Rapuh 9
Hari Khamis, (22 Mac 2018) aku dan isteri balik kampung untuk urusan keluarga. Jadi, tinggallah Pekanbuku tanpa kukunjungi. Seketika. Namun, di Kota Bharu terlepaskah aku dari buku-buku? Ketika hendak bertolak meninggalkan rumah dua kotak, satu berisi buku-buku, dan satu lagi berisi majalah-majalah, kumasukkan ke dalam but kereta. Ada hajat hendak dilakukan di destinasi.
Dalam Fb kuketahui Pasar Buku Kota Bharu diadakan pada hari Sabtu terakhir setiap bulan bertempat di Bazar Tok Guru. Beberapa hari sebelum ini, ketika membeli di Kedai Buku Terpakai Bangi di Seksyen 7, pengurus kedai pun memberitahu cawangan kedai itu baru dibuka di Bazar Tok Guru. Tentulah satu kebetulan yang menyenangkan dua hajat tercapai serentak – berurus niaga di PBKB sambil juga meninjau cawangan kedai terpakai, serentak meneroka koleksinya.
Pada hari Sabtu yang ditentukan (24 Mac 2018), hujan turun awal-awal pagi lagi. Jam 8.30 pagi aku bersama-sama isteri ke RTC di Tunjong untuk membeli keperluan. Biasanya di sinilah kami lakukan setiap kali balik kampung. Memang barangan di sini lebih rendah harganya lagi berbagaian berbanding di tempat-tempat lain di Kota Bharu. Lokasinya pun berdekatan tempat kami menginap. Dalam 7-10 minit tempat ini sudah boleh sampai berkereta.
Selepas menghantar pulang isteri aku terus ke Kota Bharu. Dari situ jaraknya 7 kilometer sahaja. Perjalanan lancar. Dalam 10-15 minit aku sudah meletakkan keretaku di parkir di aras bawah Bazar Tok Guru.
Aku menggunakan tangga naik ke Tingkat 3. Melalui pintu di ruang tangga dapat kulihat Tingkat 1 ada orang berniaga. Aku keluar di Tingkat 2 dan mendapati, kecuali satu dua petak yang diniagai, yang lain-lain bertutup rapat. Ternyata ia tidak digunakan. Lalu aku ke Tingkat 3. Tingkat ini pun masih banyak terbiar tanpa penghuni. Barangkali tidak lebih daripada 15 peniaga sahaja yang menyewa di situ.
Lebih kurang pukul 10.30 aku tiba di lokasi PBKB. Ternampak ada sebuah meja telah sedia tersusun buku-buku untuk jualan. Seorang gadis ada berhampiran. Sebuah lagi meja paling tengah kedudukannya di aras itu belum lagi diletakkan buku-buku. Tentu beg yang terletak di kaki meja itu berisi buku, fikirku. Seorang peniaga berhampiran memberitahu pemiliknya turun ke bawah untuk mengambil buku-buku yang lain.
Sebentar kemudian pemilik meja itu tiba. Apabila terpandangku dia segera mengenali. Sebenarnya, kami adalah ber‘friend’an dalam fb. Kami bersalaman. Aku memberitahu beliau ada membawa sekotak buku-buku tetapi serba salah mengambil bahagian. Beliau menggalakkan aku membuka sebuah meja berhampiran. Aku jadi nekat. Segera kuturun ke kereta mengambil kotak buku-buku dan membawanya ke atas.
Dahari, ‘friend’ itu, membantuku menyusun buku-buku. Dalam masa sekejap sahaja, meja itu kelihatan tersusun cantik seakan profesional. Buku-buku yang dibawa memenuhi permukaannya. Keseluruhannya, pada sekitar jam 11 pagi, ada enam meja menjaja. Di samping itu dua kedai buku yang sedia dibuka di premis itu sama-sama menyertai. Aku kira dengan penyertaan kumpulan kami, PBKB sudah menceriakan suasana di situ.
Sebenarnya, penyertaanku lebih bertujuan merealisasikan barter buku. Barangkali untuk mengharapkan para pengunjung yang datang membawa buku mereka untuk tujuan itu dikira terlalu ‘berharap’. Tetapi di kalangan kami, ternyata semangat memiliki buku-buku yang belum ada dalam milikan masing-masing tetap menyala.
Buku-buku pameranku berjaya menawan teman-teman penjaja yang lain. Kami berempat saling bertukaran. Dahri membarter 3 buah, Faizal dua buah, dan Salman 4 buah. Bermakna aku memperolehi 9 buah buku judul baru.
Seorang ‘friend’ fb yang ada berkunjung sudi singgah di mejaku, Beliau membeli sebuah antologi puisi dengan diskaun 70%. Kebetulan pula seorang penulis buku-buku ilmiah yang pernah seperkhidmatan dalam perkhidmatan PTD singgah juga. Kuhadiahi beliau sebuah buku yang digemarinya. Ini bermakna 11 buah bukuku laku ditransaksikan.
PBKB diatur berakhir pada pukul 6 petang. Tetapi, suku jam lebih awal aku sudah berkemas untuk meninggalkan premis. Anehnya, aku membawa turun lebih banyak buku ke kereta. Kotak asal yang dibawa tidak dapat menampung semuanya. Ini berlaku kerana aku sendiri membeli pula beberapa buah buku lain di cawangan Kedai Buku Terpakai Bangi itu.
No comments:
Post a Comment