Saturday, 1 September 2018

Rapuh 12

Rapuh 12
Aku berlepas dari Kota Bharu pada hari Isnin 26 Mac 2018. Sengaja dipilih hari itu untuk mengelakkan kesesakan bertembung dengan mereka yang balik ke Kuala Lumpur pada hari Ahad selepas tamat bercuti sempena cuti persekolahan. Jalan Kota Bharu-Gua Musang-Kuala Lumpur terlalu tersohor dengan kepadatan laluannya.
Kami bersarapan di Kafeteria RTC di Tunjong. Aku dengan sepiring pulut pagi dan isteriku dengan nasi dagang. Termasuk minuman, kami sudah beralas perut dengan kos RM6.50. Isteriku membeli keperluan dapur selepas itu. Dibelinya laksam dan laksa kosong 5 kilogram, lada solok dalam sukatan yang banyak tetapi amat murah, mempelam dan keropok keping. Tidak juga lupa dibeli nasi bungkus berlauk daging goreng darat untuk bekalan makan tengah hari. Dengan begini tidak perlu singgah lagi di kedai makan dalam perjalanan.
Kami tiba di Masjid Sungai Koyan ketika orang-orang sedang solat fardu Zohor. Belasan kenderaan ada di tempat letak kereta. Kami memilih sebuah wakaf yang belum sepenuhnya siap untuk makan tengah hari. Nasi bungkus itu banyak juga volumnya tetapi daging goreng darat itu sedikit kental. Pun, semua kami habiskan sekali gus mengenyangkan. Seekor kucing yang datang mengendeng tidak mendapat habuannya.
Hanya, harus kurakamkan di sini, bahawa meja dan bangku batu yang disediakan di wakaf itu kurang selesa. Sebabnya, bangku batu itu terbina padu dengan jarak yang dikira berjauhan dari mejanya. Kedudukan begitu lebih menepati saiz fizikal Mat Saleh berbanding Melayu sawo matang!! Memang jelas cacat spesifikasinya. Aku jangka keadaan itu akan berkekalan. Pastilah penyeliaan projek sangat selekeh.
Kami solat jamak takdim di masjid itu. Segera kami bertolak selepas itu. Tetapi aku kemudian singgah di sebuah masjid setengah jam kemudian oleh kerana mengantuk.
Aku memandu semula lebih kurang 40 minit kemudian. Di gerai berhampiran Masjid Ketari, Bentong, isteriku membeli pisang nangka goreng untuk bekalan sambil memandu di Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur. Perjalanan kami berjalan lancar sungguhpun kenderaan lain bertali arus menuju destinasi yang sama. Kami tiba di rumah lebih kurang pukul 6 petang.
Keesokannya, Selasa 27 Mac 2018, Pekanbuku menggamit lagi. Aku tidak dapat mengelakkan kecuali mengakurinya. Maka, resit-resit pembelian buku di sini sehingga 4 April kurakamkan sewajarnya:
1. 27 Mac, empat resit melibatkan pembelian 49 buku (RM392.50+RM290.45+RM505.00+RM155.90).
2. 28 Mac, empat resit melibatkan pembelian 49 buah buku (RM560.00+RM550.00+RM151.00+ RM26.00).
3. 29 Mac, tiga resit melibatkan pembelian 42 buku (RM650.00+RM524.50+RM515.00).
4. 30 Mac, dua resit melibatkan pembelian 22 buah buku (RM681.00+RM677.60).
5. 31 Mac dan 1 April ialah hari-hari Sabtu dan Ahad.
6. 31 Mac, berkunjung ke Pesta Buku Negeri Selangor di SACC, Shah Alam. Di sini aku berbelanja sebanyak RM79.00. Aku menyusuli kunjungan ini dua kali lagi, keesokan (2 April) dan lusanya (3 April).
7. 1 April, aku berkunjung ke Kedai Buku Terpakai di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi dan berbelanja sebanyak RM120.00. Saudara Jamal sendiri menjaga kedai beliau itu. Di sini resit tidak dikeluarkan! (Barangkali sekiranya diminta). Untuk lokasi ini, lihat postingku “Rezeki” bertarikh 7 Mac 2018 dan “Buku merona citra” bertarikh 9 Mac 2018.
8. 2 April (di Pekanbuku), 3 resit pembelian 32 buah buku (RM507.00+RM447.50+RM254.15).
9. 4 April, dua resit pembelian 24 buah buku RM1069.40+RM8.00).
Demikianlah pembelian yang kulakukan dalam tempoh tersebut.
Comments
Ahmad David Kholilurrahman Naik bas atau memandu sendiri Pak Ahmad Said
Manage
LikeShow More Reactions
Reply20w
Ahmad Said Memandu sendiri.

No comments:

Post a Comment