Monday, 9 December 2013

Sajak Malim Ghozali Pk, “Laksamana, kucari akar rasional amanat atau hanya kata-katakah di lirih angin sepanjang zaman”

Kalau hendak dikatakan meresah rasa, memanglah. Pun, mengharukan atau membimbangkan, atau menusuk kalbu, kerana situasi semasa lebih membayangkan kemungkinan semakin banyak isyarat-isyarat kehilangan jati diri yang semenjak merdeka secara berkebangsaan dirancang dan dilaksanakan, tidak putus-putus menjelma, tertonjol terang-terangan. Ini kesan yang disemaikan apabila selesai mendekati karya teman lamaku yang kian tersohor, Malim Ghozali Pk, lewat sajak “Laksamana, kucari akar rasional amanat atau hanya kata-katakah di lirih angin sepanjang zaman”, dalam “Hujan di Limun Pagi”, Seladang Ventures, Disember 2008, cetakan pertama, muka surat 42-43. Yang dibicarakan, laungan lama panglima bahari, “TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA!” kerana “Melayumu merempat di laman sendiri”. Tetapi apabila diulang-ulangkan Malim, “…amanatmu atau hanya kata-katakah/…./sepanjang zaman sepanjang zaman.” Maka jadilah sajak ini satu luahan kecewa yang wajar diwarwar kerana bangsa Melayu belum lagi mengotakan kata-kata, bahkan sekadar mengujar-ujar, sedangkan sudah bebas menentu wawasan.

ASKAT: Saya petik dari Hikayat Hang Tuah: “Maka negeri Melaka pun sentosalah sebab Bendahara dan Laksamana memeliharakan.” (muka surat 414, DBP, 1986, cetakan ketiga). Tentulah ini puncanya atau meminjam kata-kata Malim, “akar rasional amanat”. Bendahara yang mengetuai pentadbiran kerajaan dan Hang Tuah melaksana dan mempertahankan. Unsur-unsur itu masih berkekalan sampai sekarang Perdana Menteri dan para pelaksana terdiri daripada penjawat-penjawat awam, yang dominan. Malim menyebutkan mereka yang diamanahkan itu sampai mencapai angka 90%-99%. Tetapi kenapa timbul kebimbangan ataukah sengaja digembar-gembur persoalan? Aku kira beliau tidak bermimpi kerana hakikatnya kita lebih berdegar-degar, terutama pada permulaan dan lantas sewenang-wenang, bergelumang dengan kedangkalan dan dikaburi habuan yang bukan matlamat idaman perlembagaan. Bahawa, ada kewajipan semua pihak, individu atau kumpulan dalam bentuk rasmi atau bukan. Dan ini, dituntut sekarang!.

Sunday, 8 December 2013

Sajak Nawawee Mohammad, “Surat Dari Jebat”,

Teman fbku sedaerah, Nawawee Mohammad pun tidak terlupa menilai pustaka lama. Melalui “Surat Dari Jebat”, dalam antologi “Dua Alam”, Grup Pemuisi UKM, 1978, cetakan pertama, muka surat 50, dipancarkan tafsiran dan pendirian beliau. Kita ratah dulu kata-kata berapi yang diluahkannya, “adapun demokrasi di sini/…/…/…/mengusut rambut anakpelaut/mengharubiru niat petani/kerana di tengah kota kini/…/sebilah keris hanya perhiasan.” Pada zaman bukan kesultanan (baca merdeka) ini semuanya sudah boleh dipersoalkan. Kerana itulah dilanjutkan beliau, ya, “setelah wira milik individu/…/setiaku tak perlu menunggu/…/…/…/demi Jebat demi Jebat/merajalela istana bumi sendiri.”

