Rapuh 20
Hajat hendak ke Bandung menjadi tumpul selepas menggeledah kedai buku bekas di TIM. D sebenarnya telah menggoogle dan tidaklah sukar untuk ke sana. Dengan keretapi, perjalanan dari Jakarta ke Bandung mungkin mengambil masa hampir tiga jam setengah. Pelepasan dari stesen di Jakarta bermula pada dinihari lagi. Kita boleh memilih waktu yang paling selesa untuk mengelakkan tergesa-gesa. Apabila sampai waktu siang yang terluang boleh diteruskan dengan meninjau kedai-kedai buku bekas di sana. Agar tidak terlalu ketat atau terburu-buru kami akan bermalam di situ dan keesokannya boleh menyambung tinjauan dan seterusnya berlepas ke Jakarta semula. Mengikut jadual ini, aku masih ada sehari lagi untuk meninjau lanjut kedai-kedai buku-buku bekas di Jakarta sebelum berangkat pulang pada hari Rabu, 17 April.
Dan, rancangan ini tidak menjadi. Sebabnya, seperti ku nyatakan itu. Aku menjumpai kombinasi koleksi yang ‘sekaki’ di TIM!!
Tinjauan komprehensif di tiga lokasi di Jakarta, dari pagi sampai ke malam pada hari pertama di Jakarta, membentuk pendirian baru. Sekurang-kurangnya untuk sementara, selama tempoh kunjungan di Jakarta kali ini. Pertama, hampir-hampir kesemua premis buku-buku bekas menawarkan koleksi yang hampir-hampir sama. Hanya sedikit perbezaan dari segi jumlah koleksi. Ada yang lebih banyak dan komprehensif lingkupannya berbanding yang lain. Kedua, koleksi kedai buku bekas yang ideal mengikut seleraku ialah seperti sedia ada di TIM.
Barangkali, mana-mana kedai lain tidak akan dapat menandinginy dari aspek ini. Tentunya lebih praktikal bahkan menjimatkan lagi bersantaian dengan menumpukan carianku di TIM sekali lagi. Tambahan lagi, perburuan sehari semalam, menghasilkan koleksi buku-buku yang beratnya sudah hampir dengan had dibenarkan pesawat tanpa kos yang lebih. Ketiga, Bandung dengan Palasarinya wajar diberi luang waktu yang munasabah untuk kuterokai. Sepuas-puasnya. Ini bermakna aku perlu menjadualkan kunjungan yang lain. Berasingan. Khusus untuk lokasi itu sahaja. Aku telah melihat imej-imej kedai-kedai buku bekas di Palasari dalam Internet. Pekedai di Thamrin City ada juga memberitahuku tentang komprehensifnya koleksi yang tersedia di situ. Tidak bijak bagiku dikuasai nafsu sampai melaju-laju.
Maka kubatalkan hajat melajak ke Bandung. Dari awalnya pun kunjungan kali ini khusus di Jakarta. Sekurang-kurangnya Google memberitahu ada enam lokasi buku-buku bekas di perdagangkan di kotaraya ini. Aku harus memuaskan gianku di sini dahulu. Seterbaiknya.
Pada hari pertama, empat lokasi telah dilawati. Pada hari kedua, Ahad, aku sarapan sendirian. D tidak lagi bersama-samaku. Dia hendak berehat di bilik sahaja dan bersarapan di hotel. Aku berjalan kaki menuju ke TIM. Bangunan yang paling hampir dengan hotel ialah Perpustakaan Umum Daerah, Provinsi DKI Jakarta. Ketika itu sudah jam setengah. Ia telahpun dibuka.
Di pintu masuk aku bertanyakan pengawal keselamatan yang bertugas. Dia memberitahu warganegara asing pun boleh memasuki perpustakaan itu. Aku menulis nama dalam buku pendaftaran dan seterusnya meninjau pameran gambar-gambar bersejarah di ruang legarnya. Banyak juga gambar yang menarik seperti tokoh-tokoh dan bangunan-bangunan lama, peristiwa-peristiwa penting, lukisan-lukisan dan lain-lain. Ia disusun atur pada dinding-dinding, papan-papan paparan, dan kotak-kotak pameran lutmata. Semuanya memberi pengetahuan segera kepada para pengunjung. Aku mengambil gambar-gambar seperlunya. Dengan cara ini ingatan tentang kehadiran tidak mudah pudar walaupun usia menjalar.
Ketika aku masuk ke ruang lebih ke dalam, seorang petugas lelaki muda menyambut mesra, seakan aku seorang yang sangat dikenalinya. Kami bersalaman. Setelah memberitahu asal tempatku, tiba-tiba petugas lelaki itu mengejutkanku dengan memanggilku “Dato'”. Bagaimana boleh berlaku demikian? Aku tidak memperkenalkan diri begitu. Pasportku tidak pula mencetak nama dengan gelaran! Barangkali, kesedaran sendiri petugas itu. Bahawa panggilan hormat untuk pengunjung dari Malaysia ialah ‘Dato'’. Bukan ‘Bapak’ atau ‘Tuan’ , ‘Encik’ dan seumpamanya. Atau, boleh jadi semua orang di Malaysia memang mki nama awalnya ‘Dato'’!!!
