Rapuh 15
Aku tiba di KLIA kira-kira pukul 5.30 petang. Cukup selesa untuk penerbangan jam 8.30 malam. Selepas mengitari beberapa kaunter tiket dan meneliti jadual penerbangan aku berbaris bersama-sama penumpang yang sedang ramai beratur untuk mendaftar masuk. Empat kaunter tiket Malindo Air dibuka serentak. Aku tidak mencek-in bagasi. Ia amat ringan dan selesa dibawa sendiri ke dalam kabin pesawat.
Kemudian, aku segera melepasi pemeriksaan imigresen secara imbasan pasport automatik. Oleh kerana belum lagi bersolat Asar aku menuju ke surau menunaikannya. Sebaik solat aku terus menuju ke Pintu G10 menunggu waktu penerbangan. Pesawat OD 318 Boeng 737-800 Jet itu bakal berlepas dua jam lagi. Ketika itu, di pintu berhampiran penumpang-penumpang Malindo Air ke Lahore sedang beratur untuk ke dewan manunggu sebelum boarding.
Aku mencari sudut yang agak lengang untuk duduk-duduk menunggu. Sambil itu henfon menjadi teman setia memanfaatkan masa.
Tiba waktunya, aku beratur bersama-sama penumpang lain untuk memasuki dewan menunggu. Kami hanya duduk sekejap kerana segera dipanggil boarding. Sebagai warga emas aku mengambil kesempatan memasuki kabin seawal mungkin. Penerbangan itu 2/3 penuh.
Ada sedikit kelewatan pesawat berlepas kerana menunggu perintah Pengawal Trafik Udara. Pukul 9.15 malam pesawat mulai berada di udara. Pada barisan duduk bernombor 12 sebelah kanan, tempat aku duduk semuanya penuh. Semuanya orang Malaysia.
Penumpang dihidangi snek dan minuman selepas hampir sejam berlepas. Ia tidaklah sampai mengenyangkan tetapi memadai sebagai alas perut sebelum tiba di destinasi.
Selepas 2 jam 5 minit pesawat dijangka mendarat di Terminal 2, Bandara Sukarno-Hatta tetapi izin Pengawal Trafik Udara belum diterima. Pesawat mengitari udara seketika. Kami mendarat juga akhirnya.
Kuperhatikan ramai juga penumpang yang tiba dari negara-negara lain sudah beratur di hadapan kaunter Imigresen. Namun, pemeriksaan berjalan lancar. Aku melepasi kaunter tanpa masalah.
Sebaik keluar, kulihat ramai orang menunggu, sebahagian memegang pelekat masing-masing. Nama-nama para penumpang yang mahu dijemput terpapar jelas.
Aku meninjau-ninjau seseorang di kawasan kaunter-kaunter tempahan teksi dan pertukaran wang. Tiba-tiba belakangku dicuit. D, anakku yang sedang berkursus di Jakarta sudah pun ada di situ.
Kami menuju ke kawasan parkir. Di situ D menghubungi Grab untuk memesan kereta ke Jakarta Pusat. Sebentar kemudian, sebuah kereta Avanza tiba. Kami menaikinya.
Perjalanan ke Jakarta Pusat mulanya lancar. Apabila sudah hampir dengan tempat yang dituju kesesakan berlaku. Kereta dan motosikal berasak-asak di persimpangan jalan. Rupanya ada perarakan Israk Mikraj di sekitar itu. Kata pemandu Adam, mereka mungkin baharu selesai menghadiri majlis di Masjid Istiqlal yang tidak jauh dari situ.
Selepas lokasi kesesakan itu, perjalanan lancar semula. Kami tiba di Ibis Budget Jakarta Cikini hampir 1 pagi. Selepas mengambil kunci, kami menghantar beg ke bilik. Bilik itu bersih dan kemas. Selesa diinapi.
Oleh kerana aku sedikit lapar kami turun meninjau tempat-tempat makan di sekitar hotel. Tiada yang sesuai. Lalu kami ke restoran di aras bawah hotel. Aku makan kuetiau goreng beriring teh panas. D tidak memesan makanan kerana tidak terdesak makan sama.
Kami terus naik ke bilik apabila selesai makan. Selepas mandi dan bersolat jamak taakhir, aku melabuhkan badan di katil. Waktu Jakarta lebih awal sejam berbanding Kuala Lumpur.
Subuh di Jakarta bakal datang segera. Dan solatnya wajib. Aku mengunci waktu 4.30 pagi di henfon. Kami wajib bangun menunaikan fardu itu nanti.
No comments:
Post a Comment