Saturday, 1 September 2018

Pantulan C/02/13/2018: Sajak Norhisham Mustafa, “Pahlawan”

Pantulan C/02/13/2018: Mencari Wira
Terhibur sekali oleh gubahan Norhisham Mustafa, berupa “Pahlawan”, (Puisi), WIDYA, November 1979, muka surat 31. Tetapi sekali gus direntap perit oleh bauran perihalan peristiwa dialami seorang setiawan yang dikhianati penguasa tempat dia berbakti.
Aku hanya menumpukan kepada inti ‘satu’, iaitu definisi, kepahlawanan. Maka, seia benar aku dengan setiap yang diperikan tentang wira yang berjasa itu. Dalam pada itu aku sungguh kagum dengan segala pengorbanan yang dilakukan. Lantaran, tidak mahu sangat kupersoalkan bila ternyata dedikasi dan komitmen itu sehingga memerosotkan kebahagiaan insan lain yang sangat rapat dengannya, iaitu isterinya sendiri. Namun, sebagai sebaris kalimat puisi, siapa tak tersentuh sanubari apabila diperikan sang wira bertindak menganiayai, “dibiarkan isterinya sengsara dalam sepi”. Hanya kerana keghairahan menjunjung duli sepenuh hati.
Aku bersedia mengakuri semua yang lain mahu dilanjutkan oleh Hisham kerana percaya apa pun lagi bakal menyusuli, munasabahnya tetap selari dengan baris-baris yang mendahului. Ertinya, sampai ke akhir pun kalimat-kalimat akan tetap berterusan memuji “pahlawan” itu dengan segala kemithaliannya.
Tiba-tiba, benar-benar aku tersentak dengan fakta ‘dua’, terserlah dalam sembilan kalimat terakhir, menceritakan tragedi. Pahlawan itu “… mati menghirup racun/beberapa detik setelah isterinya/dimukahi raja.” [Adakah kerana hendak menghilang “sepi”?]
Tidak mahu aku menggandingkan pemerian ‘satu’ dengan fakta ‘dua’, bahkan jauh sekali untuk menggembleng kedua-duanya. Sebab, bagaimana seorang wira negara bersedia mati katak kerana merelai kehormatan diri (dan isteri?) dibaculi tanpa terbela? Tergamak dibiarkan arang terpangkah di muka? Sekurang-kurangnya, harga diri dilestari, bertindak lebih bermaruah setara kebaktian dicurah. Sedangkan, apabila sedia pula ia mengakuri salah nafsu yang berlaku di luar batasan, terhadap hak milik peribadi, yang bukan untuk dikongsi sama sekali, maka sebutan “seorang pahlawan” sudah terbuka kepada perdebatan!
Ini satu episod berkomplikasi luar biasa. Dan, kalau zaman adalah semasa, pastilah ia tidak boleh diterima. Kezaliman dan pengkhianatan ini seharusnya dihakimi serupa, setara tanpa mengira siapa, bukan diamalkan piawai berganda. Yang melakukan honar diseret ke muka dan disabitkan stigma setimpal dosanya.
Malangnya, pahlawan sebegitu aku akui pernah tersohor suatu ketika dahulu kala. Zaman itu benar-benarlah penguasa berleluasa, bermaharajalela?
Sejarah (?) merakam peristiwa. Tafsiran dan pendirian manusia berubah-ubah apabila era dan watak-watak berbeza rona.

No comments:

Post a Comment