Saturday, 1 September 2018

Rapuh 17

Rapuh 17
Dengan henfon di tangan, banyak keselesaan boleh dirasai/alami. Syaratnya kita bijak menggunakannya. Ambil saja kes berpergian di bandaraya mega Jakarta. Asal ada aplikasi Grab atau Go-Jek di dalamnya, panggillah teksi/kereta atau motosikal untuk bergerak ke sana sini. Kemudian, pergilah ke lain-lain tempat, jika masih ada keinginan. Jangan risau untuk balik ke hotel pada penghujung hari, Grab atau Go-Jek boleh membantu. GPS telah mempermudah kembara dalam hampir segala-segala yang berkaitannya - penginapan dan pergerakan ke merata ceruk di tempat asing. Kita benar-benar mengawal diri sendiri, menjimatkan masa, tidak tersesat, atau tertanya-tanya ke hulu-hilir.
Kami dalam kesedaran begitulah. Lalu D memanggil mobil untuk ke destinasi lain. Bagaikan dilambai dari dekat, sekejap sahaja datanglah ia. Grab mempertemukan kami. TIM kami tinggalkan. Grab membawa kami ke destinasi lain - Kwitang. Internet memberitahu banyak kedai buku bekas di sini. Perjalanan waktu itu masih lancar. Pada pra tengah hari Sabtu jalanraya belum lagi menunjukkan potensi kesesakan. Dalam lebih kurang 10 – 15 minit, kami sudah tiba. Pemandu Grab benar-benar mempermudahkan kami.
Gerai yang kujemba terawal mempamerkan rak bukunya di kaki lima. Kedatanganku digamit ghairah oleh pemiliknya. Ditanyainya judul-judul atau buku-buku yang dicari. Apabila melihat hampir semua buku adalah cetakan baru, aku jadi hambar dan dia agak kecewa. Apabila kunyatakan inginkan buku-buku bekas (terpakai) dalam bidang-bidang kesusasteraan, sejarah, budaya, dan lain-lain dipelawanya aku ke bahagian belakang, berhampiran . Lalu ditunjukkan ikatan buku-buku yang termasuk dalam bidang-bidang kunyatakan. Apabila aku masih tidak menemui hajat di hati dia sangat kecewa.
Aku permisi lalu beralih ke kedai lain, beberapa langkah jaraknya dari situ. Para pekedai yang ada dalam premis itu ternyata tiga atau empat orang. Mereka ada rak-rak sendiri. Walaupun setiap seorang ‘pegerai’ mempelawa ke rak-rak milik masing-masing, pelanggan atau aku bebas untuk meninjau mana-mana rak buku yang disukai. Mereka membiarkan dan akan sedia membantu jika kita memohon pertolongan. Walaupun banyak buku dalam premis kedua ini, tiada satu judul pun menawan minatku.
Ada beberapa lagi pekedai jalanan selepas premis tadi. Satu mempunyai judul-judul termasuk salah satu pengkhususan carianku iaitu kesusasteraan. Kebetulan ada juga beberapa orang pengunjung lokal mengamati judul-judul berkenaan. Mereka dilayan oleh pemilknya. Demi menjimatkan masa, aku beredar. Judul-judul dan gerai itu akan kuulangi semula sebentar lagi. Mungkin kalau judul-judul itu tiada di gerai-gerai yang bakal diterokai seterusnya, atau kalau harga-harga judul-judul itu berbeza aku akan membuat pertimbangan yang lebih memanfaatkan diri kelak.
Setelah meninjau-ninjau beberapa rak-rak kaki lima aku ke premis yang lain yang agak besar. Di dalamnya banyak buku dan banyak pemilik – mungkin sembilan orang. Masing-masing dengan sempadan koleksi buku-buku masing-masing.
Dalam premis terbesar inilah aku mulai membeli buku-buku. Buku-buku Pramoedya Ananta Toer, M. Quraish Shihab, Ibn Khaldun, Ajip Rosidi, dan beberapa pengarang lain. Biasalah aku membeli beberapa buah buku dengan seorang pegerai. Ini bertujuan untuk tawar menawar harga keseluruhan. Pengalaman membeli mengikut kaedah ini kukira memenuhi prinsip menang-menang. Aku seronok dan pegerai gembira. Aku membayar harga yang ‘murah’ dan penjual pula laku dagangannya.
