Wednesday, 30 December 2015

Sajtun 3

Sajtun 3 (Majalah Dewan Bahasa)
Suasana ghairah baru merdeka
Politik bahasa amatlah penting
Dalam majalah aneka rencana 
Kritik, bahasa, lain-lain mengiring
Bahasa Melayu sedang goyah
Mahu diperkasa daripada pesaing
Sastera Melayu mulai digeledah
Malu sekali lama terdinding
Semenjak sebelum merdeka lagi
Kaum guru perjuangkan bahasa
Para pengkritik wajar dipuji
Menilai karya semua genre
Golongan wartawan begitu juga
Mendukung bahasa ibunda di akhbar
Beri perhatian kesusasteraan lama
Menyokong agar tidak terbiar
Akhbar awal mengandungi isi
Perhati sungguh masalah semasa
Secara sedar lebih terperinci
Sejarah Melayu ditelaah utama
Tahun-tahun permulaan berdikari
Iklim panas kerana ‘bertikam’
Hikayat Hang Tuah satu lagi
Kassim Ahmad sarjana tajam
Semangat rakyat penduduk asal
Berjiwa Melayu ciri kebangsaan
Hikayat Seri Rama juga terkenal
Unsur Hindu dapat dikesan.
ASKAT
SGR
25 Oktober 2015.

Pengajian Melayu

Pengajian Melayu
Profesor Diraja Ungku A. Aziz (Naib Canselor), dalam “Kata Sambutan” memberi tahniah kepada Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya kerana berjaya menerbitkan “Rampaian Pengajian Melayu”, Bilangan 1, pada tahun 1984. Kata beliau, “Karya pertama dalam Siri Penerbitan Jabatan ini merupakan satu kumpulan karangan mengenai berbagai aspek bidang Pengajian Melayu yang berdasarkan usaha-usaha para akademik dari dalam dan juga luar Jabatan Pengajian Melayu.”
Kemudian saya melintasi, Ding Choo Ming, “Sumbangan Barat terhadap Bahasa Melayu”, Dewan Bahasa, Januari 2006, muka surat 20-25. Ternyatalah orang-orang Barat telah lama mengkaji Dunia Melayu. Kita boleh letak tarikhnya seawal 1521, dengan senarai perkataan Melayu yang dilakukan oleh Antonio Pigafetta.
Comments
Ahmad Said Sekali lagi saya paparkan di laman ini pula, Ismail Hussein, “Pengajian Melayu di Dunia Melayu (Bahagian Pertama)”, Dewan Budaya, Mac 1993, muka surat 55-58.
Ahmad Said Seperti diiklankan dalam Dewan Bahasa, Februari 2013.
Ahmad Said Baca, Zainal Abidin Borhan, “Ke Manakah Hala Tuju Pengajian Melayu?”, Dewan Bahasa, Mei 2014, muka surat 4-7; Mohd Shafiq Rohaizad Buyong, “Pengajian Melayu Menyusuri Laluan Berliku”, muka surat 12-15. Dan juga baca, “Bual Bahasa” dengan Profesor Dr. Nor Hashimah Jalaluddin, “Pengajian Melayu Mempromosikan Kearifan Peribumi”, Dewan Bahasa, Mei 2014, muka surat 58-62. Ada juga dilaporkan dalam Pelita Bahasa, Mei 2014, muka surat 6, bahawa Profesor Dr. Nor Hashimah menyampaikan Syarahan Perdana Profesor pada 4 April 2014 di UKM berjudul, “Semantik dan Akal Budi Melayu”.

Nyanyi Siti Fatimah

Nyanyi Siti Fatimah
Saya memiliki senaskhah “Nyanyi Siti Fatimah’ (1952), Persama Press, cap yang kelima. Hari ini melintasi, Zulkifli Osman, “Bahasa, Pemikiran, Nilai”, Dewan Bahasa, November 2005, muka surat 46-50 yang mengkaji “Dendang Siti Fatimah”, pada masa itu dikatakan kandungannya diamalkan semasa menyambut kelahiran anak-anak perempuan di (Kampung Tanjung Bidara, Kampung Gajah dan sekitaran) Perak. Saya petik serangkap:
“Ibu bapamu miskin terhutang,
Kain sehelai haram dipinggang,
Kain pun basah anak dipegang,
Tarik ke atas di bawah renggang.”

