Saturday, 1 September 2018

Rapuh 16

Rapuh 16
Hari Sabtu, 14 April 2018. Sebaik solat Subuh, terlalu awal untuk ke mana-mana. Pilihan terbaik ialah melayan kantuk kerana tidur yang terlalu singkat malamnya.
Ketika mentari mencerahkan sekitaran, aku meninjau sekitaran hotel dari Tingkat 3. Di bawah, sudah ramai orang di sekeliling kolam renang. Dari sini kegiatan di situ jelas kelihatan. Ternyata hari itu ada petandingan renang. Peserta-peserta dilepaskan serentak oleh referi dan setiap pusingan ada pula pencatat masa merakamkan kepantasan mereka. Memang ramailah para perenang itu. Juga, keluarga masing-masing duduk-duduk di tepi kolam menyaksikan.
Mengikut selidikan awal urusniaga tempat destinasi dijadualkan bermula pada pukul 10 pagi. Kami tidak pula digesa untuk ke tempat lain. Masa benar-benar ada di tangan sendiri. Lokasi yang hendak dituju pun memang terletak di situ. Dekat. Untuk sampai aku hanya perlu berjalan kaki. Tidak perlu naik apa-apa, kereta atau motosikal.
Malam tadi pun kami telah memasuki laman Taman Ismail Marzuki (TIM). Rupa-rupanya ada ceramah agama di kawasan parkir. Penuh sesak penonton hadir mendengarnya. Barangkali ia acara khas sempena menyambut Israk dan Mikraj. Penceramahnya ternyata pandai melawak. Ketika kami berada di situ, kulihat khalayak penonton tergelak-gelak dengan penyampaian. Pun, tidak pula kuamati isi ceramah, walaupun beliau berbahasa Indonesia standard.
Dari tinjauan malam tadi, tahulah kami TIM dan khususnya kedai buku yang hendak dijelangi itu terletak berdekatan hotel. Pengetahuan awal itu meredakan sebarang keresahan.
Pada pukul 9 pagi, kami sudah siap berpakaian. Tiada tempat khusus dituju untuk sarapan. Lalu kami terus ke kompleks. Berjalan kaki. Kawasan itu masih lengang. Deretan kedai di kantin belum bersedia benar menerima pelanggan. Ada sebuah dua yang mulai membuat persediaan untuk berniaga. Kantin itu berdekatan dengan Kompleks Teater XXI TIM. Kami melajak ke situ dan mencari-cari kedai buku yang difahamkan berada di situ. Tiada pun kelihatan tanda namanya. Kami mengambil kesempatan bergambar di hadapan bangunan yang ada untuk kenang-kenangan.
Pada pukul 9.30 pagi sudah ada tiga restoran mulai berniaga di kantin tadi. Para pelanggan sudah ada di meja-meja yang tersedia. Sebuah restoran itu lebih ramai pelanggannya berbanding yang lain. Kami meramaikan lagi pelanggannya dengan duduk di situ dan memesan sarapan. Sebenarnya di situ semua orang memesan dan makan pecal. Itulah yang kami cuba ikut. Hendak tahu rasanya.
Seorang wanita mungkin berusia 60-an yang menyediakan makanan itu. Bahan-bahan jualan ada di atas sebuah meja boleh lipat yang tidak berapa besar, dan sebahagian di sekitar kaki meja itu. Aku kurang pasti sama ada dia menumpang premis itu atau penyewa sebenar. Dia tidak menggunakan kabinet makanan yang memang ada di ruang itu. Kabinet itu masih kosong. Tidak mempunyai sebarang makanan terpamer. Boleh jadi, ia akan berfungsi mulai waktu makan tengah hari.
Tetapi pecal itu disukai ramai. Pelanggan datang dan pergi. Sebahagian datang berkawan atau sekeluarga.
Aku sendiri tidaklah biasa dengan makanan sebegitu. Apalagi bertemankan nasi. Ya, pecal itu dihidang bersama nasi. Dalam satu pinggan. Tiap seorang satu. Ia tidak sedikit. Sukatannya mendekati makan tengah hari. Aku dapat menyelesaikan hidangan itu dengan mudah. Dengan sebotol air mineral yang dibawa dari hotel sempurnalah sarapanku. Begitu juga D.
Kami sekali lagi ke kompleks Teater XXI. Jam sudah melewati 10 pagi. Kedai buku yang dicari belum lagi kelihatan. Kemudian kami bertanyakan pengawal keselamatan di situ. Dia memberitahu letak kedainya dengan menuding dengan telunjuk. Dia menanggap kerana hari itu adalah Sabtu, kemungkinan ‘kesiangan’ atau lewat dibuka.
Tidak mahu membazirkan masa aku memutuskan ke tempat lain. Banyak tempat lain tercatat dalam diari untuk dijemba. Lalu, kami berjalan ke arah jalan utama. Ketika melalui sebuah rumah makan aku terpandang paparan buku-buku di atas meja di depan pintu masuknya. Aku singgah melihat-lihat. Semuanya buku-buku baru, termasuk beberapa buku Pramoedya Ananta Toer, HAMKA, tentang Sukarno, dan buku-buku agama. Kulihat juga tanda harga yang tertampal dan merumuskan tidaklah murah. Penjaga kedai itu keluar melayan pertanyaanku. Dia hanya boleh memberi 10% diskaun jika aku membeli buku-buku itu.
Kami beredar menuju jalan utama.
Comments
Ahmad David Kholilurrahman Semoga lain masa, Pak Ahmad Said boleh juga berjumpa majelis pengajian yang tak banyak gelak tawa...
Manage
Reply18w
Ahmad Said Ramai sekarang penceramah suka berjenaka, sampai seakan itulah yang lebih diutamakan, ketimbang isinya.
Manage
Reply18wEdited
Ahmad David Kholilurrahman Saya mungkin tak sampai 2 minit saya tinggal kan majelis macam tu...😁
Manage
Reply18w
Ahmad Said Anehnya penceramah yang demikian dikerumuni dan saya percaya khalayak umum dipengaruhi dan menjadi taksub serta sentiasa menyanjungi penceramah tersebut sungguhpun alasan atau pendirian beliau ke atas sesuatu isu tidak menyeluruh atau komprehensif bahkan memihak.
Manage
Reply17w
Ahmad David Kholilurrahman Barangkali ada yang terpesona setakat cerita kisah, bukan isi muatan kandungan yang tersimpan disebaliknya hukum dan hikmah.
Manage
Reply17w
Ahmad Said Saya tunjukkan buku-buku yang dijual di rumah makan ini
Manage

No comments:

Post a Comment