Wednesday, 27 November 2013

Sajak Rudi Mahmood, “Catatan Musim Kemarau”

Daripada beberapa teman yang menyapa di lembaran pustaka, kupilih tanpa prasangka, yang sedang semasa dan menggema di maya, Rudi Mahmood dengan sajak menggodanya, “Catatan Musim Kemarau”, Dewan Sastera, Julai 1980, muka surat 40. Aku menyusun jari memohon restu campur kemaafan, hanya untuk menyalin sebagai ingatan; “sekali lagi kalau adapun/puisi juga yang kering/serapah apapun/puisi juga yang kering/lalang sebenarnya bukan basah.” Boleh saja kalau mahu kugantikan yang setara dari kalimat-kalimat yang ada. Tetapi, ‘kan ini telah pada!

ASKAT: Ini suatu puisi yang berturap kecantikan bertompok-tompok, namun sekali gus merata, dan ia terang tak bergantung pemerian atau penghuraian berjela. Demikianlah jua intipatinya. Kuteguk semuanya. Ia menyira, secorak yang lazim kuladeni. Inilah sajak. Biarkan apapun maksud di sebalik kata-kata pencipta, di sini di sana, awal mula akhir sudahnya. Jika kukuh tabir erti, kelabu yang membelai, ulang berulang, sebegitulah seharusnya. Singgahan biarkan lama, tanda karya tiada alang kepalang dirona, bak kata asal ada! Aku tidak akan menyelak lagi. Kendati terhenti, lagi-lagi mendamba, agar kembali. Akan kucari lagi sambil menyendiri, dari hari ke hari.

Rudi Mahmood, “Perkahwinan Malam Pemujaan/Hari-hari Yang Menyepi”,

Dalam mencipta masing-masing karyawan ada gaya dan ada keistimewaannya. Teman fbku yang prolifik masa kini di maya, Rudi Mahmood, ada menatah karya yang mendamba nostalgia lewat puisi cinta, “Perkahwinan Malam Pemujaan/Hari-hari Yang Menyepi”, Dewan Sastera, September 1979, muka surat 18. Kalau ‘rasa’ yang mahu dijelirakan, telahlah terjelira di minda, terbentuk menjadi pengalaman yang menyeronokkan, dari suatu pengamatan, sesingkat kesempatan. Perlukah dipersoal kefahaman menyeluruh atau asalkan terkesan walau tidak mendalam? Seharusnya mencukupi, begitu atau begini! Yang pasti, ada keterharuan bangkit, bukan pula sedikit. Biarlah kupilih, “wahai di tengah sentuhan begini/…/…/…/biarkan rawana itu tertidur berahi di tengah pemujaan kita.” Oh! kesihan Rawana diperlaku ‘kurang ajar’ sedangkan ia raja besar, titahnya berdegar-degar. Rangkap akhir pula, semua sekali, “Kukatakan rindumu sita/sebesar susu dara malam minggu/aku yang bangkit memujamu/dari balik dinding duka/dari sekian cinta malam itu.” Waduh! begitu terlampau sentuhannya.

ASKAT: Cinta (ataukah nafsu?) yang bersegi tiga, antara dua yang berkuasa dengan satu jiwa lagi yang terpaksa memberi, menghapus berahi. Ada persengketaan, pengorbanan perlu terjadi. Ada ‘sayembara’ beradu sakti, demi menguji hak mempunyai. Dari bukunya, “Hikayat Seri Rama”, Sita Dewi seakan ‘piala’ yang harus direbut melalui pertandingan seadilnya, lagi telus ditonton rakyat, hamba sahaya ‘yang tiada terpemenaï itu...’ Empat puluh pokok lontar mesti dipanah terus melepasi semuanya. Rawana dengan “anak panah yang bernama (A)suranama” dan Seri Rama dengan “anak panahnya yang bernama gendewanya Naga Pertala”. Ada prestasi yang tidak sama, berbeza nyata kesaktian antara kedua-duanya. Rawana hanya melepasi 38 sahaja sedangkan wira hikayat berjaya; “keempat-puluhnya terus dipanah oleh Seri Rama.”/ “Maka Maharisyi Kala pun segera naik ke atas maligai anaknya. Maka kata Maharisyi Kala, “Hai anakku, Sita Dewi! segeralah anakku turun dari atas maligai pergilah pegang tangan suamimu yang bernama Seri Rama itu.” (Lihat “Kesusasteraan Melayu Rampai-rampai III Cherita Hindu dan Jawa”, Longmans, 1958, cetakan pertama, muka surat 19-24). Munasabahlah kemudian kalau Rudi menjudulkan lagu puja beliau setaranya.

