Pantulan 43/14: Demi keredhaan
Kejarangan timbul karya-karya sajak beliau dalam rutin pembelekan harianku mewajarkan pantulan terhadap kejumpaan sebuah sajak teman fbku yang sangat prolifik di laman maya mutakhir ini. Dalam ruangan “PuisiBulan Ini”, Dewan Sastera yang memuatkan sajak-sajak memfokuskan kemerdekaan, sajak “Rahim”, Dewan Sastera, Ogos 1990, muka surat 15 jauh menyimpang daripada tema utama berkenaan. Penyajak M Jusoff Taib bercerita tentang kewujudan di maya ini menyusuli kelahiran. Tanpa mengurut yang lain dalam sajak beliau, kita masih boleh menyedut faedah dari kata-kata, “… gubahkan nafsu jadi keinginan syahdu/dan cinta jadi lazuardi mardiah///…mencari makna/melintasi matahari dan bulan/di antara kehidupan dan kematian.” Usul yang sangat positif demi memakmurkan.
ASKAT: Namun kita masih mudah terleka, berbelah-bahagi memilih bentuk penglibatan dalam melangkah ke alam lain. Sedangkan temanku tentunya telah me”makna”kan kesempatan yang terbuka lantaran kesedaran ‘awal’ itu ( selepas hampir suku abad) menjadikannya sebagai agenda mega dalam perjuangan setiap insan yang takwa. Bertuah juga merenungi kini, sebab ia adalah inti yang seharusnya dihayati, selagi nadi belum terhenti berfungsi. — at Dewan Sastera, Ogos 1990.
Pantulan 42/14: 1000 pertanyaan terlerai
Sajak teman fbku yang gah namanya, Mohd Mansor Abdullah agak jarang mendepaniku dalam belekan setakat ini. Beliau, yang apabila bersajak lebih suka memakai nama M. Ashikin, petang ini menjelma melalui “Mencari Suatu Makna”, Dewan Sastera, Jun 1990, muka surat 16, iaitu hasil gubalan minda beliau di Jakarta Pusat, hampir sesuku abad lalu. Yang diinsani beliau ialah fenomena atau rutin alamiah beserta tafsiran peribadinya. Makhluk-makhluk ciptaan Tuhan, masing-masing ada perangai dan saling bertelagahan didokongi keyakinan tentang kelebihan atau kelemahan sendiri-sendiri. Meramasi patah-patah kalimatnya, terserlahlah bahawa tiada tersangkal lagi kehidupan ini berlumuran masalah, berpalitan cabaran getir dan, indahnya, bermuarakan penyelesaian paling wajar. Diakui, dalam kesendirian, masalah atau cabaran sukar diatasi tetapi tanpa pun menuntut pembelaan secara langsung, ada sesuatu di luar kawalan pihak terbabit yang berfungsi mententeramkan segala-galanya, selumrahnya. Keadilan tidak tersingkir bahkan terpelihara sempurna. Dalam persekitaran demikian, dunia berterusan menampung gelagat-gelagat penghuninya, generasi demi generasi. Beruntunglah sesiapa yang memanfaatinya dengan mengambil pendirian sejajarnya.
ASKAT: Pemerian temanku ialah tentang alam ini. Anehnya, aku spontan teringatkan P. Ramlee dan lirik lagu malarsegarnya “Barang Yang Lepas Jangan Dikenang” khususnya “Ooo dunia ibaratnya roda/Naik turun tiada hentinya/ Sama juga hidupnya manusia/…”. Bersyukurlah, aku tergolong dalam ‘...yang riang’ (bukan ‘yang duka’). — at Dewan Sastera, Jun 1990.
Pantulan 41/14: Semoga
Saya akur benar dengan, “Andainya mahkota itu memang milikmu/kelewatan adalah kelaziman yang diizinkan/dengan kegetiran itu menjadi lebih bermakna/nilai kepayahan yang membentuk keazaman/menakluki segala kepedihan menjadi kemenangan hakiki.” Cerita-cerita kejayaan banyak benar kita lihat, baca dan dengar seringnya melalui proses yang, hampir tak terelakkan, getir begini. Kemanisan menghirup serbat kejayaan yang akhirnya mengalir jua, sekali gus menyejatkan lendir keresah-gelisahan penantian, melupuskan secepat kilat hanyir duka yang sekian lama melumuri. Pun, tidak pula kita akan melupakan sejarah peribadi yang berhikmah itu. Juga, khalayak tentu akan kagum dan menteladani. Inilah sebenarnya dikatakan bahawa seseorang wira itu tiada yang diredahinya, kecuali gelombang-ombak perjuangan yang sememangnya tidak dapat dinafi sentiasa hadir menyudi dan menguji. Semoga tiada yang akan lemas dan terdampar di pantai kegagalan.
