Saturday, 1 September 2018

Rapuh 13

Rapuh 13
Lalu ia terjadi lagi. Sebagai pastinya datang Isnin, Selasa dan Rabu demikian jugalah aku menjengok Pekanbuku setiap beralih nama-nama hari itu. Premisnya telah tinggal 5 peratus berbaki berbanding tampungan dan sosok kukuh asalnya. Pembeli yang datang pun sudah boleh dibilang dengan jari sebelah tangan sahaja lagi. Satu jari itu khusus untukku kerana ketaatan yang tidak meluntur.
Aku sedar sendiri, kalau orang lain itu bukan segilerku mengiuri buku, Pekanbuku pada ‘hari-hari terakhir’nya bukan destinasi pilihan yang masuk akal. Melihat kesepahannya, sudah cukup untuk ‘meloyakan’ sesiapa pun. Tetapi suasana begitu tidak melemahkanku sedikit pun. Kesepahannya, kuakui, tidak pun lebihnya berbanding dengan kesepahan malar di rumah sendiri. Aku sudah lali dengan keadaan demikian. Ia malah menjadikan penyelongkaran judul-judul pilihan menjadi lebih mennyeronokkan didukung keunikan cabaran-cabarannya!
Buku-buku yang hendak dipilih sudah semakin sukar ditemui. Namun, pada akhirnya tetap dua atau tiga resit pembelian kubawa balik, bersama-sama dua atau lebih beg plastik yang penuh berisi. Buku-buku itu sebenarnya bukan lagi pilihan utama. Ia tidak akan merugikanku sedikit pun tanpa memilikinya.
Buku-buku itu boleh jadi, yang semalam atau sebelumnya diketepikan berbanding yang telah awal dibeli. Anehnya, buku-buku yang semalam tidak mendapat keutamaan, pada hari berikutnya muncul mengungguli senarai yang terpilih. Ada juga buku-buku yang termasuk senarai kerana penolakan semalam telah mengganggu ketenteraman minda apabila telah berada di rumah. Buku-buku itu menggamitku supaya datang mengutipnya. Jangan biarkan peluang terlepas! Boleh juga sebab lain. Harga asalnya yang mahal bertukar menjadi sangat murah oleh diskaun lumayan, menjadikan pengenepiannya semalam itu suatu tindakan yang tidak bijak. Lebih tepat merugikan seorang pembeli bistari.
Bahkan kerap juga berlaku, dan ini pernah dinyatakan dalam posting lebih awal, pembelian dua atau tiga kali untuk judul-judul yang sama. Ini tidak dapat dielakkan kerana lambakan buku yang mendadak tidak benar-benar memberi kesempatan bagiku secara pasti ingat judul-judul yang tersedia dalam koleksi.
Perulangan judul kadang-kadang sengaja dibuat kerana beberapa sebab. Terutama, buku itu benar-benar berkualiti sama ada dari segi pengarang ataupun kandungannya. Keilmiahan atau keakademikan penulisannya memukau. Tambahan lagi, judul-judul itu diramalkan berpotensi menawan orang lain untuk memiliki sama. Maksudnya, judul-judul itu boleh memberi keuntungan kepadaku kemudian. Aku boleh membarternya dengan judul-judul milik orang lain dalam sesi-sesi yang membuka aktiviti itu. Bahkan, judul-judul itu boleh juga dijual semula untuk mendapat modal asal berserta laba yang wajar.
Ada pertimbangan ekonomi, dan kualitatif sekali gus.
Pengalaman mengambil bahagian dalam barter buku di Pasar Buku Kota Bharu telah memperteguh resolusi menapak ke hadapan. Ada Pasar Buku orang-orang ‘sejenis’ku setiap dua minggu di Bandar Baru Bangi. Pada awal-awal penganjurannya, sudah banyak buku kupunggah balik ke rumah. Jarak yang memakan hampir sejam perjalanan dari Kampung Tunku ke situ bukan penghalang untukku lebih aktif menyokong inisiatif itu.
Buku-buku sebenarnya banyak membuka kemungkinan-kemungkinan. Ia mengilhamkan. Ia positif semuanya. Selama ini buku telah memberiku kepuasan mental yang menakjubkan. Ia telah melupuskan sama sekali karenah ketuaan dalam perjalanan kehidupan masakini, dan aku percaya pada masa-masa yang sedang mendatangi, segera atau berjarakan.
Comments
Isahak Haron Saya tabik tinggi sungguh minat Dato membuat koleksi buku. Ulat buku. Dato tahu hargai buku n Pekan Buku. Ya Pekan Buku UM pernah menjadi pusat membeli belah buku pelbagai jodol dalam pelbagai bidang. 
Saya juga kerap ke sana membelik n membeli buku b
aru, sebagai ahli Koop UM. 
Tak lama dulu ada juga buku saya dijual di situ. Saya letak 4-5 salinan buku 'Fahami Bacaan dalam Solatmu' setiap kali. Dalam sebulan habis. Gembira sangat sebagai penulis!
Manage
LikeShow More Reactions
Reply19w
Ahmad Said Buku Prof. tu pun saya sambar sebuah.
Manage
LikeShow More Reactions
Reply19w
Isahak Haron Pagi tadi saya ke Pekan Buku UM. Beli 12 jodol dgn 80% potongan harga. Berbaloi. Setengahnya untuk rujukan sendiri. Yang lain utk cucu. 
Sedih mendengar cerita2 Koop UM yg gah di zaman Prof. Diraja Ungku Aziz menjadi bagitu meleset n rugi bagitu teruk. Ada usaha utk menghidupkannya. Pengerusinya sekarang Prof. Madya Dr. Salihin dari Jabatan Kimia, UM. Saya harap beliau n J/K nya berjaya.

No comments:

Post a Comment