Wan A. Rafar, “Menjelang Tengahmalam ini”

Saya memang mengharapkan diketemui ciptaan teman yang lama tak tersua dalam lebuh terokaanku masih belum berkesudahan ini. Maka, apabila sajak penyair terkenal Wan A. Rafar (WanRafar Ishak), “Menjelang Tengahmalam ini”, muncul dalam Dewan Sastera, Mei 1979, muka surat 47, saya menghela nafas lega.

Yang paling menonjol dalam sejambak olahan ini ialah perulangan “segala-galanya akan beres/menjelang tengahmalam ini” yang yang seragam, mengambil 20 baris berbanding 29 baris kalimat tidak seragam yang bakinya, yang menyentuh semua perkara yang akan terberes apabila masa yang dijangkakan (“tengahmalam”) tiba. Perulangan itu bukan tidak perlu. Kehadirannya memperkuat penyampaian pokok masalah atau persoalan yang dirangkumi sajak ini. Kalau dideklamasikan di pentas, berhadapan dengan khalayak, ketiadaan dua kalimat yang diulang-ulang itu, tentulah akan memerosotkan kesannya. Ada saktinya kalimat-kalimat itu sama ada di pangkal, di mana-mana, hinggalah di hujung pun.

Terbentang jelas, banyak sekali yang akan selesai apabila waktu menepati. Tentu berbahagia golongan yang terbabit, masing-masingnya. Isu-isu, ada yang besar (“krisis beras negara krisis minyak dunia”, “… kemalangan/jalanraya dan pencemaran alam”, “rumah-rumah pangsa buat kelas rendah”, dan lain-lain) dan tak kurang pula yang relatif kecil-kecil (“sebuah lagu buat setiap puisi”, “satu mimpi buat satu tidur” dan lain-lain lagi). Aku pula suka Wan memasukkan juga “surat cinta paling panjang/buat semua yang bercinta”. Terasa lucu yang seni meresap sanubari. Dan yang paling kena, menghebatkan gubahan, apabila sampai masa yang dijadualkan, “sebuah sepi buatku/seorang aku buatmu!” Itulah kalimat-kalimat yang mengakhiri. Penutup ini seakan mengakuri satu tragedi terjadi, menimpa sang diri penyair, betapa kerdilnya ia, betapa demikian hakikat wajar diterima oleh “mu”, beliau itu seadanya. Tak syak lagi, takdirlah yang mewarnai kehidupannya. Tiada kekesalan menerima takdir itu, dalam kecerahan dari semua penyelesaian yang tergambar, satu persatunya. Kedua-dua itu, serentak terjadi, pihak yang lain-lain dan pihak penyair.

ASKAT: Kehidupan sentiasa menyerlahkan persoalan atau masalah; kepada semua orang. Hanya, ada yang boleh menghadapi dan menyelesaikan dan ada pula tidak berupaya mengatasi. Ada jalan keluar boleh dicari sendiri dan banyaklah pula yang perlu mendapat bantuan pihak yang berwibawa, berautoriti. Kegawatan yang silih berganti, mencabar kebijaksanaan manusiawi, mengangkat darjat mereka menjadi lebih tinggi atau menggagalkan sebahagian lagi, terperosok sendirian, terutama yang tidak memiliki inisiatif, sentiasa bergantung harap di luar diri. Tetapi adalah jarang semua hasrat boleh terjadi, penyelesaian diperolehi sampai memberi puas hati, semua sekali, bersekali. Yang lazim benar-benar terjadi, persoalan-persoalan besar-besar tidak terurai simpulan ikatan, penyelesaian tidak berlaku seperti yang dirancang. Jadi tetap kekallah janji-janji, berlarutan membangkitkan pertelingkahan dan huru-hara sampai bergenerasi. Itulah sebab aku sehati dengan Wan, dalam kesemuanya yang terselesai, masih ada pihak lain, dan dalam hal ini, diri sendiri, tidak berubah. Menjalani penghidupan melangkahi denai destinasi dengan kerelaan, pasrah kepada Ilahi.

Sajak Ahmad Sarju, “Sungai di Perut Kota”

Lalu dilewati jua, sajak teman fbku Ahmad Sarju, “Sungai di Perut Kota”, Dewan Sastera, Jun 1977, muka surat 14. Inilah gubahan yang merakamkan kemerosotan tamadun orang-orang yang mengejar pembangunan, barangkali fizikal, samasekali tidak seimbang, membuta dlm terang. Dan, dalam proses itu, alam sudah hampir dimusnahkan, tiada lagi berseri memberi erti. Barangkali mereka fikir merekalah generasi terakhir sekali.

Setiap baris puisi sarat dengan makna, bermaksud keruntuhan dan keterbiaran, ketak-endahan. Ambil sahajalah kalimat-kalimat : “mengusung tompok-tompok derita”, “dengan lapisan kehidupan yang telah reput”, “sisa-sisa kehidupan yang hanyut…”, “mereka terus mengisi dengan segala kotoran”. Sungai itu telah “kuning lesu”, “jimbam lesu”. Sungguh azab sungai itu menyerap kejahilan penghidupan warganya, tentunya yang telah lupa mereka ada tanggungjawab memakmurkannya dan mewariskannya.