Sajtun 2

Sajtun 2
Tawarikh dipelajari awal di sekolah
Cerita kejayaan membina negeri
Negeri berdikari idea melimpah
Negara moyang bakal berdiri
Kalau dikira pelajaran agama
Membangkit menguja sirah Nabi
Balai Pustaka bertukar nama
Dewan Bahasa dan Pustaka mengganti
Di sekolah menengah terus berminat
Riwayat dunia membangun tamadun
Beralih payah membina pejabat
Walau bentuk rupa tidak anggun
Tamadun Cina tamadun gemilang
Tamadun India tiada kalah
DBP peka mencipta lambang
Daun lontar timbul menyerlah
Selain mengetahui segala peristiwa
Peranan tokoh sangat hebat
Sudahlah institusi tertera nama
Cogan kata berseri hala matlamat
Walaupun sejarah ehwal silam
Takjub terakam menjelma teladan
Berumpun pena bermata tajam
Daun resam berjasa peranan
Rupanya dunia saujana luas
Berbagai bangsa berbagai kaum
Bidang berkarya tidak terbatas
Bahasa, sastera, pengetahuan, terangkum.
ASKAT
SGR
23 Oktober 2015.

Pantulan 72/15: Sajak Ahmad Sarju, “Hanya Kerana”

Pantulan 72/15: 14 hanya
Kalau kita rajin meneliti puisi-puisi tradisional ciptaan penyair tak letih berkarya,Ahmad Sarju, kebelakangan ini, seperti yang hampir saban hari tercetak di laman fb beliau kita akan tahu bahawa yang diluahkan beliau dalam kebanyakan puisi-puisi itu telah sebenarnya terangkum dalam sajak “Hanya Kerana”, Dewan Masyarakat, September 2005, muka surat 66. Akurlah kita, akan huru-hara organisasi dengan ada ‘hanya-hanya’, walaupun satu dua. Akan selamat pula organisasi, sekiranya tiada langsung ‘hanya-hanya’ tersebut atau jika pun ada, dikendalikan mengikut cara paling bijaksana bagi menyelesaikannya.
Aku merumuskan, bahawa kekuasaanlah menimbulkan kemaharajalelaan bertindak sehingga menggugat, mencantas, menghina, menzalimi, memusnah, dan pelbagai lagi bentuk salah laku dan penyalahgunaan kuasa. Perlakuan demikian sebenarnya jauh daripada pendekatan menyelesaikan masalah yang lazimnya disyorkan bagi mewujudkan ketenteraman, kemakmuran, perpaduan, keadilan, dan pelbagai lagi kebaikan dalam menjalani kehidupan di mana-mana, dalam organisasi, masyarakat, atau di dunia. Tetapi kita pun tidak pasti sama ada penguasa atau orang berkuasa yang mengetahui ketidakbaikan bertindak sembrono, gopoh-gapah, jahil, tak beradab, akan terdorong bertindak mengikut secara yang ideal atau cara yang beretika. Sebab, rasional setiap tindakan mereka ialah untuk mengekang perkembangan gejala yang tidak diingini mereka. Tanpa berbuat begitu, bagaimana mereka boleh mempertahankan status quo? Tetapi harus pula kita menyedari orang-orang berkuasa tidak akan berleluasa jikalau mereka tidak didukung oleh penyokong-penyokong. Mujurlah semua ‘hanya’ tidak semestinya dilakukan oleh orang atau oleh pihak yang sama. Sebab, tidak mungkin ada organisasi boleh berdiri dengan tiada sedikitpun tolak ansur, bertimbang rasa, prihatin, berperikemanusiaan, Sedemikian terpakai juga dalam bernegara. Kejadian salah laku, bertindak tanpa batasan ada di mana-mana, dilakukan oleh sesiapa atau pihak-pihak tertentu. Sekiranya ahli atau warga yang teraniaya itu bertindak berani menghadapi, bersandarkan kebenaran maka pastilah peristiwa-peristiwa boleh dikekang bahkan boleh dikawal daripada berterusan. Pendukung-pendukung atau penyokong-penyokong pun tentu berubah arah. Memanglah ada baiknya kedua pihak yang bertelagah, bersengketa, berselisih, tidak sefahaman, berjumpa menyelesaikan secara yang menang-menang. Tetapi cara begini lebih tidak pernah menyata, sebab dari segi realitinya, kekuasaan mengabui pandangan dan, daripada orang lain mengambil alih, baiklah sendiri kekal di tampuk kekuasaan. Demikian itu berlaku zaman berzaman!
Semoga wujud kewarasan dalam mengendalikan permasalahan. Yang hendak dituju ialah kesempurnaan, setakat yang boleh dicapai oleh manusia, dengan perkenan Tuhan.
Comments
Ahmad Sarju Rasa penghargaan yang amat tinggi terutamanya kepada Dato Ahmad Said dan teman-teman semua yang sering menhayati puisi/pantun/syair saya ,Sebenarnya anda semua telah mendorong saya untuk terus menulis.Alhamdulillah..Amin.
Ami Masra Tahniah; hebat tuan saya mahu berguru.
Ahmad Said Saya sebenarnya belum bercadang hendak menyentuh sajak-sajak tentang bahasa, tetapi oleh kerana tuan Ami Masra hendak berguru dengan tokoh kita ini, bacalah sajak hebat Ahmad Sarju, “Guru Perkasa”, Pelita Bahasa, Mei 2006.
Ami Masra Saya nak berguru dengan kedua-duanya; mereka banyak ilmu dan pengalaman yang boleh dikutip.