Panjang lagi boleh dicungkil dari simpulan madah sarat bermutia dari teman fbku Ahmad Sarju melalui sajak, “Andainya”, Dewan Sastera, September 1988, muka surat 13. Silakan merenungi karya berisi perincian fenomena kehidupan di dunia ini. (Nota: Belekan terhadap empat kumpulan sajak beliau dalam koleksiku gagal menjejaki sajak ini). — at Dewan Sastera, September 1988.
Pantulan 40/14: Merealitikan peranan
Sebenarnya dunia tidak pernah aman damai. Huru-hara bukan sekarang sahaja berlaku. Lihatlah misalnya, “Masihkah Kau Bermain Seruling”, sajak teman fbku Zurinah Hassan, Dewan Sastera, November 1987, muka surat 36. Beliau, hampir 27 tahun silam telah merakamkan, “di kota yang semakin kusut dan tenat//bangsaku dipecahkan oleh politik/saudara-saudaraku diserang bom-bom ganas/dunia sudah terlalu tua dan luka parah.” Alangkah rugi dan malangnya kalau sejarah tidak direnungi. Demikian, menjadikan orang-orang ‘muda’ dan para pelupa peristiwa mengalami dan menonton kejadian-kejadian yang sama yang berlaku kini sebagai pengalaman baru, seakan sesuatu yang tidak pernah terjadi. Hakikatnya, malapetaka atau tragedi manusia sudah terlalu banyak tersurat, terakam kemas dalam pelbagai bentuk ‘catatan’ bahkan runtuhan-runtuhan fizikalnya boleh pula dilihat dengan mata kasar. Di sini atau di sana. Semuanya ada pengajaran nyata, bukan terselindung lagi. Asalkan minda yang ada dibiasakan merenung tajam, mensempadaninya demi benar-benar memanfaati kesilapan, tersembunyi apalagi terang-terangan di dalam semuanya itu.
ASKAT: Aku suka tutupan Zurinah, “kerana zaman sedang menuntut para seniman/hidup di luar dirinya.” Kukira, yang perlu ditekankan ialah peringatan bermakna agar kita tidak hanyut meluput lantaran hilang punca tersesat matlamat.
Aku suka bertujuan. Jangan kehadiran tanpa disedari dan apabila pergi kita ternyata tidak pernah berbakti. Jadi, tatkala membaca sajak teman setia fbku, M Jusoff Taib, “Masa Depan”, Mastika, Oktober 1993, muka surat 42, menjadi serasilah saya dengan dia. Ada kata-kata seperti “lampau” (dua kali!), “mangsa sejarah” (dua kali!), yang bagi saya sangat utama untuk menjadi asas merenung sejenak tentang apa yang telah sebenarnya kita cipta atau lakukan dalam beransur-ansur menutup usia. Betapa hanyut kita didorong arus kerana tiada upaya memikirkan “matlamat” kehidupan.
Kalau kita meneliti, ada mutiara pada setiap baris berupa penyedaran bahawa akan sesia kesementaraan hidup di dunia sedangkan sudah terbukti individu, kelompok, kaum atau bangsa boleh gah berwibawa dengan “minda” berisi mencari erti, “kalbu” dirumbui petua menjunjung kemanusiaan mengabdi selaras dengan wahyu suci. Aku tahu “pelayaran” ini sewajarnya menjelmakan kesan berlainan daripada berimplikasi merugi. Benar, sudah suatu hakikat semua kita mengongsi alam duniawi tetapi akhirnya kita akan dipertanggunjawabkan pada suatu ketika yang pasti. Alangkah malang “bahtera” kita tanpa kemudi. Rentapilah sedang kesempatan belum bertepi.