Aku diminta meninggalkan kad pengenalan diri di kaunter. Untuk ini pasportku dipetaruhkan. Aku diminta menyimpan beg sandangku dalam satu petak kabinet kayu berkunci khas disediakan berada tidak jauh dari tangga dan lif di aras bawah itu.
Aku diiringi petugas itu memasuki lif ke Aras 1. Sambil itu aku menyuarakan hasrat untuk melawat ke Pusat Dukumentasi Sastera H.B. Jassin. Beliau memberitahu pusat itu ditutup pada hari minggu. Ia boleh dikunjungi pada esok hari, hari bekerja. PDSHBJ dan Perpustakaan Umum itu kata beliau, letaknya ‘sebumbung’, bahkan termasuk di bawah jabatan induk yang sama. Dia memerikan arah jalan kalau hendak ke pusat itu.
Seterusnya, atas permintaanku dibawanya aku ke rak-rak buku yang menyimpan koleksi ‘indonesiana’ – sejarah, budaya, sastera, bahasa, dan seterusnya. Petugas yang peramah lagi membantu itu permisi dan meninggalkanku untuk meneroka koleksi yang ada bersendirian. Seharusnya demikian.
Sebenarnya tidak ramai pengunjung lain di ruang itu ketika itu. Hanya lima orang. Mereka anak-anak muda yang berpasangan sedang dilanda ombak cinta. Mereka tentulah seronok membaca sambil berdua-duaan! Barangkali tidak jauh menyeleweng telahanku ini.
Sebenarnya tidak ramai pengunjung lain di ruang itu ketika itu. Hanya lima orang. Mereka anak-anak muda yang berpasangan sedang dilanda ombak cinta. Mereka tentulah seronok membaca sambil berdua-duaan! Barangkali tidak jauh menyeleweng telahanku ini.
Tentang koleksinya, sebaik memperhatikan sepintas lalu, kusedari rupa-rupanya pengkatalogan dan perletakan buku-buku pada rak-rak serupa juga seperti yang biasa kulihat di semua perpustakaan yang pernah kukunjungi di seluruh Malaysia. Memahami sistem ini, sesiapa tidak akan menghadapi kesukaran mencari judul-judul buku dalam bidang-bidang kesukaan masing-masing. Walaupun jumlah buku yang ada dianggap wajar ia tidak kuanggap komprehensif. Namun, seseorang tidak akan jahil lagi tentang Indonesia sekiranya ditelaahi paparan yang ada. Aku hanya mengambil masa setengah jam untuk mengetahui volum koleksi bidang-bidang pengkhususanku di situ. Ya, bukan maksudku untuk duduk merujuk di situ.
Aku turun ke aras bawah menggunakan tangga. Beg sandang kuambil semula di petak berkunci. Kemudian aku menyerahkan kunci kepada petugas kaunter, Dia mengembalikan pasportku. Aku mengucapkan terima kasih lantas beredar keluar melalui pintu utama. Sambil keluar aku juga mengangkat tangan hormat kepada pengawal yang ada di meja di sisi pintu itu.
Di luar,aku mengitari kaki lima bangunan perpustakaan itu menuju ke bahagian belakangnya. Tunjuk hala petugas perpustakaan tadi kuikuti untuk menentukan lokasi sebenar PDSHBJ. Dari tempat ini perspektif lain kompleks-kompleks di TIM lebih melengkapi. Aku nampak ada masjid baru tidak jauh dari situ. Beberapa orang lain, terdiri dari satu keluarga marhaen, sedang duduk-duduk tidak jauh dari situ. Pada parkir yang tersedia, beberapa kereta terletak kaku.
Lalu, tibalah aku di tempatnya. Ya lokasi ditujui. Di situ, ada satu kepingan besi tanda nama bertulis, “Pusat Dokumentasi Sastra H.B. Jassin”. Ia tentu sudah lama lantaran unsur-unsur karatan yang menyerlah. Tanda nama itu masih tegak di situ tetapi kini memberi kesan berupa sementara. Ada renovasi sedang dilakukan pada kawasan masuk ke bangunan itu. Lanskapnya jelas baru direkabentuk semula. Ia kelihatan menarik dan terurus. Tiada kelihatan orang lain di situ.
Selepas berswafoto akupun meninggalkan halaman bersejarah itu melangkah ke arah kantin berhampiran.. Di situlah aku memesan Bakso Spesial sebagai sarapan tertangguh pagi itu. Ia satu hidangan yang enak. Aku membayar Rp20,000 termasuk segelas teh panas. Terus kemudian aku beredar segar balik ke hotel.
No comments:
Post a Comment