Rapuh 7
Ada kesenangan yang termaklum di kalangan penggemarnya sahaja apabila seseorang sepertiku berada dalam sekitaran berbuku. Tidaklah berbeza sangat jika kelompokan buku itu di rumah sendiri, di perpustakaan, di kedai buku, di pesta buku. Dengan syarat, buku-buku itu tergolong dalam bidang minat selama ini. Dalam hampir semua tempat buku yang aku kunjungi, syarat ini sentiasa terpenuhi.
Kalau berada di luar rumah, kedai-kedai buku seperti yang diwakili Pekanbuku tidak sukar ditemui. Pun, sukar mencari sebuah kedai buku yang setanding dengan Pekanbuku. Di sini hampir semua keperluan memenuhi minatku ada. Buku sejarah, sastera, agama, budaya, hal ehwal semasa dan lain-lain. Tersedia mendamba. Pilihannya benar-benar lebih banyak dan lebih berkualiti.
Di kedai-kedai seperti Pekanbuku, buku-buku Malaysiana terbitan penerbit-penerbit akademik dari IIPTA menjadi pilihan utama. Tidak sangat perlu dihairankan kecenderungan ini. Ada satu perasaan yakin menyelinap di fikiran memegang dan membaca buku-buku ini. Segi keilmiahannya yang kumaksudkan. Membaca prakata/pengantar, pengenalan, pembaban, bibliografi dan indeks sudah membenihkan hasrat untuk memiliki. Aku tidak gemar membaca buku-buku tanpa unsur-unsur tersebut. Retorik sahaja tanpa sandaran sumber-sumber sahih terpapar berderetan sangat menjengkelkan. Ini tidak pula bermakna semua buku ilmiahi itu terjamin nilai atau keilmuannya. Namun, apabila ia disokong dengan kajian-kajian yang dilakukan oleh pihak-pihak lain, maka sekurang-kurangnya unsur keobjektifan telah menjadi pertimbangan saksama para penulisnya.
Tetapi buku-buku akademik atau ilmiah ini lazimnya mahal. Hanya perpustakaan mampu membelinya dalam keragaman judulnya.
Dahulu-dahulunya, menjadi suatu amalan, buku-buku ilmiah kubeli secara bilangan naskah yang terhad dalam sesuatu kali pembelian. Amat jarang, aku membelinya tanpa disuntik tawaran potongan harga. Diskaun sebanyak 10%, 20%, atau 30% tidak boleh dengan mudahnya mengabui mata dan meringankan tangan mengaupinya. Ada tanggungan lain mengawal ujaan berbelanja.
Asas utama pembelian mestilah dilakukan benar-benar berbaloi. Jangan sampai memudaratkan kantung. Begitupun, dalam tempoh puluhan tahun koleksi, buku-buku secara diskaun kecil ini tidak kurang jumlahnya. Dalam hampir semua keadaan, ia berlaku pada masa-masa tertentu khususnya pada musim-musim pesta buku.
Sebelum ini, aku tidak berpeluang memborong buku-buku ketika kedai-kedainya menggulung tikar. Dan aku juga tidak berpeluang menyerbu perpustakaan-perpustakaan yang hendak menyahkan stok atau koleksi masing-masing. Paling hampir aku merasai pengalaman itu ialah beroleh peluang membeli buku-buku ternyah itu dari penjual-penjual kecil yang semuanya adalah peniaga kecil buku-buku terpakai. Tentulah harganya masih tidak serendah berbanding harga pada sumber asalnya.
Tahun 2018 menjadi sangat istimewa. Memang kita dukacita dengan nasib dan kesudahannya. Tetapi, dari perspektif seorang individu, pengumpul buku setegarku, nasib malang Pekanbuku itu sekali gus bererti rezeki berlimpah-ruah yang amat luar biasa untukku.
Maka, seperti kukatakan, aku tidak henti-henti mengunjungi Pekanbuku. Lebih sebulan dahulu, aku masuki premisnya melalui pintu depan. Berlongok-longok beg plastik berisi buku-buku kuangkut setiap hari ia berurus niaga. Ya, setiap hari. Tanyalah staf-stafnya, sama ada yang sudah diberi notis tamat perkhidmatan, atau yang masih bertahan mengendalikan sisa-sisa perniagaan. Setiap seorang di kalangan mereka tentu kenal pembeli ini. Tentu mereka hairan kerana setiap hari sosokku muncul, menyusul kehadiran kelmarin, dan semalam, seakan salah seorang dari staf yang setia datang tetapi berperanan memilih buku, membayar harganya lalu dengan riang membawanya pulang.
Sudah lebih seminggu, Pekan buku memasang pelekat “TUTUP” di pintu hadapan. Tetapi lebih seminggu juga, aku tidak berdiam diri di rumah meratap nasib ‘institusi’ itu, bahkan tetap mengunjunginya. Hanya sekarang aku memasuki premisnya melalui pintu belakang. Diskaunnya pun tambah lumayan.
Friends, “Aku tidak upaya surut ke belakang” (mendenai Chairil, “aku tidak bisa berpaling”).
No comments:
Post a Comment