Saturday, 1 September 2018

Rapuh 26

Rapuh 26
Pusat Dokumentasi Sastra H.B. Jassin dan toko buku bekas di TIM berada di bangunan yang berasingan. Jarak antara kedua-duanya lebih kurang 60 meter. Ketika aku tiba toko itu baharu sahaja dibuka. Seorang wanita, barangkali berusia lewat lima puluhan ada menjaganya. Aku perasan dia ada di sekitar toko itu ketika latihan tarian berlangsung malam tadi. Aku memperkenalkan asalku. Dia ternyata sudah biasa ke Malaysia malah ada anggota keluarga tinggal atau berulang-alik. Dia malah boleh bercakap dengan cara Malaysia.
Dia pun perasan aku datang membeli di situ malam tadi. Tanpa ditanya, dia memberitahu tentang latihan tarian itu. Katanya kanak-kanak/remaja itu bakal mempersembahkan tarian itu di Jerman. Ada jemputan bagi Indonesia menyertai. Dari Asia, beliau memberitahu, ada dua negara lain yang dijemput sama iaitu India dan Thailand. Dalam hati timbul tanda-tanya, kenapa Malaysia tidak diberi penghormatan begitu? Barangkali tidak sukar meneka sendiri jawapannya.
Walaupun waktu urus niaga sudah bermula, toko itu masih belum bersedia benar menerima pelanggan. Tetapi aku sudah seketika berada di dalamnya memulakan proses pencarian judul-judul. Sambil itu wanita penjaga itu meminta seorang pekerja menyentalkan lantainya supaya lebih bersih. Aku diminta secara hormat menunggu di luar sebentar sementara kerja-kerja itu dilaksanakan. Seketika kemudian, aku dijemput semula ke dalam meneruskan pencarian buku.
Tapi kusedari wanita itu kemudian tidak ada lagi di premis itu. Yang menggantikan ialah seorang lelaki hampir sebayaku. Beliau berkumis tebal keputihan dan bertengkolok corak Jawa. Beliau berambut panjang sampai ke bahu/belakang. Beliau berbadan sedikit kecil dariku. Aku perasan pada malam tadi lelaki ini duduk di atas kerusi di depan pintu masuk toko. Ia menumpukan perhatian kepada sesi tarian. Dan dia jugalah yang melatih kumpulan penari itu. Dari pertanyaanku, dialah pemiliknya dan tentulah beliau Jose Rizal Manua seperti yang diberitahu oleh Pak Isnain di Pusat Dokumentasi Sastra H.B. Jassin tadi.
Dia bertanyakan asalku di Malaysia. Ketika kuberitahu Petaling Jaya, dia menyatakan sudah pernah ke sana. Ramai kawan-kawannya di Malaysia. Dia pernah ke rumah Usman Awang, yang sekampung denganku, Kampung Tunku. Bahkan dia menyatakan dia adalah anak angkat Sasterawan Negara itu. Ditunjukkan kepadaku gambar besar tergantung di ruang toko itu. Dalam gambar itu, beliau duduk di tengah-tengah diapit oleh Usman Awang dan A. Samad Said. Mereka semua masih kelihatan muda.
Pak Jose menggalakkanku menyelongkar buku-buku yang ada. Tiada pilihan lain jika ingin mengetahui keseluruhan koleksi di situ. Malah beliau menunjukkan kepadaku buku-buku lama tentang kebudayaan dan sejarah Indonesia di rak dalam. Aku berterima kasih dan akan meninjaunya apabila penelitian ke atas longgokan di ruang depan selesai.
Seorang lain datang ke toko itu berjumpa beliau. Diperkenalkan kepadaku kawan beliau itu. Dia seorang sasterawan dari Padang. Terhadap satu pertanyaan sasterawan itu menyatakan dia belum berkesempatan ke Malaysia. Terlupa pula aku namanya. Mereka kemudian duduk di kerusi di luar toko berbincang sesuatu sambil minum kopi.
Selesai membongkar longgokan di depan aku memasuki ruang lebih ke dalam. Tempat yang ditunjuki pemiliknya tadi. Sebenarnya ruang ini telahpun aku tinjau malam tadi. Aku hampir pasti sudah tidak banyak lagi boleh kuharapkan untuk menjumpai judul-judul yang menarik. Hanya di sini aku masih sempat mengambil naskhah-naskhah majalah Horison keluaran-keluaran terakhir yang masih berbaki.
Dalam lebih kurang sejam setengah selesailah. Aku memanggil Pak Jose untuk dihargakan semua buku dan majalah yang kucamkan. Tidak lupa aku meminta diberi diskaun sewajarnya. Beliau mencongak nilai pembelian itu lantas menyebut Rp 450,000, "termasuk diskaun" katanya. Setelah membayarnya aku berlalu pergi. Pembelian itu semuanya dimasukkan ke dalam beg sandang. Puas sudah hatiku sekarang. Aku sudah mencapai hajat meninjau Pusat Dokumentasi Sastra H.B. Jassin dan sekali lagi menerokai toko buku bekas Pak Jose. Koleksi yang ada di kedua-dua tempat itu sudah tidak lagi misteri bagiku.
Aku berjalan kaki sejauh 150 meter menuju jalan utama lalu berhenti di depan Ibis Budget Hotel. Dari situ aku memanggil motosikal Grab. Dalam beberapa minit motosikal itu tiba. Aku membonceng menuju Red Planet (Rp 9,000+1,000). Ketika itu jam sudah melepasi 1 tengah hari WIB.

No comments:

Post a Comment