Rapuh 22
Di tepi pagar Masjid Istiqlal di penjuru paling dekat dengan taman Monas ada deretan gerai makanan bergerak. D menyebut seorang kawannya memuji ketoprak Jakarta. Jika berkesempatan janganlah dilepaskan peluang menikmatinya. Sekarang, di sini ada gerai yang menawarkan makanan ini. Ketika kami sampai di situ ada dua orang anak muda baru sahaja selesai menikmatinya. Kami mengambil meja yang kosong dan duduk di kerusi yang tersedia lalu D memesan Ketoprak. Gerai-gerai lain berdekatan pun ada juga pelanggan masing-masing. Di situ tiada ketoprak. Yang ditawarkan ialah nasi goreng, bakso dan jenisan mi.
Selepas menunggu lima minit kami dihidangkan sepinggan seorang makanan itu. Inilah pengalaman pertama kami berdua. Ia sejenis makanan yang bercampur gaul. Ada ketupat nasi yang dipotong berbuku-buku, dengan bergaul sekali kuah pecal yang pekat. Di atasnya ada 4-5 keping keropok kecil (ubi?) berwarna-warni (Rp 15,000 sepinggan). Aku tidak memesan minuman. Air mineral yang dibawa masih ada. D pula membeli sebotol di gerai bersebelahan.
Penyedia ketoprak itu masih muda. Usianya dua puluhan. Rasa ketoprak itu boleh dikira baik. Tetapi, tidaklah dianggap rugi jika terlepas peluang tanpa memakannya. Namun, sebagai suatu pengalaman ia seharusnya dihargai. Sekurang-kurangnya aku tidak lagi hairan kalau ia popular di kalangan orang ramai di sini.
Ketika sedang makan, seorang pemuda pemuzik jalanan datang mendekati sambil menyanyikan sebuah lagu. Ia sendiri memainkan gitar yang tersandang di bahunya. Persembahannya tidaklah teruk sangat. Aku menghulurkan Rp 2,000. Dia berlalu sambil mengucapkan terima kasih. Ketika telah selesai makan, datang pula tiga orang anak kecil juga dengan satu alat muzik seakan gitar tetapi saiznya sangat kecil. Bunyinya tidak menarik apabila dipetik. Mereka kelihatannya anak-anak yang terbiar. Wajah dan pakaian menyerlahkan demikian. Salah seorang menguis-nguis sisa ketoprak kami di pinggan dengan sudu yang ada. Boleh jadi dia lapar. Mereka bertiga mungkin belum makan tengah hari. D kuisyaratkan menderma. Dia memberikan Rp 2,000. Mereka pun berlalu.
Kami meninggalkan gerai itu, melintasi jalan menuju ke arah pagar Monas. Kami melalui penjaja jalanan yang memperagakan baju T bermotif wisata dan pelbagai barangan sovenir. Ia digantung atau diletakkan berlapik di atas rumput. Pelawaan mereka supaya kami membeli ditolak secara isyarat. Setelah lebih kurang 100 meter berjalan kami sudah sampai di pintu masuk Monas. Di situ pun ramai penjaja jalanan - pakaian, sovenir dan pelbagai makanan dan minuman.
Kami memasuki pekarangan. Kawasan itu amat luas. Sebahagiannya lapang dan sebahagian lagi dirimbuni pokok-pokok besar. Kami tidak mendekati Monas yang hampir 150 meter dari situ. Cukuplah bergambar dua tiga pos lalu kami keluar semula melalui pintu yang sama.
D sudah letih berjalan. D menghubungi kereta Grab. Aku berdiri di tepi pagar yang ramai dengan pengunjung dan juga penjaja makanan dan minuman. Tidak semua orang kulihat membeli. Ada pula di kalangan penjaja tidak disinggahi pelanggan. Ya, bukan mudah mencari nafkah hidup.
Dari tempat berdiri itu dapat kusaksikan melalui jeriji pagar ramai pengunjung berpasangan atau berkumpulan duduk-duduk di atas rumput di bawah naungan pokok-pokok. Ada yang sedang berasmara. Sepasang kekasih muda kulihat tidak silu-silu berciuman. Mereka ternyata sedang dilambung nafsu. Hari sedang terang benderang. Cuaca panas dengan hawa yang merimaskan. Dalam keramaian itu cinta memuncak!
Kereta Grab tiba. Kami beredar ke kedai buku Gramedia di Pasar Baru. GPS menunjukkan kedai itu ada di satu sudut di situ. Kereta itu memasuki laluan utama urus niaga dengan sangat berhati-hati. Orang ramai dan kenderaan lain pun menyibukkan keadaan. Dalam masa 10-15 minit kami turun di depan Gramedia (Rp 12,000). Ia sebuah gedung seperti juga gedung-gedung Gramedia di kota-kota lain yang pernah kulawati – Medan, Pekanbaru dan Bandung.
Di sini aku hanya ingin melihat buku-buku baru termasuk dalam pengkhususan peribadi. Dengan begini aku tidaklah jahil tentang perkembangan semasa penerbitan mutakhir di Indonesia. D pula pergi meninjau kedai pakaian. Ada sesuatu mahu dibeli sebagai buah tangan untuk isterinya. Kami berjanji berjumpa semula dalam masa 40 minit.
Aku tidak membeli sebuah buku pun. Ketika meninjau buku-buku masakan tidak pula terjumpa yang istimewa untuk R di rumah. Sebuah Kitab Masakan yang tebal pernah dibeli ketika berwisata di Pekanbaru setahun lebih dahulu ada juga terpamer di rak. Boleh jadi ia edisi baru. Aku kemudian menelefon D. Dia pun telah menyelesaikan urusannya.
Dari situ kami berjalan ke arah pintu gerbang Pasar Baru yang satu lagi, yang bertentangan hala dengan pintu gerbang yang telah kami singgah lebih awal. Banyak juga buah-buahan – mempelam, duku dan lain-lain -- dijaja di kaki lima di depan gudang-gudang pakaian di situ. Aku singgah membeli sebungkus “tapai singkong” yang berwarna kekuningan. Ia nampak mengujakan. Harganya sebungkus plastik Rp 15,000. Kuanggap murah kerana banyak ketulannya. Hanya, terdetik di minda bolehkah semuanya kuhabiskan berseorangan. D bukan penggemar makanan tradisional.
Kami kemudian naik ke tingkat tiga melalui satu pintu masuk yang ada di deretan gedung itu. Di sini ada “Food Court” menempati sebahagian lantai di aras itu. Tidak sampai sepuluh orang sedang makan. Barangkali waktu makan sedikit lewat. Di sini aku memesan jus alpukat (Rp 17,000) dan D memesan jus mangga (Rp 18,000). Rasa minumanku itu seperti juga dengan yang pernah dirasai di tempat-tempat lain. Ia pekat dan manis. Kucairkan dengan air mineral yang D belikan dari pasar mini bersebelahan medan selera itu.
Kami kemudian berjalan kaki menuju ke hotel. Ia tidak jauh dari pintu gerbang tadi. Sejarak 100 meter sahaja. Tetapi kami perlu berhati-hati melintas Jalan Samanhudi yang lebar dan sibuk itu. Pada lebih kurang 4.15 petang WIB, kami sampai untuk berihat di bilik inapan di Red Planet.
No comments:
Post a Comment