Pantulan A/03/09/2018: Renjisan Ketapaan
32 tahun berlalu pun, kesunyian, apalagi ‘kesepian’ tidak sekali-kali melupuskan batas penghayatan seseorang. Dalam suasana begitu, pada bila-bila era pun, ia bingkas menerpa dan menujah minda dengan kepelbagaian – merangkumi aneka aspek yang mahu kita bayangkan atau lebih baik, fikir dan cungkilkan.
Semoga yang kita selongkari, ialah yang memberikan faedah-faedah. Bukan yang merugikan. Sekurang-kurangnya kepada diri sendiri. Yang baik lagi jika dapat dimanfaati kaum keluarga, rakan taulan, jemaah kariah kalaupun tidak menerobosi warga sebangsa atau senegara.
Jadi, balik kepada olahan rakanku ini, Hilmi Rindu, [Santai Minda], “Di Bawah Paras Kesepian”, Dewan Sastera, September 1986, halaman 45, aku sangat diuliti baris-baris, “Di saat ini fikiran/hanyalah batas daun-daun mengembang/serta akar mencari arah sendiri.” Kepuitisan tahap tinggi menggaru berahi.
Tetapi, alangkah lebih diharap-harap lagi jikalau perenungan diri tidak hanya amalan dalam sekitaran pertapaan. Keriuhpikukan yang mengelumangi helaan nafas renta pun seharusnya memancutkan ide-ide bermutu menguja kesepakatan berterminal kebajikan.
No comments:
Post a Comment