Sunday, 3 July 2016

Fragmen Memoir – Balik kampung (11)

Fragmen Memoir – Balik kampung (11)
Dalam dua minggu yang diberikan itu kuaturkan semua yang perlu. Kuala Terengganu tempat baru. Aku tidak pernah singgah lama di situ. Dahulu, bandar ini jadi laluan balik ke Besut dari Kuala Lumpur. Kenalan atau sedara mara tiada kupastikan dimana setepatnya, walaupun memang ada seorang dua. Aku kena mencari kenalan yang boleh meringankan masalah. Sekarang baharulah aku teringat untuk berkunjung ke rumah Pak Cik Daik. Dia boleh dikira bapa angkatku. Ketika aku di darjah enam di Besut aku pernah tinggal bersama-sama beliau sekeluarga di rumah sewanya di Kampung Raja. Ketika itu dia bekerja sebagai S.O. di Pejabat Tanah Besut. Semasa sudah di universiti pernah juga aku singgah di rumahnya di Bukit Besar. Kemudian, sekali sekala ada juga aku kunjungi sekadar mempastikan tidak pupus perhubungan.
Aku bersendirian ke Kuala Terengganu untuk melaporkan diri ke Pejabat Kemajuan Negeri. Keluarga harus tinggal di Petaling Jaya seketika. Beberapa urusan perlu dilakukan sebelum kami berpindah tikar bantal. Maka apabila aku sudah tiba di Kuala Terengganu, sebelum melaporkan diri di pejabat baru, aku mengunjungi Pak Cik Daik. Rumahnya di Bukit Besar kelihatan selesa. Halamannya pun luas. Aku pernah berkunjung di tapak yang sama, di rumah ibu bapa isterinya yang berdekatan, pada tahun 1963.
Aku memberitahu masalah. Kuarters kerajaan tidak banyak. Kerajaan Negeri hanya menyediakan kuarters kepada Pegawai Kemajuan Negeri. Aku tidak diberi keutamaan. Kunyatakan hasratku untuk menumpang di rumah beliau sambil mencari rumah sewa yang sesuai. Beliau dan isterinya, Kak Yah tidak keberatan. Anak-anak mereka berada di Kuala Lumpur, bekerja atau belajar di universiti. Mereka balik ketika bercuti. Pak Cik Daik sudah berhenti awal daripada perkhidmatan negeri. Kini dia menceburi bidang pembinaan sebagai kontraktor.
Sebuah bilik di bahagian belakang rumah diberikan untukku, lengkap dengan kemudahan bilik mandi. Dari sinilah aku ke Wisma Darul Iman melaporkan diri. Jaraknya yang dekat menjadikan tempat itu sangat selesa. Tambahan pula di luar pagar rumah itulah Pasar Maghrib setiap hari membuka perniagaan.

No comments:

Post a Comment