Saturday, 1 September 2018

Pantulan C/01/11/2018: Sajak M. Ashikin [Mohd Mansor Abdullah], “Kulihat Dunia”

Pantulan C/01/11/2018: Versi lain
Dunia ini, sama ada suatu ketika dahulu, atau seperti di depan mata sekarang ini, adakah berlainan? Boleh jadi, kalau dari segi infrastruktur, kecanggihan komunikasi dan aneka penemuan mutakhir lebih tertonjol kelainan (baca ‘kemajuan’) diantara dua masa tersebut. Tetapi M. Ashikin [Mohd Mansor Abdullah], lewat “Kulihat Dunia”, (Sajak), Mastika, Disember 1987, muka surat 38, tidak mengambil kira segi ini. Segi yang ditumpuinya ialah segi hakiki, membabitkan perlakuan manusia dan tentunya yang lebih menjolok ialah tingkah-tingkah berunsur menjaga kepentingan diri. Fenomena yang terpemenai bercendawanan adalah persenyahan hak orang lain.
Maka, sangat malanglah, sedang kita maju memodenkan kehidupan, dengan serba-serbi kemudahan yang tidak pernah dinikmati nenek moyang, sekali gus kita meruntuhkan ciri-ciri pengikat persefahaman yang menjadi asas kemasyarakatan bestari. Yang diutamakan kini ialah bertakhta di menara, berkuasa sesasa nawaitu nafsu berhantu, berbicara diruntun helah sebelah, dipandu cecita puaka; asalkan diri sendiri, atau saudara mara yang melaba. Sanya, hasrat mengiakan cara.
Benarkah begitu sekali ehwal keduniaan ini? Semuanya hitam legam tiada tercalar sedikit putih pun lagi? Pada satu senario berbeza, alangkah lemah kita tidak berupaya menggembleng alternatif keperluan sejati! Lalu, membiarkan diri jadi sebahagian khalayak disasar digilis seumpamanya tanpa bercendekiawanan. Tanpa menepis walau seiris.
Seolah-olah kita tiada diberi pilihan, bertimpa-timpa dibumbui bisa sengatan. Sedangkan berdiam diri tidak memberi saham meneroka penyelesaian.
Seperti situasi kini, mengekalkan tradisi bukan jawapan bahkan serupa memihak kepada pengganti yang majal, pasti pula merugikan. Dilema sebeginilah yang dihadapi dalam menjalani penghidupan pincang. Masing-masing nampak cekatan merumus pendirian. Bahawa, kita betul, mereka petualang!’ Tetapi hakikat yang mengukuh, dan makin berterusan ialah pengakhiran yang terang. Kita akan kehilangan semua yang bermakna. Ironinya, kita pun tahu ia sewajarnya terjamin oleh permuafakatan – asalkan kita mencengkam kepentingan remehan peribadian atau puakan.
Kebenaran pada skala mega seharusnya dihindar dari terdampar. Demikian dikehendaki demi kelangsungan bererti. Namun, rentetan peristiwa ternyata menggera kegeliinciran arah daripada kembali bermaruah.
(NOTA: Aku menyemak “Salam Anak-anak Inderapura”, (2007) dan “Lembah Damai” (2014), namun “Kulihat Dunia” tidak termasuk di dalam kedua-duanya. Kumpulan sajak pertama itu adalah kompilasi 111 sajak ciptaan tahun-tahun 1961-2005 manakala kumpulan sajak kedua mengandungi 73 sajak ciptaan tahun-tahun 1974-2010).

No comments:

Post a Comment