Saturday, 1 September 2018

Pantulan B/01/12/2018 :Sajak Siti Zaleha M. Hashim, “Kita Cuma Bersapa Penghuni Maya”

Pantulan B/01/12/2018 : Dasar Memadu Cinta
Alam maya sesungguhnya sedia ada. Lama dahulu. Tiba-tiba, alam itu kini merealiti!
Benarkah “orang yang sangsi/pada diri/ terlalu mengukur tinggi”? Bukankah demikian hanya bertujuan untuk mempastikan seseorang lain itu benar-benar dikenali luar-dalamnya sebelum ia nekad menjalin satu perhubungan yang setara atau sekufu, bakal menjurus ke puncak dan bersatu?
Dalam konteks senario yang digambarkan, aku cenderung mensepakati pendekatan mencungkil sebanyak mungkin keterangan tentang seseorang atau sesuatu pihak demi kemudiannya melandaskan perhubungan yang berterusan, diharapkan saling memanfaatkan. Itu sewajarnya tidak mencurigakan, demi kebaikan semua yang berkaitan. Malangnya pendirian dan juga kriteria-kriteria yang memandu keputusan tidak sentiasa disepakati atau boleh ditolak-ansorkan. Maka terhentilah bibit-bibit yang menjanjikan, tanpa susulan.
Pun, ada kejujuran dari jawapan “ku” terhadap “kau”. Namun, hubungan antara kedua-duanya terhadang lantaran kecurigaan menguasai. Maknanya, niat awal, walaupun murni, untuk merobah kepada jadi lebih intim lagi tidak mungkin bersemi kerana titik bertindak salah satu atau kedua-dua pihak tidak membenarkan ianya marak.
Pengakuan “aku” ternyata menjelaskan hakikat bahawa ia tetap seorang yang berprinsip atau bermaruah. Demikian itu jadi pegangan menjalani kehidupannya peribadi. Aku suka mengertikan situasi itu sebagai ketiadaan sikap memperkecil atau meremehkan demi mengekal dan mengharmonikan perhubungan, lebih-lebih lagi kalau berhasrat menggembleng jalinan ikatan melampaui persahabatan biasa antara insan berlainan jantina.
Sajak “Kita Cuma Bersapa Penghuni Maya” oleh Siti Zaleha M. Hashim, K.L. ’78, termuat dalam WIDYA, Ogos 1978, muka surat 20, sudah hampir 40 tahun tercipta, ketika karyawan ini hampir mencecah usia dewasa. Lenggok susunan kata-katanya menepati hasrat hati langsung mendukung kegemulaian rasa jiwa, baik siapa pun menghayatinya.
Comments
Siti Zaleha M. Hashim Ribuan terima kasih Dato', benar 40 tahun yang puisi ini ditulis dan Dato masih menyimpan majalah ini, koleksi Dato sangat bermakna, tidak ramai mempunyai koleksi seperti Dato'. Saya share ya.

No comments:

Post a Comment