Rapuh 8
Padahalnya, kalau tidak berkembah pun buku-buku di rumah tiada mudarat nyata akan menimpaku. Sebagai pesara, aku tidaklah memerlukan banyak perkara lagi hendak dicita-citakan.
Lainlah orang-orang muda. Mereka, ambillah, mahasiswa-siswi, perlu banyak membaca supaya berpengetahuan dan bermaklumat. Dalam peperiksaan semester boleh menjawab soalan-soalan peperiksaan tanpa gelabah, berisi padat. Kertas-kertas semester pun boleh disediakan dengan senang kerana semua rujukan perlu ada di depan dan telah diberi penelitian. Dengan berbuat begitu, tercapai kelulusan tingkat kepujian atau tidak mustahil bertahap cemerlang. Barulah berpeluang menyandang jawatan yang dihajati, sekali gus mudah meningkat dalam organisasi dan masyarakat.
Orang-orang muda lain, yang lebih dewasa, katalah kalangan pensyarah, perlu banyak merujuk punca-punca bidang pengkhususan. Kalau tidak malu kelak berdepan mahasiswa-mahasiswi; ternampak cetek minda tak setimpal ijazah yang berderet melimpahi kartu. Lagi, seseorang akademik, tentu tidak berpuas hati tanpa menulis esei di jurnal ilmiah mempamerkan kepakaran bidang yang diterajui. Semuanya menuntut pembacaan. Calang-calang pembacaan kelak nampak medioker, kurang ‘seru’.
Lain sekali denganku. Dalam usia kini sudah tidak lagi dituntut berprestasi untuk mana-mana organisasi. Sudah berakhir semuanya zaman meluru ke sana-sini. Tidak perlu aku mempengerusikan mesyuarat menggubal dasar atau peraturan. Sudah lama tidak dijemput menyampaikan ucapan merasmikan persidangan. Tidak diminta-gesa menyumbang saran dalam sesi-sesi sampai ke malam. Pendek kata, bak harimau sudah luntur belang, tumpul taring di rahang, dan kuku pun rapat tergenggam. Begitulah gambarannya pesara tradisional.
Sedangkan, kalaupun perlu mengisi masa lapang, kepustakaan yang sedia ada sudah mencukupi. Kurang pengetahuan agama, pelbagai kitab tebal nipis, Rumi, bahkan Jawi ada. Kurang mendalam tentang sejarah, deretan naskhah di rak banyak, bahkan ada masih belum ditimba intinya sekian lama. Giankan kesusasteraan hampir tiada cacat sumbernya – kritikan, novel, cerpen, lebih-lebih lagi puisi, atau kesusasteraan lama -- mengalahkan milik sarjana ternama.
Kalau ingin bertukar selera mentelaah kesusasteraan Indonesia, tidak payah bersusah ke Jakarta. Beberapa rak yang tersimpan cukup memberi bahan untuk dikaji sampai layak meraih digri bidang hobiku ini.
Aku pun kerap juga menjengah perpustakaan awam – Perpustakaan Negara dan cawangan-cawangan, perpustakaan Dewan Bandaraya (DBKL), dan perpustakaan komuniti Petaling Jaya. Di sini pilihan bidang pun tiada kurang, bahkan mengalahkan koleksi peribadi. Ertinya tidaklah perlu menjajat lokasi-lokasi tawaran buku hanya kerana memenuhi kepuasan memiliki sama.
Tetapi, hari yang pamitan berganti semula. Rutin dan tabiat berterusan tanpa gendala. Buku-buku tetap dicari dan yang dibeli bertambah juga. Dan kebelakangan ini, kemaruk ini seakan dikuasai ‘puaka’.
Seolah-olahnya, aku masih bekerja -- menambah buku-buku dalam koleksi. Berbelanja dan berbelanja. Seseorang pelabur buku sepertiku boleh menulis buku-buku. Ia boleh mendapat banyak faedah lain melebihi modal yang ditanam. Sedangkan padaku, malangnya, ia belum berlaku.
No comments:
Post a Comment