Pantulan 38/14
Penderitaan hidup akibat gagal menyesuaikan diri dengan keperluan khususnya sudah jadi pengalaman lumrah. Dimana-mana boleh kita temui. Hanya darjah kemelaratan itu tidak sama. Ada yang lebih parah dan mungkin juga sedikit ringan. Hakikatnya, suasana telah memberi kesukaran untuk melanjutkan tambahan usia. Kalau kembara hayat ini setakat diri sendiri merasai penangannya, tidaklah harus dikhuatiri bersangatan berbanding jika penderitaan itu merangkumi berlapisan keturunan. Aku menjadi tidak tenteram untuk bersenang-senang seperti dinikmati kini, apabila mengunyah lumat catan teman fbku, Azmi Yusoff lewat, “Orang-orang Yang Tergelimpang”, Mastika, Mei 1991, muka surat 39. Kota telah mendedahkan impak menggerunnya terhadap para pengungsinya, pada tempat yang paling ketara di mata, dan tentulah ke hati, melukakan jiwa iaitu “di kaki lima”nya.
Aku tidak akan menumpukan kepada kekuatan setiap baris yang dicipta. Tanpa disebut pun, sudah bagai secerah cahaya. Kerap benar demikian rupa lakuan Azmi. Peralihan yang dilakukan ketika membina rangkapnya sudah jadi kemahiran luar biasa tak mudah diikuti. Nikmatilah sendiri, demi mengakur butiran bukti. Hanya, aku mahu memilih dua kata; “sejarah” dan “salasilah”. Kalau kusempitkan medan garapan seluruh sajak, dengan kedua-dua perkataan itu, tersembur sendiri riwayat pahit golongan bawahan semenjak para ilmuan membicara, meneliti dan mengutarakan nasib rakyat dalam mengharungi era pembangunan. Tragedi yang telah berlaku, tetap berterusan dan kelihatan kian menular. Sungguh tidak bermakna dunia. Mujurlah ia fana!
(Nota: Aku semak dan ternyata sajak ini termuat pula dalam kumpulan puisi beliau, “Menganyam Jadam”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994, muka surat 26).
Pantulan 37/14
Sebaik membuka ‘Folder Sastera’ keratan akhbarku, salah sebuah karya yang muncul terawal ialah sajak teman fbku Ahmad Sarju, “Berikan Simpatimu”, Mingguan Malaysia, Ahad, 13 Disember 1992, muka 11. Alangkah mengenanya membaca semula rakaman penderitaan warga Bosnia-Herzegovina, sedang kita dijelangi lagi penderitaan tidak bertepi rakyat Palestin oleh rejim Israeli, untuk ke sekian kalinya. Demikian lengkapnya pemerian: “di tanah perkuburan telah tersusun mayat////buminya yang dibanjiri darah”. Dimana-mana terpampang gambaran kezaliman: “di hospital .. /di masjid …/di medan perang …/di kota hanyalah keruntuhan, kemusnahan dan kehancuran.” Tidak diserukan oleh temanku agar kita mengangkat senjata pergi berjuang tetapi besar benar kesan tragedi gergasi itu di jiwanaya lalu beliau menyeru: “Berikanlah seluruh simpatimu”.
ASKAT: Aku tahu, tentulah dengan kesedaran bahawa perjuangan tanpa persediaan canggih serba-serbi demi mengatasi musuh asasi sebenarnya seerti berstrategi ‘membuta-babi’ yang pasti menghasilkan kelupusan di bumi. Begitupun, janganlah kerana sebab demikian, kita sampai langsung tidak prihatin lalu menghindar diri daripada menjelmakan perasaan bahawa kekejaman seharusnya ditentang walau dengan apa cara meliputi pendekatan jangka pendek dan jangka panjang, dengan kematangan yang dituntuni kebijaksanaan. Lebih-lebih lagi, yang teraniaya adalah saudara-saudara seagama. Para simpatisan yang terhasil dari inisiatif temanku ini kelak, dipandui perancangan yang berterusan para kepimpinan, akan bakal menjadi benteng pertahanan yang tidak akan roboh sebaliknya bergerak menghimpit dan menumbangkan puak penjahanam yang angkuh lagi tanpa berperikemanusiaan itu. Insya-Allah.