Saturday, 1 September 2018

Rapuh 21

Rapuh 21
Malam tadi D telah menggoogle hotel lain untuk beralih tempat. Selain memburu buku, tak pula diketepikan hajat menerokai Jakarta. Walaupun termasuk kunjungan ini, sudah tiga kali aku menjejaki bandar raya ini, tidak pula sudah merata ia dimesrai. Tempat-tempat seperti yang disebutkan oleh supir dari bandara Sukarno-Hatta ke Ibis Budget malam itu seperti Monas, Masjid Istiqlal, Pasarbaru tidak pula pernah aku bertandang. Objek-objek wisata ini tidaklah terlalu dekat dengan lokasi hotel yang diinapi sekarang. Tambahan pula dua malam di situ memadai untuk membiasakan dengan sekitaran terutama TIM. Tiada daya penarik lain di situ.
Melalui internet D akhirnya menempah hotel lain. Katanya, kadar sewa pun jauh lebih rendah. Di Ibis Budget caj semalam ialah RM98 dan di Red Planet, hotel yang bakal diinapi hanya RM75 semalam. D menempah bilik di situ untuk dua malam.
Jadi selepas berkemas ala kadar kami turun mencekaut di kaunter hotel. D menyerahkan kunci bilik. Tiada bayaran dilakukan kerana semuanya langsai, dikendalikan dalam talian sebelum kami tiba. Selain daripada beg yang dibawa ketika tiba sudah ada dua tambahan ikatan buku-buku. Satu yang telah dimasukkan dalam kotak seberat 12 kilogram dibawa oleh D dan aku memasukkan seikat yang lain ke dalam beg pakaian. Beg itu memang dibawa semata-mata untuk maksud itu. Pakaian yang dibawa hanya seminimum mungkin.
D memesan kenderaan menggunakan Grab (Rp 22,000). Sebentar kemudian kami meluncur dari Jalan Cikini menuju Red Planet di Jalan Samanhudi. Pergerakan kereta lancar. Lebih kurang pukul 12 tengah hari kami sudah berada di kaunter hotel. Ruang lobi hotel ini kelihatan kemas, bersih. Dinding-dindingnya dihiasi gambar berukuran besar tentang pandangan bandar Jakarta termasuk gambar “tempoe doeloe”. Kami diberikan bilik di tingkat 3. Biliknya kemas, bersih dan moden. Leganya memadai. Solat boleh didirikan selesa di hujung katil. Tidak kalah dari Ibis Budget. Sebagai hotel tiga bintang sebarang rungutan kuanggap tidak munasabah.
Sebaik meletakkan barangan yang dibawa kami menselesakan diri masing-masing. Kami turun ke bawah untuk meninjau Pasar Baru. Ia berdekatan. D menggunakan GPS dan kami menapak menuju ke situ. Perjalanan melalui jalan-jalan yang sentiasa bertrafik itu mengambil masa lebih kurang 10 minit. Para pelanggan tidaklah ramai benar ketika itu. Premis-premis kedai di kiri kanan jalan yang lurus dan panjang sepanjang lebih kurang 200 meter itu kelihatan tenang dan relaks. Kami tidak pun singgah di mana-mana premis. Tiada pun tujuan untuk membeli belah atau meninjau harga-harga barangan yang diperdagangkan. Pada tempat-tempat tertentu aku berhenti dan meminta D mengambil gambar untuk kenangan.
Kami akhirnya tiba di hujung jalan itu. Ada pintu gerbang bertulis Pasar Baru di situ. Dari situ kelihatan menara dan kubah Masjid Istiqlal. Ada beberapa gerai jalanan di situ. Aku singgah membeli ‘kue ape pandan’ untuk mengecapi rasanya di samping membekali perut untuk kisarannya. Kueh itu diisikan dalam satu beg plastik kecil mengandungi 10 keping harganya Rp 15,000. Ikut seleraku kueh itu lulus. Manisnya cukup. D tidak sangat menyukainya. Kami tidak perlu membeli air minuman kerana sudah dibawa bersama. Ia memang disediakan dalam bilik hotel.
Perjalanan bersantai ke Masjid Istiqlal di bawah naungan pokok-pokok rimbun sepanjang jalan tidaklah memenatkan. Selepas 150 meter kami perlu melintasi jalan utama yang sibuk. Pilihan yang ada ialah menaiki jejambat yang sedikit jauh di hadapan atau melintasi jalanraya itu ketika trafik sedikit lengang. Melihat ada juga pejalan kaki melintasi, kami mengambil risiko, mengikuti sama. Kemudian kami melintasi satu belah lagi jalan dan langsung tiba berdekatan pintu utama masjid yang berkunci. Ketika itu ramai pengunjung berada di kawasan itu. Banyak juga gerai makan disediakan. Para peniaga memujuk kami singgah makan ketika melaluinya.
