Pantulan C/01/10/2018: Tinggal di Minda
Jangka masa 32 tahun dalam ukuran umur insan biasa kukira lama. Ia berdaya merobahkan serba-serbinya. Seorang bayi baru dilahirkan apabila mencapai umur 32 tahun besar kemungkinan telah berijazah, berkerjaya, berumahtangga, berzuriat dua tiga, dan berharta setimpal usahanya. Kalau seseorang itu dulu telah sedia menceburi alam pekerjaan, hampir benarlah ia kini akan bersara kerana dianggap tua oleh akta yang berkuat kuasa.
Begitu juga, desa yang terlukis cantik oleh Leo A.W.S., [Leo Aws] lewat “Sawah Padi, Dusun Duku” pun tentu menempa wajah bukan tradisi lagi. Anak-anak muda entah di mana mengongsi? Sawah padi yang terbentang saujana mungkin dikelompoki rumah banglo di sana-sini. Ada pula jalanraya menerokai ceruk rantau yang dahulu tersembunyi.
Sedang haruan dan keli penghuni bendang yang dahulu ditaut ketika musim mengetam, benih-benihnya sudah tertimbus mati, Padang yang menghijau redup pada sinaran pagi dan menguning matang sewaktu senja berkisar ke malam, tidak berseri lagi. Tumbuh berceracakan gantinya berupa kompleks pentadbiran kerajaan, pusat bandar berwajah canggih dan agam, taman-taman perumahan dimiliki pemakan gaji atau peniaga RTC!
Lalu, ke mana lupusnya kerbau lembu yang ketika digantikan Kobota dahulu pun sudah tidak menentu hala tujunya itu?
Namun, sesekali, mujurlah aku masih dapat melihat dokong berbuah lebat di dusun isteri, suburnya menghasilkan rezeki sekali gus kebaziran kerana terbiar menunggu hari. Demikianlah, setelah sekian lama bermastautin di tempat menimba rezeki sampai tua.
Hanya, setiap Hari Raya masih terusik jiwa menggera kembali ke akar asal mula.
Mencelah pula dilema, anak cucu lagi tidak sedestinasi. Mereka mahu kami berada di kota ini. Di sini pilihan lebih menjanji dan memesrai mereka berbanding di desa itu. Di sinilah tersemai harapan masa depan.
Maka, tak terhindari lagi, kenangan lamaku bakal mengekori ke pusara.
No comments:
Post a Comment