Pantulan C/03/19/2018: Tang tu...tu… lagi!
Puisi Ahmad Sarju, Kelang, “Yang Kita Lihat Kini”, (Ungkapan Suci), Utusan Kiblat, Jun 1973, muka surat 27, ini tidak terselindung apa pun. Seperti kebanyakan ‘ungkapan-ungkapan suci’ menghiasi halaman-halaman majalah berunsur keagamaan, perutusannya lantas berdiri sendiri, berupaya mendakwah. Sekalipun begitu, tetap aku tertarik untuk memantul, sekadar melihat kelainan suasana dan darjah penghayatan amalan beragama dahulu dan sekarang, iaitu dalam tempoh masa 45 tahun; apakah dan adakah perbezaan merobah bangsa ini ditinjau dari perspektif antara generasinya?
Ya, bukan barangkali lagi, bahawa doa penyair ini belum terkabul. Ternyata, masjid-masjid belum lagi penuh berisi, walaupun kumandang azannya berterusan; sesama muslimin tetap bertelagah mengakuri dasar-dasar dan kaedah-kaedah mengamalkan ‘ibadah’. Sedang ummah kian ketinggalan. Di persada global, lagilah tertindas bahkan mengemisi petualang untuk kekal bernafas dalam kehinaan.
Perubahan memang telah berlaku. Namun, hasrat “semoga bersinar bercahayalah Nur Islam” muncul berupa positif sangat diragukan terinstitusi. Yang lebih menonjol di depan mata setiap hari di alam nyata atau yang berlegar di ‘maya’ adalah fakta-fakta yang menghantui bukan yang bernadi dan berjati diri layak direstui.
Cabaran apakah yang demikian kebal sampai gagal diatasi? Kita sudah ada infrastruktur keislaman dan tentunya menghasilkan cendekiawan dalam bidang-bidang mendukung harapan murni. Jabatan dan agensi pun tersedia untuk menggali dan menggalas inti-inti peranan. Namun, pihak-pihak yang menentang atau tidak sehaluan pun lebih tajam taring dan saling bergandingan, kian memperkuatkan tunjangan. Kita sedang dilumpuhkan!
Aku tidak dapat menyangkal kenyataan yang terzahir sekarang. Kalau aku pula ‘mengungkap suci’, menyulam kalimat-kalimat ganti tentang apa “Yang Kita Lihat Kini”, aku mungkin menafi realiti. Apatah tidaknya? Sebab gubahanku itu tiada boleh berlainan isinya daripada yang sudah lama dahulu ditelaahi Ahmad Sarju dan sehingga sekarang menjadi bukti bahawa kita belum pun melangkah bererti.
No comments:
Post a Comment