Pantulan 36/14
“Sajak” tidak bijak dielak atau dianjak bila terserempak. Jadi, apabila mendepani, telitilah dan nikmati (semoga!). Begitulah karya Rudi Mahmood , “Ceritera Kota Purba”, Mastika, Oktober 1980, muka surat 51. Tumpuan beliau tidaklah asing sangat. Riwayat terakam dalam Hikayat Hang Tuah sudah memberi pelbagai ilham dan sumbangan kepada para penelaah. Ada orang menjadikan sumber memperoleh ijazah. Ada yang mereka-reka drama dengan tafsiran sendiri-sendiri dan banyak pula yang bersajak dan menempa nama pula kerana menyerlahkan keaslian sanubari dan akal bestari. Kalau kehebatan karya klasik itu berhasil pula memerah minda para karyawan alangkah bertuahnya khalayak dapat menumpang meneguk kepuasan. Dan Rudi mengembalikan ingatan kita tentang Melaka. Ada sebutan tentang “bendahara”, “syahbandar”, “biduanda”, “dang wangi”, “empayar”, “soldadu”, “raja”, “istana”…. Ada pertanyaan, “bagaimanakah duka si jebat”; ada pernyataan “…kedukaan abadi si biduanda.” Aku sukakan, “… betapakah dang wangi itu/tertidur dalam mutiara cemburu/igauannya menitip dada si Jebat/dengan darah Melayu; …” Tidak pula hendak aku menggali, lebih-lebih lagi kalimat terakhirnya, “bangsa tak pernah runtuh”.
ASKAT: Aku sebenarnya tidak suka menyekat imaginasi dan tafsiran seseorang terhadap bahan-bahan dari sumber yang dijadikan asas menggubah ciptaan. Kalau hendak tahu perihalan, sumber asal tidak pernah menolak sesiapa melakukan rujukan. Dan pilihlah pendirian, tafsirlah berlasan. Tetapi mestikah apa yang dibaca, dituang tanpa sedikitpun perubahan atau seharusnya sedemikian berlainan? Hakikatnya, atau bukan lagi khayalan kini, Hang Tuah dan Hang Jebat akan tetap mengombakkan pemikiran, mencetuskan pengkajian demi pengkajian. Dan, keperwiraan dan perjuangan kedua-dua tidak pernah ada permuafakatan sanjungan kerana setiap pihak tidak pernah boleh sekata dari sudut pandangan, apalagi jika dicampuradukkan perbezaan zaman. Rudi telah mencantikkan latar serentak mempengaruhi perasaan dengan mengaitkan karya asal dengan selampit, tok bageh yang masih bercerita dan berdoa, lantas merumitkan pemahaman. Tapi masihkah ada menonton dan bersedia melayani seniman tradisi sampai jauh-jauh malam atau biarlah mereka ditelan peredaran? — at Mastika, Oktober 1980.

No comments:
Post a Comment