Sunday, 3 July 2016

Fragmen Memoir – Balik kampung (12)

Fragmen Memoir – Balik kampung (12)
Pegawai Kemajuan Negeri Terengganu ketika itu bernama Nawawi bin Kamaruddin. Beliau telah beberapa tahun menyandang jawatan tersebut. Beliau kukenali nama dan perawakannya sahaja. Dia bekerja di Bahagian Perjawatan, JPA sebelum bertugas di situ. Pernah juga kulihat kelibatnya di Kampung Tunku, suatu waktu dia berkunjung dan berbual-bual di depan pagar rumah Samsudin bin Osman kawan beliau yang juga pernah sama-sama bekerja di Bahagian Perjawatan, yang tinggal tak jauh dari rumahku. Nawawi, kemudian kuketahui, rupa-rupanya memiliki sebuah rumah banglo di situ juga.
Perawakan Nawawi seimbas pandang nampak serius. Apabila kali pertama bertemunya, melaporkan diri, ternyata seorang yang periang, bersahaja dan suka berjenaka. Ada keunikan pula caranya berseloroh. Sangat selamba lagi menyenangkan. Dia mengalu-ngalu kedatanganku dan berharap aku boleh menyesuaikan diri dengan sekitaran kerja baru dalam masa yang singkat. Tidak terasa ada apa-apa tekanan dan penekanan terhadapku untuk melaksanakan senarai tugas yang ditetapkan. Keadaan ini menimbulkan sedikit persoalan sama ada aku mempunyai keutamaan atau ‘misi’ dalam menjalankan tugas-tugas berkenaan. Sekurang-kurangnya dari perspektif seorang bos.

No comments:

Post a Comment