Saturday, 1 September 2018

Rapuh 25

Rapuh 25
Di ruang luar, di sisi kaunter orang awam mendaftar diri, ada satu meja panjang lengkap dengan kerusi. Barangkali belasan orang boleh duduk-duduk untuk berbincang atau melepaskan lelah seketika. Di sinilah aku berbual lanjut dengan Pak Isnin selepas keluar dari ruang rak PDS. Sedikit sebanyak hubungan Malaysia-Indonesia terbangkit. Aku mengambil ingatan kata-kata Pak Isnin, dalam nada sedikit kesal, tentang Malaysia menjadi tempat tumpuan pelajar Indonesia kini sedangkan dahulu kebalikannya yang berlaku. Aku sendiri kurang pasti dengan fakta yang sebenar. Yang kuketahui ramai juga pelajar-pelajar Malaysia sedang belajar di Indonesia – dalam bidang-bidang perubatan dan keagamaan. Kurang pasti pula, adakah pelajar-pelajar Indonesia yang belajar di Malaysia lebih ramai bilangannya jika dibuat perbandingan.
Mengetahui aku meminati puisi, Pak Isnin memberitahu di PDS ada sebuah antologi penyair-penyair Indonesia yang menyertai Hari Puisi Indonesia 2016 (?). Kalau aku mahu memiliki antologi tebal itu, PDS menjualnya dengan harga Rp 100,000. Naskhah itu ditunjukkan kepadaku. Ia memang tebal, mengandungi ribuan halaman. Sayangnya aku mahu lagi ke toko buku bekas di TIM. Aku menjangkakan ada pembelian baru nanti. Tebal antologi itu agak menghalang pembelian kerana had berat ditetapkan pesawat bakal menimbulkan masalah kelak. Lalu, dengan sedikit keberatan, kutolak membelinya. Tambahan pula, kompilasi sedemikian tidak kuanggap merangkumi puisi-puisi terbaik. Lazimnya antologi demikian adalah sekadar pengumpulan sajak-sajak para penyair yang mengambil bahagian pada Hari Penyair. Bukan semuanya penyair mapan. Bukan kualiti yang menjadi kriteria utama.
Akupun pernah menyumbang beberapa puisi dalam siri buku PULARA. Dan, aku bukanlah seorang penyair dikenali pun! Tiada pun antologi PULARA itu diperkatakan sesiapa. Sedangkan dari segi cetakannya ternyata unggul! Begitulah juga kuanggap antologi tebal para penyair Indonesia itu. Ia hanyalah buku kompilasi sajak-sajak yang okasional. Tercetus lantaran ‘digesa’. Terkumpul oleh kekuatan peristiwa ‘mega’ semata-mata. Jilidannya pun kemas dan menarik.
Hanya disayangkan, pada 18 April, di TIM akan diadakan pelancaran buku karangan seorang tokoh tersohor bernama Salim Said. Kata Pak Isnin, buku itu berkaitan kesusasteraan dari kaca mata tokoh itu. Tidak pula diberitahu judul buku berkenaan kepadaku. Sedangkan, mengikut Pak Isnin, ramai tokoh penulisan Indonesia akan hadir meraikan. Kebetulan pula aku baharu sahaja membaca buku Mochtar Lubis, “Bicara Lurus Menjawab Pertanyaan Wartawan” (Yayasan Obor Indonesia) yang diberi kata pengantar oleh Salim Said. Berdasarkan pembacaan itu ternyata beliau penulis yang berwibawa. Maknanya, peristiwa itu seharusnya tidak diketepikan sesiapa pun yang berminat dalam bidang kesusasteraan. Namun, penerbanganku sudah muktamad. Terjadual sudah aku akan berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada 17 April. Pastilah terlepas peluang menyaksikannya
Dalam rangka perbualan kami, Pak Isnin mengatakan, di Indonesia, kalau seseorang sudah dapat menerbitkan buku, walau sebuah, ia sudah dikira hebat. Apalagi kalau empat buah. Itu adalah reaksi beliau terhadap pemaklumanku kepadanya, bahawa aku sudah menerbitkan empat buah buku – sekadar mengangkat diri. Walaupun aku tahu tiada siapa pun menyedari kehadiran buku-buku itu apatah lagi mengetahui isi kandungannya.
Aku bermohon untuk beredar. Sambutan dan layanan mesra Pak Isnin dan juga Pak Diki, ketuanya, amat kuhargai. Toko buku bekas di TIM sepatutnya sudah dibuka waktu itu. Pak Isnin mengenali pemilik dan petugas toko itu. Ada disebut nama Pak Jose Rizal Manua sebagai pemiliknya. Beliau juga menyatakan tentang bau tahu kucing yang meruapi udara toko itu. Yang ini aku setuju. Telah kutulis mengenainya tempoh hari dalam Rapuh 19.
Comments
Ahmad David Kholilurrahman Salim Said, adalah Prof. Guru besar Universitas Pertahanan RI. Ia adalah budayawan, pengamat film, pengamat politik militer. Orang pertama Indonesia yang menulis Ph.D tentang politik militer Indonesia studinya di Universitas di Amerika.

No comments:

Post a Comment