Rapuh 4
Aku dan isteri tiba di Pekanbuku lebih kurang pukul 10.45 pagi. Berbanding hari-hari yang lain, pelanggan yang ada sedikit ‘ramai’ daripada hari-hari sebelumnya. Namun, semuanya 10 orang atau lebih sedikit. Hampir semua mereka adalah mahasiswa dengan seorang dua orang luar.
Buku-buku sudah semakin banyak diletakkan di lantai. Tetap tersusun. Sebahagian rak-rak besi telah ada pembeli. Harga yang ditawarkan adalah harga lelong. Pembeli sendiri kena merombaknya. Pun, buku-buku yang ada masih banyak. Sebahagian besar rak-rak masih berdiri seperti biasa. Tiada pembeli. Ini bermakna buku-buku kekal di rak-rak. Tetapi untuk melihat judul-judul buku bagi yang telah dipindahkan ke lantai agak sukar. Bahkan buku-buku agama semuanya telah dimasukkan ke dalam banyak kotak. Kertas “Not For Sale” ditampalkan ke atasnya.
Aku menumpukan carian terhadap judul-judul pengkhususan peribadi. Secara mudah judul-judul itu dikategorikan sebagai Sains Sosial. Isteriku lebih menumpukan bidang Perubatan dan Pendidikan Kanak-kanak. Secara khusus, tidak banyak lagi yang patut dicapai kerana hampir semuanya telah sedia ada di rumah. Sebuah dua yang teringat ketika turun dari rumah tadi kucari. Lalu masih bernasib baik.
Kutemui, “Once a Jolly Hangman Singapore Justice in the Dock” oleh Alan Shadrake (SIRD, 2010). Buku ini telah mendepaniku setiap kali menjembai Pekanbuku. Ia tidak kukutip kerana memikirkan sudah dibeli di Gerak Budaya. Semakan di rumah mendapati belum ada dalam koleksi. Sambil itu terjumpa pula, Azizi Abdullah, “Mustadh’afin Yang Tertindas”, (Persatuan Pengguna Pulau Pinang, tanpa tarikh). Ada sedutan pandangan SN Shahnon Ahmad dan SN A. Samad Said meraikan penerbitan buku ini.
Sudah agak lama, aku tidak menekuni novel-novel dan cerpen. Ertinya, desakan untuk menambah genre itu tidak timbul. Masalahnya, Pekanbuku menawarkan harga ‘giler’ untuk karya-karya kreatif; dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Mana ada dijual novel-novel dengan harga RM10 untuk lima buah? Pilihlah mana yang disukai. Sama ada, harga asalnya murah atau mahal, harga tawaran tetap sama. Kuperhatikan secara perbandingan novel-novel dalam bahasa Inggeris lebih mahal berbanding novel-novel Melayu. Dua tiga hari kebelakangan novel-novel berkenaan - Melayu dan Inggeris - sudah banyak dipunggah. Begitu pun, hari ini aku tidak mahu terlepas peluang memilikinya. Menggunakan rasional matematik, tumpuanku lebih kepada novel-novel Inggeris. Lima set ditarik dari rak. Itu bermakna 25 buah novel dengan harga ‘wow’ RM50.00!
Sekadar melepas gian sebagai pengumpul, aku juga mengambil sebuah kamus Melayu. Di rumah pun sudah puluhan sedia ada. Logiknya, tiada pembelian tambahan perlu. Sedih sungguh melihat “Kamus Melayu Global’, (Anzagain, 2006, 1575 halaman) banyak tersusun, terbiar dan tak laku. Terasa sayang untuk tidak memiliki. Lalu, kucapai senaskhah. Harga asal RM43.20 hari ini menjadi RM8.64.
Isteriku telah memilih buku-bukunya. Bersama-sama, kutipan kami memenuhi troli. Jumlah buku ialah 48 buah dan harganya RM448. Waktu pada resit pembelian menunjukkan 1.03 tengah hari.
Sebelum beredar, Din Kesyier meminta bergambar kenangan dengan kami. Semua staf lain yang ada diajak merakamkan kenangan. Pekanbuku mengiktiraf kami penyokong tegar mereka. Kami adalah pembeli paling setia berkunjung dan barangkali yang terbanyak membeli.
Besok, 1 Mac 2018, Pekanbuku mengunci pintu. Aku kehilangan satu tempat menikmati kepuasan. Aku, dan isteriku, sahajakah segelintir pengumpul buku era mutakhir ini?
No comments:
Post a Comment