Tuesday, 27 September 2016

ASKAT: Kedewasaan

Kedewasaan
Dirumus cinta
sebatian kerelaan
saat kulepasmu 
doa mengiringi
selagi nafas menghela
biarlah berwarisan
kebahagiaan
keberkatan.

ASKAT: Sudi

Sudi
Suram mencengkam
mengancam kepergian
keserian berantakan
lantaran kebenaran.

ASKAT: Kunjungan

Kunjungan
Menziarah sejarah
pada kabur langkahan
saat usia meruntuh
beradu satu satu.
ASKAT
Pendek
Kota Bharu.
8 Julai 2016

“Perskiman Perkhidmatan Kesultanan Melayu Zaman Tradisi”

“Perskiman Perkhidmatan Kesultanan Melayu Zaman Tradisi”
Jabatan Perpustakaan Negara Malaysia ada mengaturkan “Bacaan Kegemaran Saya Sektor Awam” pada tahun 2007. Program ini bertujuan membudayakan minat membaca di kalangan pegawai-pegawai kerajaan. Tan Sri Ismail Adam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bersedia untuk memulakan program dengan membuat ulasan 15-20 minit tentang sebuah buku yang dibacanya. Sesi pembicaraan buku tersebut telah dirakam pada 5 April 2007 oleh Jabatan Perpustakaan Negara. Rakaman itu kemudian ditayangkan dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan di Auditorium JPA pada 24 April 2007.
Jabatan Perpustakaan Negara juga memohon supaya dicari seorang lagi pegawai untuk mengambil bahagian pada sesi seterusnya. Saya telah bersetuju. Tetapi berlainan sedikit dengan pendekatan sesi pertama, program yang saya sertai melibatkan saya diwawancara oleh Ketua Pengarah JPN di atas pentas Auditorium secara langsung. Semua pegawai JPA akan hadir kerana majlis itu adalah sempena Perhimpunan Bulanan pada 8 Ogos 2007. Di samping itu, saya tidak membicarakan sebuah buku tetapi ‘banyak’ buku yang menyentuh “Perskiman Perkhidmatan Kesultanan Melayu Zaman Tradisi”. Saya ingat membawa bersama-sama ke majlis itu sejumlah buku yang berkaitan dengan tajuk yang dipilih seperti “Sulalat-Us-Salatin” suntingan A. Samad Ahmad, “Sejarah Melayu”, “Taj Us- Salatin”, “Bustan al-Salatin” dan beberapa buah buku lagi yang lain. Sesi itu telah dirakamkan dalam bentuk DVD. Sampai kini ia tersimpan rapi dalam koleksi peribadi.

Coretan, "Bercinta cara tok nenek"

Bercinta cara tok nenek
“Salam yang diiringi dengan berapa hormat dan khidmat yang mulia maka dihiasi pula dengan berapa rindu dendam yang tiada berkeputusan dan tiada berkesudahan sentiasa juanya selagi ada peredaran cakrawala matahari dan bulan dan siang dan malam pagi dan petang tiadalah mau lupa dan lalai barang seketika pun jua laksana pungguk merindukan bulan laksana jentayu menantikan hujan laksana Siti Zalekha berahikan Yusuf dan laksana Laila berahikan Majnun demikianlah juga kekanda teringatkan tuan dibawak tidur tiada boleh tidur melainkan
(Saya transliterasikan sebahagian daripada sepucuk surat cinta seperti termuat dalam buku, Annabel Teh Gallop, “The Legacy of the Malay Letter Warisan Warkah Melayu”, 1994: The British Library, London, muka surat 24.)
Harap perbetulkan jika tidak menepati.

Sajak Wan A. Rafar, "Menjelang Tengahmalam ini"

Kalau kita dijemput mendeklamasikan sajak, teman fbku, Wan A. Rafar (WanRafar Ishak) mencipta sajak, “Menjelang Tengahmalam Ini”, Dewan Sastera, Mei, 1979, muka surat 47, yang kukira sesuai dipersembahkan dan boleh menghiburkan. Sajak ini tidak pendek dan tidak pula terlalu panjang. Kata orang sedang-sedang. Berbaloi berada di pentas mempamer hias memperaga puas, mempamer bakat. Kalimat-kalimat, “segala-galanya akan beres/menjelang tengahmalam ini/” mendahului setiap rangkapnya, yang berjumlah 10. Ada mesej dan temanya pun nyata dn berbagai-bagai. Disentuhnya, “krisis beras”, “krisis minyak”, “cegah kemalangan jalanraya ”, “pencemaran alam”, “rumah-rumah pangsa” dan lain-lain. Walaupun seakan semuanya “akan beres”, yakni memberi janji yang menyenangkan bagi pihak-pihak yang berhasrat supaya diselesaikan masalah masing-masing, aku dukacita temanku tidak menyimpati diri beliau sendiri kerana mengakhiri sajak ini, selain melemparulangkan, “segala-galanya akan beres/menjelang tengahmalam ini/” , dengan dua kalimat paling akhir iaitu, “ sebuah sepi buatku/seorang aku buatmu!”. Bukankah ini kesendirian yang menarik perhatian orang lain atau khlayak. Dan jangan lupa, demikian itu, menjadi tanggungjawab “mu” menanggungnya.

ASKAT: Orang Berjasa

Orang berjasa
Seusia dunia
kekal ternama
menjati diri 
bakti dihargai.