Rapuh 24
Isnin, 16 April 2018.
Nombor 1 untuk dilakukan hari ini ialah mengunjungi Pusat Dokumentasi Sastra H.B. Jassin (PDSHBJ). D tidak mahu ke sana. Memang pun bukan minatnya menyelongkar buku atau bersasteraan atau seumpamanya. Aku harus ke sana bersendirian. Tidak sempurna kunjungan ke Jakarta tanpanya.
D menghubungi Grab. Dengan henfon memesan perkhidmatan motosikal Grab atau Go-Jek mudah sahaja diuruskan. Aku pun perlu belajar dari D untuk berdikari. Bergantung pada orang lain boleh menimbulkan masalah. Sebenarnya memahirkan diri dengan aplikasi Grab atau Go-Jek bukan lagi alternatif. Ia adalah kemestian. Menguasainya seolah-olah memiliki drebar sendiri. Di mana-mana. Di Putrajaya, Kuala Lumpur apalagi di Jakarta. Dengan pengetahuan itu aku tiba-tiba berdikari. Yakin selesa walau ke mana-mana.
Bergerak bersendirian di Jakarta lebih mudah membonceng motosikal. Apalagi hari bekerja. Aku turun ke bawah menunggu kenderaan di depan Red Planet. Seperti biasa masanya tidak lama. Motosikal Grab yang berkenaan tiba segera. Aku memboncengnya dengan yakin.
Bermotosikal untuk ke sana sini kebelakangan ini sudah menjadi perkara lazim. Di rumah pun aku sering menggunakan motosikal – untuk ke masjid, membeli akhbar, membayar bil di pejabat pos atau berurusan di bank dan lain-lain. Dengan begitu banyak masa dijimatkan. Tiada masalah parkir. Tiada masalah kesesakan trafik. Pendek kata, tidak setiap kali bergerak aku berkereta. Ada masanya aku menggunakan basikal. Usia semasa tidak menggugat rutin demikian.
Kesesakan di Jakarta jauh hebatnya. Ia mengungguli Kuala Lumpur sejauh perbezaan antara kesesakan di George Town berbanding Kangar. Namun, kesesakan meruncing itulah yang mengawal kelajuan kenderaan termasuk motosikal. Ini bermakna, adalah sukar sesuatu motosikal mencapai kelajuan, katalah melebihi 80 km/j. Ini juga menjamin keselamatan. Asalkan pemandunya cekap menyelinap di antara laluan atau lorong-lorong yang terluang pergerakan ke destinasi kukira tiga empat kali mengatasi kereta.
Perjalanan dari Red Planet ke Taman Ismail Marzuki (TIM) lancar. Motosikal, kereta dan kenderaan lain memenuhi jalanraya. Berderuan. Tiada pun laluan yang tidak sesak. Jauh sekali dari lengang. Dari kedua-dua hala yang bertentangan. Terpampang di mata, manusia di sini ada urusan untuk menyara diri. Masing-masing ada tugasan. Kenderaan harus menyesakkan jalanraya memikul tanggungjawab menghubungkan. Rakyat harus ke sana-sini menyibukkan diri. Tiada cara lain untuk menyelesaikan fenomena yang ada. Sekurang-kurangnya dalam jangka masa terdekat ini.
Aku menepuk bahu pemandu mengisyaratkan berhenti apabila sampai di depan pekarangan TIM. Dengan beg sandang tersangkut di belakang aku melangkah yakin ke Pusat Dokumentasi Sastra H.B. Jassin. Tinjauan semalam menghilangkan sebarang keraguan. Pusat ini telah aku tahu pasti lokasinya.
Tetapi yang lebih dahulu perlu diutamakan ialah bersarapan. Kira-kira pukul 9.30 pagi sebuah dua restoran di Kompleks Kantin TIM telah dibuka. Hari ini aku ke restoran bersebelahan restoran tempat aku makan bakso semalam. Restoran semalam itu belum lagi bersedia untuk berniaga. Sebaik duduk petugas menghampiri minta kutulis pesanan. Sekali lagi aku memesan bakso spesial dan teh o tawar panas. Dalam lima minit terhidanglah. Dengan bersantai kunikmati. Tak perlu bergopoh gapah. Tempat yang dituju hanya lima minit berjalan kaki. Tapi, secara perbandingan, bakso di sebelah lebih umph. Kubayar harga bakso dan minuman Rp 20,000 dan melangkah lega beredar pergi.
Lanskap di pekarangan hadapan pintu masuk ke Pusat Dokumentasi Sastra H.B. Jassin itu terjaga. Ia kelihatan baru sahaja direka bentuk dan diperindahkan. Satu arca baru mewakili singkatan nama H.B. Jassin iaitu HBJ terdiri teguh. Saiznya tidaklah besar. Namun, dari tiada baiklah ada. Pun, penghormatan itu tidak kuanggap ala kadar.