Sajtun (Percubaan)

Suatu percubaan meneroka (Sajtun 1).
Seorang tokoh berwacana bijaksana
Kesalkan sejarah tak dikesah lagi
Seronok sungguh membuka pustaka
24 jam di rumah pun tak mencukupi.
Padahal sejarah memberi hala
Menghurai simpul sebarang misteri
Bahan berfaedah ada tersedia
Semua terkumpul dikarang teliti
Sejarawan mengkaji berbagai fakta
Sanggup persoal demi hakiki
Mula-mula diselidiki tentang bahasa
Penerbitan awal sampai kini
Pelbagai cara teroka sejarah
Semua benar berasas belaka
Dewan Bahasa nama majalah
Terbit isytihar selaras merdeka.
Perspektif luar diterima baik
Perspektif sendiri tidak dilayan
Kulit sebenar direka menarik
50 sen dibeli harga sepadan
Ketika penjajahan sejarah berlandas
Demi muslihat kepentingan Barat
Pengarang pertama ialah Keris Mas
Beri khidmat cadangannya sarat.
Merobah pendekatan bukan mudah
Minda tertawan terima sebati
Majalah cekatan jadi wadah
Para cendekiawan peringkat universiti.
ASKAT
SGR
22 OKtober 2015.

Pantulan 71/15: Sajak Zaiton Ajamain, “Dingin di Bologna”

Pantulan 71/15: Membela
Pada hemat Zaiton Ajamain (Dato' Hajah Zaiton Haji Ajamain) para warga ada tanggungjawab membela diri sekali gus negara. Pemimpin yang tak berwibawa, tiada harga diri, membawa rugi wajar ditentang. Mereka harus diturunkan - dari menara, dari puncak, dari pura, dari man-mana. Begitulah, melalui “Dingin di Bologna”, Dewan Masyarakat, Ogos 2004, muka surat 66, rakyat tiada pilihan lain lagi untuk menghadapi situasi. Mereka sendiri mesti bertindak menyanggah. Tidak berterusan berdiam diri seakan kemaharajalelaan, kehonaran, pembaziran milik mutlak orang atasan. Ada prasyarat untuk menjalani kehidupan yang berfaedah. Keamanan negara adalah yang utama. Demikian boleh ada apabila pemimpin benar-benar memenuhi kriteria-kriteria disepakati semua.
Sebenarnya dimana pun kita berada suasana negara yang aman damailah yang kita ingini. Baharulah kita dapat melakukan apa sahaja yang berguna – demi semuanya. Namun, kita tahu, huru-hara sedang menyerapi serata – di Syria, Yaman, Iraq, Afghanistan dan lain-lain. Kehancuran yang sedang terjadi adalah hasil persengketaan mereka yang berebut kuasa. Setiap pihak ada pemimpin masing-masing. Tidak cukup dengan penglibatan dalaman, dijemput pula kuasa-kuasa luar membabit sama. Masing-masing pihak berharapan tinggi. Ingin berjaya – yang berkuasa meneruskan kekuasaan dan penguasaan; yang sedang berjuang, bertekad dapat mengungguli dan mengambil alih sebagai pengganti di tampuk negeri. Lazimnya yang kita baca, rakyat yang menderita atau terkorban tak berharga. Yang kita lihat di kaca berita orang-orang biasalah yang tidak terbela dan mereka bercempera meredah segara seisi keluarga mencari damai di bumi asing. Rakaman duka mereka sudah tidak terkira banyaknya. Dan, terus bertambah berganda-ganda.
Di sana dan di sini tidak jauh berbeza. Sekitaran kian menggelora. Semoga perjuangan hanya bermaksud membangun tamadun manusia seperti diberi pengertiannya oleh orang-orang bijaksana.