Kami memilih arah ke kanan untuk mencari pintu pagar alternatif masjid. Jalan itu selari dengan rel bergantung keretapi. Di sebelah kanan kami ialah sebahagian taman Monas. Ternyata jalan yang kami pilih tidak mempunyai pintu pagar alternatif yang dekat. Kami perlu berjalan antara 400-500 meter sepanjang tepi pagar masjid dan kemudian berbelok ke arah kiri seakan hendak mengelilinginya. Lalu tibalah kami ke pintu besar alternatif. Ia bersetentangan dengan Pejabat PERTAMINA. Pintu pagar tetap bertutup. Tetapi, pintu sisi yang kecil dibuka. Melaluinya kami memasuki pekarangan masjid. Dari pintu gerbang Pasar Baru, kami mengambil lebih kurang setengah jam untuk mencapai destinasi.
Berhadapan kawasan mengambil wuduk sekumpulan remaja sedang berlatih muzik brass. Dan di kaki lima berhampiran ada pula sekelompok lain yang sedang berlatih peralatan muzik tradisi gamelan. Kami kurang pasti untuk acara apa latihan itu dilakukan. Namun, gemanya menyaringkan sekitaran dan menerawang angkasa. Tidak pula ia menawan deria dengarku. Kukira pekarangan masjid bukan tempat yang cocok untuk bunyi-bunyian begitu.
Selepas berwuduk kami menaiki tangga menuju ke ruang solat. Laluan ke arah itu berbumbung lagi amat lapang. Memang pun laluan itu menjadi ruang solat tambahan jika jemaahnya membanjiri masjid pada hari-hari perayaan atau ketika upacara khusus. Dari laluan itu juga kami dapat melihat sekumpulan remaja berlatih berarak sambil mengibarkan bendera. Boleh jadi, oleh kerana malam tadi adalah sambutan Israk dan Mikraj, latihan-latihan yang berlangsung ada kaitan dengan peristiwa tersebut!
Sambil berjalan masuk ke ruang utama masjid, ramai juga pengunjung lain berada, duduk-duduk di ruangan itu. Ada yang datang berkeluarga. Ada pula yang berupa rombongan dari jauh. Dari ruang solat di luar ruang solat utama aku dapat melihat satu lagi pintu masuk ke masjid itu. Para pengunjung sedang mendatangi masjid dari arah itu. Tentunya inilah pintu masuk yang kami lalui sekiranya pada awal-awal tiba tadi kami mengambil hala ke kiri. Tentulah dengan memilih belokan itu kami tidak mengelilingi separuh pagar masjid yang melingkar panjang itu. Pun, belokan ke kanan memberi pengetahuan tambahan berbanding tidak berbuat begitu.
Ketika melangkah masuk ke ruang solat utama, di kawasan saf-saf hadapan masjid sedang berlangsung upacara khas. Aku tidak dapat memastikan acaranya. Tetapi ada pembacaan al-Quran, bergilir-gilir secara berpandu. Ada pula semacam marhaban dan salawat menjadi sebahagian aturcara majlis. Barangkali adalah 200 orang pengunjung dalam masjid ketika itu. Kecuali, sebahagian mereka yang terbabit dengan majlis itu, pengunjung-pengunjung yang lain duduk-duduk menyaksikan bersahaja dari jauh, bertompok-tompok di sana-sini. Ada pula di kalangan mereka sedang bersolat. Aku mengambil ruang solat hampir di belakang, sebelah kiri masuk. Di situ dua puluhan pengunjung lain sudah atau sedang bersolat.
Aku duduk-duduk sekitar 5 minit setelah solat, sambil melihat majlis yang sedang berlangsung di depan. Serentak, aku memperhatikan rekabentuk dan hiasan dalaman masjid yang besar itu. Hebat juga. D merakam kehadiranku dengan henfonnya.
Kami kemudian keluar dari masjid itu mengikut laluan yang sama ketika datang. Sempat juga, sedang melangkah tangga turun ke pekarangan, aku menoleh ke menara gereja yang kelihatan jelas dari situ. Besar dan gagahnya tidak kalah dari Masjid Istiqlal.
Comments
Ahmad David Kholilurrahman Masjid Negara Al-Istiqlal berhampiran Gereja Katedral. Tengok Pawagam 212 The Power of Love bakal tayang awal awal bulan ini.

No comments:

Post a Comment