Rapuh 5
Semua bilik dan ruang di rumahku ada rak-rak buku. Bilangan buku dan saiz raknya berbeza. Ada buku dan rak-rak di tingkat bawah. Sama juga di tingkat atas. Kian bertambah usiaku bertambah lagi buku-buku mengisi rak-rak yang masih mampu memberi ruangnya.
Mulai hujung tahun 2017 sehingga masuk Mac 2018, buku-buku bertambah dengan amat banyak. Serentak itu pula rak-rak baru diperoleh untuk menampungnya. Semuanya membabitkan kos. Beruntungnya, kos itu telah dapat dijimatkan berlipat kali ganda. Penutupan Pekanbuku dan kedai alat tulisnya serentak telah memberiku laba yang tidak sedikit.
Aku dapat membeli rak-rak besi secukupnya untuk menampung pertambahan buku yang mendadak. Semuanya 15 rak baru dibeli. Sayang sedikit dua lagi yang aku berkenan terlepas kepada orang lain oleh teragak-agak membuat keputusan sungguhpun pada awal-awal lagi ditawarkan kepadaku. Sekiranya tidak berlaku demikian, dapatlah kugantikan rak-rak kayu lama yang sedia ada di rumah. Salah satu rak kayu itu telah ada bersama-samaku semenjak 1975!
Rak-rak besi tidak menimbulkan masalah untuk dibawa balik ke rumah. Ia mudah dirombak. Dengan Kelisa pun rak-rak besi itu mudah sahaja dibawa berulang-alik beberapa kali. Cara ini dilakukan demi mengelakkan kos pengangkutan tambahan yang mungkin mahal.
Di rumah kami hanya berdua. Aku dan isteri. Sesuai dengan pemilikan rak-rak besi maka penempatan rak-rak diubah suai sewajarnya. Kami sendirilah yang menyusun atur. Dan, kini ‘perpustakaan’ku lebih kemas sedikit. Ia sekali gus menguja pembelekan bahan-bahan dalam koleksi. Ruang 'kerja'ku pun tambah mesra peribadi.
Gelombang pertama kemasukan buku-buku tambahan (baru) berlaku sempena jualan Big Bad Wolf. Dalam tiga hari mengunjunginya (13, 14 dan 18 Disember 2017), sebanyak 29+13+14 buah buku= RM311.50+RM159+RM138=RM608.5=56 buah buku terbeli.
Pekanbuku mulai kujemba pada 21 Disember 2017. Pada hari itu sebanyak 15 buah buku bernilai RM169.05 dibeli. Buku-buku itu diberi diskaun 80% (3 buah), 50% (11 buah) dan harga terbaik sebuah. Pada Jumaat, 22 Disember 2017, kuperolehi 41 buah buku lagi terdiri buku-buku 80% diskaun (14 buah) dan 60% (27 buah). Di sebelah petang hari yang sama, aku membeli 35 buah lagi dengan diskaun 80% (14 buah) dan diskaun 60% (16).
Ketika itu, aku berhati-hati memilih buku-buku kerana tawaran diskaun bergantung kepada tarikh buku-buku berkenaan diterbitkan. Buku-buku yang dicetak pada tahun 2011 dan kemudian hanya ditawarkan potongan 30%. Demi penjimatan, semua buku yang dipilih peringkat awal ini adalah terbitan lama.
Pada 26 Disember 2017 aku berkunjung lagi ke Pekanbuku. Memerhati kekerapanku mendatangi premis itu dan banyaknya buku-buku dibeli setiap kali, aku diberi insentif lumayan. Semua buku, terbitan lama dan juga baru, diberikan diskaun 80%. Pendek kata tiada sekatan lagi. Ini sungguh merangsangkan naluri ‘kutipan’ku. Aku tidak lagi teragak-agak menyambar mana-mana buku yang aku berkenan. Pada hari itu aku membeli 102 buku dengan harga RM670.59. Harga asal tanpa potongan bernilai RM3352.95. Bayangkan nilai penjimatanku.
Mulai hari itu aku tidak menoleh ke belakang lagi. Pekanbuku menjadi destinasi harian. Demikianlah yang berlaku menyusuli, Dari segi pemerolehan bahan koleksiku, fasa ini ‘terpahat jadi sejarah’. Ia menggerhanakan prestasi-prestasi terbaik sebelumnya..
No comments:
Post a Comment