Hampir sejam aku di premis ini. Agak berat juga buku yang sudah dibeli. Semuanya dimasukkan dalam beg di belakangku (Rp.340.000+50.000+35.000).
Sebaik keluar premis itu aku menuju semula ke gerai kaki lima yang ada koleksi sastera. Di sini kubeli empat judul (Rp50.000). Kemudian aku kembali semula ke gerai pertama disinggahi dan di sini tiga judul lagi dibeli (Rp 100.000). Gembira juga aku melihat penjual itu akhirnya berwajah riang lantaran berjaya menjual buku-bukunya kepadaku. Pun, dalam semua transaksi resit-resit pembelian tidak dikeluarkan. Dan yang begini memang dijangka.
D menghubungi Grab lagi. Avanza segera datang. Kami meninggalkan Kwitang hendak ke Thamrin City. Bacaan awalku memberitahu ada kedai-kedai buku bekas di situ. Sedikit malang perjalanan ke situ mengambil masa yang agak lama. Satu jalan utama yang sepatutnya digunakan telah ditutup. Polis ada mengawal. Tindakan itu memberi impak menyesakkan aliran trafik pada keseluruhannya. Entah sebab apa tindakan itu dilakukan tidak pula diketahui. Pemandu kami terpaksa berpatah balik, mengambil jalan alternatif yang semuanya kemacetan.
Kami tiba di Thamrin City dengan perut yang menuntut pengisian. Lalu inilah yang diutamakan. Seluruh lajuran kedai makan di tingkat bawah kompleks raksaksa itu kami tinjau. Hampir semuanya dikerumuni para pelanggan. Memang waktu itu orang makan tengah hari. Akhirnya, ada sebuah restoran, Bale Baken yang memberi ruang untuk kami duduk di meja yang kosong di luar premis. Dua kerusi lagi sudah pun dipenuhi oleh pelanggan-pelanggan lain.
Makanan utama di restoran ini berkisarkan ayam bahkan ditulis khusus “Spesialis Ayam Mercon”. Dan ayam dan nasilah hidangan tengah hari kami. Pelanggan-pelanggan lain pun kuperhatikan demikian juga. Kukira pengendalian restoran terbukti cekap. Pekerjanya kebanyakan wanita yang masih muda, sopan dan ayu pula dalam uniform batik mereka. Dari meja luar kami berpindah ke bahagian dalam restoran. Dua kerusi di dalam baru menjadi kosong. Lebih selesa berhawa dingin menjamu selera berbanding dalam kerimasan di meja luar. Selesai makan kami beredar. Kami telah membayar Rp 124.000 untuk 2 paket komplit bersama 2 Es Teh Manis, sebaik membuat pesanan awal-awal tadi.
Kami ke surau untuk bersolat jamak. Melintasi ruang niaga tidaklah mudah. Ramai pelanggan menyesakkan hampir semua laluan di antara kedai-kedai di aras bawah itu. Setiba di surau, kudapati ramai juga pengunjung yang bersolat di situ.
Kami belum lagi mengenal pasti tempat sebenar kedai-kedai buku bekas. Namun, alamatnya ada dalam diariku.
Comments
Jaafar Yaacob Mohon kongsi Dato Ahmad Said. Terima kasih.
Manage
LikeShow More Reactions
Reply17w
Rohaizan Ahmad Banyaknya perkataan perkataan baru tapi bergaya lama indahnya berbahasa dlm penceritaan pengalaman d Djakarta ini.. Teruja saya.. Mohon d kongsi..
Manage
LikeShow More Reactions
Reply17w
As'Abbas As'Abbas Itu namanya pengalaman mengusik jiwa Pakk..hehe
Manage
LikeShow More Reactions
Reply17w
Rohaizan Ahmad As'Abbas As'Abbas ..Tuan kemana menghilangnya gerangan? Udah lama tiada perkhabaran.. Masih sudi secangkir kopi sepotong talam?

No comments:

Post a Comment