Saturday, 1 September 2018

Rapuh 18

Rapuh 18
Surau di Aras Bawah terletak sedikit ke hujung di sebelah kiri pintu masuk utama sedangkan Blok atau Aras 3A yang dikatakan terletak premis-premis buku terpakai jauh di sebelah kanan.
Namun, disedari kemudian, entri ke Aras 3A itu tidaklah begitu jauh dengan restoran tempat aku makan tengah hari tadi. Tetapi, kalau bermula dari surau, mencari arah ke Aras 3A sedikit mengelirukan. Sekali aku bertanyakan petugas sebuah kedai pakaian tentang arahnya tetapi dia tidak pula dapat membantu.
Apabila ditemui, kami menuju ke situ dengan menggunakan eskalator. Ia jenis eskalator yang berterusan menaik tanpa perlu berjalan dulu dan berpusing sebelum menaiki semula untuk ke tingkat seterusnya. Aras 3A itu jelas kelihatan tertulis bersetentangan dengan arah kami menaik itu.
Setiba di Aras 3A, tidak pula kelihatan kedai-kedai buku. Yang mula-mula ditempoh ialah premis jualan produk-produk Arab seperti kurma dan sebagainya. Kami berjalan terus hingga ke dinding dan pintu untuk keluar ke parkir. Disitulah baharu dijumpai kedai-kedai buku bekas. Di sudut itu ada empat kedai. Tetapi tidaklah dihuni lambakan buku seperti yang ditemui di Kwitang. Buku-buku lebih tersusun seakan dalam keadaan kedai buku biasa. Hanya premisnya tidaklah luas. Aku anggarkan keluasan setiap premis ialah 12’x12’ persegi. Di depan petak buku ini ada juga rak-rak buku disandarkan ke dinding. Aku memasuki premis kedua, tetapi pantas mengetahui ia tidak memiliki buku-buku yang kucari-cari. Begitu juga dengan premis yang ketiga.
Aku masuk ke premis keempat. Petugas seorang wanita berusia 40-an. Di depan premis itu ada juga meja yang agak luas berpaparan buku-buku dan majalah-majalah. Aku masuk ke premis. Di sini buku-buku yang ada di rak-raknya memenuhi selera mindaku – kesusasteraan, agama, sejarah dan kemasyarakatan. Namun, sebuah dua buku yang aku berkenan ternyata diberi harga yang tidak menarik untuk memujukku membeli. Sementelahan, judul-judulnya tidaklah terlalu merugikanku tanpa memilikinya. Sungguhpun 20 hingga 30 minit kuselidiki judul-judulnya, tiada satu pun akhirnya kubeli.
Aku beredar dari lokasi itu dan beralih ke premis lain, di sebelah kanan, 15 meter dari situ. Ada dua premis di sini. Kebanyakan bahan-bahan bacaan berupa komik yang lebih sesuai untuk kanak-kanak. Ada juga buku-buku bekas yang tidak sangat kuperlukan. Jumlahnya pun tidak seberapa . Premis ini dikendalikan oleh pasangan suami-isteri, antara 40-50 tahun usianya. Di sini aku melihat buku berjudul Gajah Mada dalam lima jilid di atas meja rendah berhampiran dengan jeriji pagar aluminium di sisi yang berlawanan dengan petak utama kedai itu. Ia adalah buku-buku baru dan berbalut plastik cerah, lutbaca.
“Berapakah harganya?”, tanyaku kepada si isteri yang duduk berhampiran, sambil menuding jariku ke arah jilidan buku-buku tersebut.
“300”, katanya. Tentulah Rp300.000.
Aku menggunakan henfon untuk mendapat anggaran harganya dalam RM. Tanpa menunjukkan minat lanjut aku beredar. Janji bertemu dengan D sudah tiba masanya. Sebaik tiba tadi, D beredar meninjau premis jualan pakaian untuk membeli jika ada yang berkenan.
Pun, selepas menunggu-nunggu D, berhampiran dengan premis-premis kedai buku yang awal tadi, aku tetap berkira-kira untuk membeli Gajah Mada. Rp300.000 = RM85.00 yang bererti RM17 sebuah. Ia harga yang murah dibandingkan buku seumpama itu di Malaysia. Segera aku ke premis tadi. Ketika itu si suami ada bersama. Sambil menuding Gajah Mada, terus kuminta harganya dikurangkan. Dia menyebut RP250.000. Aku terus bersetuju.
Ketika hendak dibungkus, aku tunjukkan buku-buku yang sedia ada dalam beg sandangku yang hampir penuh dengannya. Si isteri bersukarela untuk memasukkan dalam sebuah kotak bersama-sama dengan Gajah Mada. Mengetahui aku akan membawanya balik ke Kuala Lumpur dengan pesawat, ditimbangnya kotak itu. Ia sudah mencapai 12 kilogram.
Kemudian D datang. Dia membawa kotak itu. Beg sandangku telah kosong dan aku tidak dibebani apa-apa. Kami turun ke bawah menggunakan eskalator di tempat yang sama ketika datang tadi.
Di tempat kami berdiri mendepani laluan kenderaan di tangga pintu masuk utama itu kelihatan kenderaan bersesakan, bergerak perlahan. Ia menurun atau mengambil penumpang. Pengawal mengawal situasi.
Untuk lebih selesa menaiki kereta, kami beralih ke satu jalan lain berdekatan. D menghubungi Grab. Hari kian kehilangan sinar mentari. Kesesakan kenderaan berterusan. D cuba berkali-kali menghubungi Grab. Liputan henfon yang sedikit terganggu menimbulkan sedikit masalah. Henfonnya pula kehabisan bateri. Mujurlah henfonku dapat membantu. Lebih kurang sejam baru kami dapat menaiki kereta untuk balik ke hotel di Cikini.
Kesesakan, rupa-rupanya hanya di sekitar jalan atau laluan yang berdekatan dengan kompleks Thamrin City. Sebaik kami memasuki jalan utama, perjalanan adalah lancar.
Kami tiba di Ibis Budget lebih kurang pukul 7.15 malam. Kami terus ke bilik hotel dan meletakkan kotak buku. D bergegas bersolat Maghrib. DIa wajib melakukan kerana sudah bertaraf pemastautin, bukan seorang musafir sepertiku. Skt kemudian, kami segera turun untuk makan malam di restoran Warunk Upnormal yang terletak di aras bawah hotel. Malam tadi restoran ini sedang menutup bisnesnya ketika kami menjanjikan premisnya. Tidaklah mengejutkan sangat kerana hari sudah masuk pagi ketika itu.
Warunk itu masih ramai dikunjungi pelanggan ketika kami memasukinya. Mereka kelihatan kelompok pelanggan yang berwang. Sebaik duduk, gadis petugas memberikan menu pesanan. Dimintanya kami menandakan jenis-jenis makanan dan minuman yang dihajati. Kami harus pergi sendiri menghantarnya ke meja kasyier dan membayar harganya. Hidangan akan menyusul seketika selepas itu.
Berdasarkan resit, makan malam kami terdiri 1 Teh Tawar, 1 Teh Manis, 1 N Beef Chili dan 1 I Nuklir. Harga semuanya ialah Rp 63,800. Aku boleh mengesahkan bahawa N Beef Chili pilihanku itu sungguh menyelerakan. Sesiapa boleh mencubanya untuk mengalami apresiasi yang sama.
Comments
Ahmad David Kholilurrahman Premis, Warunk Upnormal dan lain lain...
Manage
LikeShow More Reactions
Reply17w
IA Resources Terbaik tuan
Manage

No comments:

Post a Comment