ASKAT: Kadang-kadang kita hairan mengapa wujud perbezaan kecantikan antara sungai di negara maju dengan negara yang hendak maju. Kalau pada tahun 2020 keadaan sungai seperti yang ada sekarang atau kian merosot maka usaha-usaha selama ini hendak menjadi negara maju hanyalah sekadar kempen mengabui minda atau persepsi orang-orang yang tidak pernah mengambil iktibar sepenuh hati. Kita tahu dua buah negeri telah berani mendabik dewan mengaku tahap kemajuannya tetapi kita tahu juga sungai-sungainya tetap menjijikkan. Di sini, dahulu dan kini, warwaran sudahlah lumrah. Dan kita memang handal dalam bidang ini. Personaliti saling berganti, seakan yang baru membawa pembaharuan dalam berlainan acuan. Hakikat tidak pernah menjadi panduan. Sedang yang sebenar dikehendaki ialah kesan positif. Bukan dari satu segi, tetapi semuanya. Dan inilah tidak terbukti, jika pun sungailah jadi kayu ukurannya.

Sajak Zurinah Hassan, “Bendahara, Tuah dan Jebat, Aku Selalu Bertanya”

Rupa-rupanya bukan mustahil kita belajar memahami suatu epik melalui satu puisi, yang kalian ganda pendeknya. Bukan juga selalu kita dibantu merumuskan puisi oleh kalimat-kalimat karyawan sendiri, di hujungnya. Puisi penyair besar, teman fbku Zurinah Hassan, “Bendahara, Tuah dan Jebat, Aku Selalu Bertanya”, Dewan Budaya, Ogos 1988, muka surat 28-29” menyerlahkan permasalahan tragedi bangsa yang sudah berkurun tiada pernah diperiksa semuktamadnya. Hebatnya ciptaan ini kerana perspektif atau kekusutan suatu dilema yang dipercerahkan melalui beberapa kalimat padatnya yang memandu minda.

Perhatikan. Kepada Bendahara, ditanyakan, “mengapa kau tidak berani/membiarkan seorang raja/terhukum oleh kekhilafannya?” Kepada Tuah, ia lebih ditempelak, dengan “… kau sepatutnya …” dan diadili dengan penghakiman bahawa Tuah sebenarnya “…berakhir dengan ketakutan” dan dikatakan juga “… memiliki/tipu helah yang keji”. Sebaliknya Jebat telah dipuji bertindak betul, “berani memberontak” tetapi sangat dikesali “…lupa untuk berwaspada” sehingga hilang Taming Sari. Selepas itu, pertanyaan menyusuli satu persatu. Semuanya mengandaikan bahawa jika apa yang tidak berlaku pada abad ke-15 dahulu itu sebaliknya berlaku, “apakah yang akan terjadi kepada kita hari ini?”

ASKAT: Saya memilih merungkai simpulan. Memahami logik penghujahan, kalau yang “sepatutnya” benar-benar berlaku, maka raja akan kecundang di tangan hulubalang garang, dan Jebatlah menjadi raja kerana dialah ketua. (Tetapi adakah calon-calon untuk dilantik menyandang jawatan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Pertahanan dan semua-muanya dari kalangan rakyat jelata sekalian?) Bendahara mungkin dipecat juga kerana tidak amanah mendukung etika perjanjian purba; Tuah mati dalam usia tua, tidak dikenang lama, kecuali sekadar seorang pesara zaman beraja, atau boleh juga, dilantik semula menjadi panglima mempertahankan Melaka dari serangan musuh-musuhnya. Tuah tetap seorang pekerja yang lebih berfungsi melaksana, tidak serupa negarawan berwibawa. Jika yang berlaku dahulu tidak berlaku bahkan adalah sebaliknya, Melaka muncul sebagai negara yang diperintah berasaskan “kebenaran”, “kasih sayang”, “sanjungan”. Rakyat jelata harus mendukungnya kerana begitulah yang dikehendaki masa kini. Tetapi zaman itu adalah zaman beraja, ada perlembagaannya, para penjawat akur demi mendukungnya. Jadi pertanyaan lain mungkin lebih bermakna; kenapakah Jebat tidak menubuhkan ketumbukan, memberi satu alternatif menggantikan suatu bentuk pemerintahan kepada corak yang berlainan dengan prinsip-prinsip yang diperjuang bersendirian itu? Saya kira Jebat agak terkedepan, kurang berfikir panjang demi menjaminkan kejayaan perjuangannya.

Maka kekusutan atau permasalahan akan terus berpanjangan. Kesimpulan masih tak terleraikan.

