Saturday, 1 September 2018

Pantulan F/01/01/2018:Sajak Hilmi Rindu, [Santai Minda], Kemaman, “Ke Tanah Jua”

Pantulan F/01/01/2018: Menduniai selurus bakti
Pada awal tahun, tak mengapalah Masehi pun, elok juga disentakkan dengan peringatan tentang asal-usul kita. Bahawa manusia itu berasal dari tanah dan kemudian, semenjak berkurun-kurun kian meramaikan dunia ini. Walaupun ada ketentuan Qadak dan Qadar-Nya, tetap manusia bebas bertindak dalam sepanjang usia yang tertentu baginya. Yang kita boleh raih dari sajak Hilmi Rindu, [Santai Minda], Kemaman, “Ke Tanah Jua”, Al Islam Februari 1979, muka surat 28, ialah aspek positifnya yang terbuka kepada para insan.
Kukira, apabila kita bertuah dilahirkan menghirup udara dunia, tiada lain yang harus dilakukan untuk merakamkan terima kasih kepada Pencipta, kecuali memakmurkan bumi ini seupaya-upayanya. Dalam kata-kata yang lain, manusia janganlah sekali-kali melakukan kemungkaran lantas merintis atau mencetus keporak-perandaan bahkan kehancuran dan kemusnahan. Ia tidak wajar menjadi beban kepada makhluk lain, dalam apa bentuk atau aspek mana pun. Tidak boleh sama sekali.
Sebenarnya tidak sukar untuk kekal berbakti kepada bumi selama menafasi udaranya. Ilmu yang dituntut hingga ke saat kini seharusnya dimanfaatkan kepada diri, sedara-mara, rakan senegara, bahkan semua penghuni di kesejagatan raya. Biarlah ia berupa segunungan kebaktian berpaksi ketakwaan. Demikian, boleh berlaku apabila peng”insafi”an telah menjelirai minda sendiri-peribadi. Bahawa kematian itu pasti. Alangkah besar kurnia-Nya kalau kita tidak tergelincir dari ‘siratul mustaqim’ mara menuju kehidupan abadi. Setiap langkah yang dihayung bermaksud mencapai niat murni menemui Ilahi dalam keredhaaan-Nya yang paling tinggi.
Comments
Santai Minda Terima kasih Dato' kerana mengangkat kembali sajak ini setelah hampir 39 tahun tertulis dan tersimpan.

No comments:

Post a Comment