Ketika menaiki tangga ke tingkat 1, aku terpandang papan tanda “Pusat Dokumentasi Sastra H.B. Jassin” terpampang di pertengahan aras. Di atas, aku berbelok ke kiri dan pada pintu masuk tanda nama yang sama tertulis lagi. Aku menolak daun pintu kayu bercermin itu dan beberapa langkah ke kiri sudah sampai ke kaunternya.
Aku terus memperkenalkan diri – nama, asal dan maksud kedatangan. Petugas itu menyatakan pihaknya sedia melayani. Memang pusat itu terbuka juga malah kepada pengunjung-pengunjung bukan warganegara. Bukan sedikit kajian-kajian dilakukan oleh mahasiswa dan sarjana di situ, dalam atau dari luar negara. Semenjak bertahun-tahun sampai sekarang.
Kebetulan Ketua PDS berada di situ. Pak Isnin, petugas di kaunter itu, memperkenalkanku kepada beliau. Pak Diki namanya. Kemudian, aku diminta menulis nama dan tempat asal di dalam buku daftar pelawat. Kami, Pak Diki dan aku, bergambar di hadapan potret H.B. Jassin yang tergantung di ruang itu.
Pak Isnin mengiringiku masuk ke ruang utama pusat. Aku melihat di dalamnya rak-rak kayu tersusun memenuhi ruang. Setiap rak mengandungi folder berisi dokumen-dokumen asal para karyawan yang sebahagian telah dikumpul oleh H.B. Jassin. Awal-awal tadi pun, di kaunter Pak Isnin menunjukkan satu folder yang berisi hasil-hasil tulisan wartawan terkenal H. Rosihan Anwar termasuk buku yang ditulisnya.
Di ruang utama itu aku sempat memegang folder Chairil Anwar dan sepintas lalu membelek beberapa helaian manuskrip yang ada. Juga, aku melihat tempat letak folder Sutan Takdir Alisjahbana, Achdiat K. Mihardja. Juga melintasi Goenawan Mohamad. Masa tidak memberi kesempatan untuk aku meneliti lebih banyak folder. Tetapi jelas bahawa folder yang banyak itu mengandungi manuskrip asal para karyawan, dan maklumat-maklumat peribadi mereka yang berkaitan.
Menyaksikan pusat ini pastilah menimbulkan kekaguman kita terhadap H.B. Jassin. Barangkali tiada akan muncul lagi seorang lain setekun beliau. Komitmen dan konsistensi untuk berlama-lamaan melakukannya sehingga terkumpul bahan-bahan untuk orang-orang lain menyelidikinya benar-benar mengkagumkan. Kesusasteraan Indonesia beruntung hasil dari pengorbanan dan sumbangan beliau. Tidak disangkal lagi bahan-bahan itu memperkayakan kesusasteraan negara. Lebih-lebih lagi, pada zaman sekarang, bidang kesusasteraan sudah semakin terabai dan teknologi telah begitu merobah kaedah pendokumentasian sumber-sumber dari para karyawan.
PDS telah semakin bertambah koleksinya berbanding koleksi asal Jassin. Melihat suasana ternyata keseluruhan koleksi tidak diatur sebaik-baiknya. Dari penjelasan Pak Isnin aku mendapat kesan tentang pendukungan pihak berkuasa terhadap kelangsungannya. Masih ada kotak-kotak berisi bahan-bahan yang kekal bertutup terletak di hujung ruang mengasak dinding. Akhbar-akhbar pun bertimbun tak terurus. Ada tanda keterbiaran. Pak Isnin memberitahu keadaan itu berpunca dari kekurangan ruang. Dapat pula kutelah, pusat itu tidaklah sangat beroleh peruntukan yang sewajarnya. Tentulah ia bersaing dengan jabatan-jabatan yang lain untuk memperolehi peruntukan untuk meneruskan kelangsungan.
Kunjungan sepintas lalu tidak banyak memberi maklumat substantif tentang koleksi yang tersedia. Memang setiap folder harus diteliti untuk mengapresiasi nilai sebenarnya.
Hanya pemerhatian peribadi secara langsung, iaitu dengan hadir di situ dan memandang dengan mata sendiri, lebih mengesankan tafsiran. Aku melihat rak-rak kayu memenuhi ruang menampung dokumen-dokumen berharga yang tersimpan.
Suatu ketika dahulu pernah kubaca sebuah rencana tentang pusat ini. Keterbiaran ketika itu dikatakan sudah pun berlaku. Ketika itupun, rak-rak kayu itu ada disebutkan. Boleh jadi rak-rak kayu itu boleh bertahan lama. Tetapi zaman telah berubah. Ia seharusnya diganti sesuai dengan kemajuan yang dicapai masa kini. Pusat itu seharusnya berwajah lebih ceria dan canggih. Ataukah juga, hal-ehwal kesusasteraan tidak lagi disanjung setinggi beberapa ketika dahulu? Lalu, pendekatan melestarikan terketepi. Tinggallah ia terkebelakang. Sepi dari penambahbaikan.
No comments:
Post a Comment