyimpan/menampung semuanya di situ. Pun, sesiapa yang ingin melihat/membeli buku-buku yang berbaki boleh hadir ke lokasi. Saya difahamkan diskaun masih diberikan. 
Pada saya sendiri, selepas hampir masuk dua bulan tidak putus-putus mengunjungi Pekanbuku, iaitu ketika masih dibuka sempurna dan seperti dalam keadaan semasa (mutakhir), tidak banyak lagi tersedia buku-buku yang termasuk dalam bidang pengkhususan pembelian saya!
Manage

No comments:

Post a Comment