Nota: Ilustrasi oleh Sabri Yunus.

Wednesday, 6 November 2013

Sutung Umar RS, “Puisi Awal Tahun”

Barangkali belum terlambat kalau ingin menjadikan sebab kenapa sajak ini jadi bahan memberi pendapat. Kudahului dengan suatu pantulan asasi yakni, dalam keadaan-keadaan tertentu mentafsir puisi tidak semudah membaca ilmu tinggi. Walau berkali-kali belum lagi pasti apa yang dinukilkan boleh difahami. Karyawan membina kalimat dan rangkap untuk maksud khusus sedang kita kabur minda dan memilih untuk mentafsir ikut naluri sendiri. Tiada silapnya pula pendekatan berhati-hati. Dan, tiada orang boleh memaksa kita untuk sejiwa sehati dengan orang lain. Asalkan kita ada hujah-hujah mendalam, mereka harus faham.

Penikmatan sajak boleh dilakukan dengan berbagai cara. Kali ini kupilih rangkap tertentu, sebahagian yang kusenangi, lagi tidak terlalu peribadi. Seluruhnya agak panjang, sukar dilakukan, sedang akupun dalam hambatan-hambatan. Jadi, inilah, “segalanya pasti bermula/tidak ada waktu untuk menanti/perjalanan/pengembaraan/sedekat jarak pun/bermula dengan langkah” dan rangkap akhir, “tidak ada yang lain/kemenangan atau kekalahan/kitalah yang menentukan/semalam, hari ini atau esok.” Kalau inginkan yang lengkap bacalah, ciptaan teman fbku yang matang, Sutung Umar RS, “Puisi Awal Tahun” (atau a.s.k.), Dewan Masyarakat, Januari 1990, muka surat 55.

ASKAT: Awal Muharram yang sudah kita langkahi, menandakan kita sudah lebih mengalami berbanding dengan akhir Zulhijjah yang menjelang lebih dahulu. Dalam mengejar cita-cita, usaha gigih adalah wajib demi penyempurnaannya. Terlalu sering disebut “rezeki tidak datang bergolek”, atau “kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya”. Kefahaman tentang ini adalah pokok, dan yang menyusuli hendaklah satu perencanaan yang teliti, berterusan sehingga berjaya. Begitu mudah, begitu tidak dapat disangkal kerana ia suatu fakta alami.

Rahimidin Zahari, “Nadiah Rindukan Tekukur”

Karyawan prolifik kita, Rahimidin Zahari bertandang lagi di mindaku dalam rupa “Nadiah Rindukan Tekukur”, Dewan Masyarakat, Disember 1989, muka surat 54. Dua rangkap sajak ini merakamkan perasaan seorang anak yang kehilangan kemerduan nyanyian tekukur yang tidak lagi kedengaran di sekitaran. Tiada lain sebabnya kecuali di mamah pembangunan. Hiruplah getaran rasa anak ini dan gaulkanlah dengan kenangan teman-teman sendiri. Semoga kesannya mengusik benak dan tahulah kita, usia kita kian meningkat. Tiada boleh lagi kita menahannya.

ASKAT: Kalau hendak dikira-kirakan, sudah banyak gambaran dalam kenanganku pun tiada lagi. Hampir di serata tempat dahulunya bercambah. Kalau ambil contoh di kampungku yang jauh di mata, tiada lagi nelayan ke laut menggunakan perahu layar, tiada lagi pukat tangkul, hilang sudah terendak atas kepala, lesap pun pelandan tempat menjemur pukat ikan, tiada lagi permainan masa kecil seperti bola katok keliling pokok-pokok kelapa, gelap-cerah, petik mata, bedil buluh peleting, main motobot papan di alur ketika musim banjir, mencari kulat di hutan, mengutip telor penyu di pantai, dan senaraikanlah. Banyak lagi. Perubahan harus berlaku. Berterusan. Kita yang pernah mengalami bertuah dapat menyimpan kenangan. Lagilah kalau berupa ingatan manis.

Semuanya ini, termasuk yang tidak kusebut, tidak menjadi suatu bual bicara pun bagi anak-anakku. Dan itu tidak pun menjadi suatu isu besar. Demikianlah perubahan dunia. Pengalaman antara generasi tidak sama dan kerana itu penghayatan dan keperasaan dua generasi atau yang terkemudian tidaklah kita boleh anggap pada tahap yang sama. Tetapi masih benar kata-kata “patah tumbuh hilang berganti” namun yang menyusuli dalam banyak hal hendaknya muncul lebih baik demi kesempurnaan peradaban manusia.

Nota: Alangkah seronoknya, di sini, tidaklah sesekali malah setiap hari, senandung tekukur, murai, gembala kerbau dan lain-lain, bahkan ayam jantan jiran pun, masih semerdu seperti aku kecil dulu.