Pantulan B/03/06/2018: Detik meraikan.
Kukira-kirakan, keseluruhan puisi Rudi Mahmood, Township, U.L., 1981, “Katakan Saja Kau Sebetulnya Lampu Di Tengah Pelabuhan Itu (cerita buat Melah)”, Dewan Sastera, Ogos 1983, muka surat 65, sejengkalku penuh panjang regangannya dari mula sampai akhir.
Namun, kalau diberikan kelewahan masa pun, aku ragu-ragu boleh menggarapinya sefaham dan semaksud seperti disemi Rudi sebaik beliau selesai menciptanya. Ia begitu memerit. Anehnya ia menjerat asyik, sambil menahan belekan lain diteruskan!
Pilihan yang terbuka, lagi sangat meringankan, ialah mengambil rangkap terakhir sebagai bahan memantul kesan. Tidak jauh tersasul pendekatan ini kerana ulian kalimat-kalimat Rudi di sini adalah rumusan yang sekali gus dihubungkan langsung dengan judul sajak ini.
“Kau” (ataukah Melah?), sangat bermakna dalam episod cinta yang dikisahkan. Arjuna cetera ini telah menderita oleh pesonanya. Ia ialah juita yang tidak wajar lagi lari menghindar diri kerana telah benar-benar mencengkami hati ‘aku’ selama ini. Ketibaan di destinasi lantas tidak seharusnya menghancurkkan harapan menikmati hasil jerih-perih di sebaliknya. Segala derita honaran ombak badai yang ditempuhi terlerai sambil merealisasikan habuan. Maka wira yang tiba di ‘pelabuhan’ seharusnya tidak dinafikan haknya untuk dibelai manja. Tentulah zalim, ataukah kejam (?), bertindak meningkah selainnya. Malah, bertepatan kita mengibaratkan, bak buana, seri malamnya terserlah oleh pancaran purnama penuh. Begitulah tidaklah pula jauh bezanya suasana di pelabuhan ketika ‘aku’ tiba. Sebenarnya tiada pilihan bagi dara kecuali meraikan suatu akhiran perjuangan getir yang jitu dengan absahan sempurna, iaitu kegirangan sejati.
Tak mengapalah kalau ini hanya sebuah lagi retorik terpancar dari karya berseni seorang pemuisi yang ahli.
No comments:
Post a Comment