ASKAT: Benarlah pendidikan seharusnya menjelmakan peribadi yang terpuji, yang misali, mendukung nilai-nilai yang disanjung tinggi oleh masyarakat. Zaman Melaka, Sultan yang berkuasa mutlak. Bendahara pun tidak sanggup menentang titah, kecuali setakat membuka suara berwasiat, menegaskan banyak pesanan termasuk jangan sekali-kali menafi daulat raja sedang bertakhta di istana puri . Tetapi pemerintahan yang didukung oleh perkiraan undi pun belum pasti mewujudkan keadilan. Lambang kekuasaan, seperti “keris” seharusnya bukan hiasan semata-mata, sebaliknya sebagai suatu perlambangan yang menyerlahkan perlembagaan yang wajib dipatuhi dan dilaksanakan. Kalau yang demikian itu tidak menjadi amalan, penekanan atau kezaliman berleluasa, atau masih ada, bermaknalah kerajaan atau kuasa yang diberi tidak ditadbir atau digunakan secara menepati. Dukungan agar keadaan begitu berterusan sudahlah tidak boleh dipertahankan. Jadi, pada medannya teruskanlah berjuang agar tercapai wawasan murni (?), yang dilambangkan melalui perjuangan (peribadi) Jebat iaitu keadilan, keperwiraan, kebolehan, persahabatan…. Walaupun kesempurnaan bukan diwakili Jebat, ada unsur-unsur utama yang menonjol. Dan yang baik-baiklah sewajarnya memandu arah tuju penambahbaikan.

Sebagai hiasan kutunjukkan ilustrasi dipetik daripada buku Rahman C.M, “Tragedi Akibat Fitnah”, Macmillan Malaysia, 1980, cetakan pertama, muka surat 77.

Tuesday, 3 December 2013

Sajak Zurinah Hassan, “Kuntum Indah”



Demi hari-hari yang lama berlalu kita angkat semula ke persada maya, sajak teman fbku, Dr. Zurinah Hassan, “Kuntum Indah”, PEMIMPIN, Jun 1971, muka surat 41. Biarkan puisi ini bersenandung sendiri – dengan judulnya, dengan kalimat-kalimatnya, dengan kesatuan pengertiannya. Alangkah bertuah negara jika semua menjadi nyata seperti diperikan sesuci hati.

ASKAT: Musim mencorakkan jati diri negara telah lama bermula. Awal tahun-tahun 1970-an sudahpun diperhebat, tergembeleng menjadi agenda negara, terutama yang berserampang dua mata, yang kukira berjaya ke tahap yang pada, cukup menjadi asas meneruskan usaha berganda, menyedari sejarah negara dengan pelbagai dimensinya. Tetapi alangkah masih juga jauh, mendakap cecita murni dan ideal sahabatku ini. Pencapaian kita sebagai satu ‘bangsa’ seakan bertateh, di denai berduri, di kali yang dicemari. Barangkali tidak melampaui, jika satu puisi lagi dicipta karyawan yang amat ahli ini, semestinyalah merujuk realiti, dengan maksud mengemas kini. Dari persepsi peribadi, setakat ini, anyaman 42 tahun itu masih kekal menjadi mimpi….

Monday, 2 December 2013

Sajak Abd. Aziz bin Harun, “Sebuah Usia Bernama Tua Adalah Malam Yang Terpegun”

Hajat untuk mengkhusus ruang lingkup pantulan terhadap karya-karya teman-teman fbku dilonggarkan sedikit kerana terbaca sajak Abd. Aziz bin Harun, “Sebuah Usia Bernama Tua Adalah Malam Yang Terpegun”, Mastika, Julai 1986, muka surat 57. Rangkap kelima sungguh mengesankan, “suatu waktu bernama tua/adalah malam yang terpegun/merenung langit tidak berbintang/laut yang kematian ombak/dan sebuah pelabuhan yang menanti.” Silakanlah tuan-puan kalau mahu pula merenungi rangkap-rangkap yang mendahului.

ASKAT: Ketika takah usia terus mendakap rapat ke puncak, tersentakku oleh kesendirian, pada hakikat kehidupan yang digelumangi unsur-unsur penafian berterusan terhadap hak menghuni bumi. Terpampang, tanpa kewaswasan setitikpun. Berlaksaan bintang yang lenyap, lalu menggelitakan alam yang mengasasi kewujudan insan, sekali gus memaknakan kekerdilanku. Gelombang ombak tujuh lautan yang tidak berhenti-henti memukul pantai, semenjak tahun terjadi alam maya, boleh lumpuh berakhir maut, lagi menggandakan situasi kesementaraan nafas yang dihela. Benarlah kita semakin berlari menuju destinasi yang pasti.

Sunday, 1 December 2013

Sajak Rudi Mahmood, “Mentera Cik Siti”,

Pengetahuanku tentang Cik Siti [Wan Kembang] amat cetek. Dari segi asal mula baginda bertakhta sampai hilang dari ceritera, tetap jadi tanda tanya. Bacalah buku ‘sejarah’ manapun. Tidak nampak bukti-bukti boleh dipegang dan ditilik, maka apapun cerita tentang raja perempuan ini kekal sebagai suatu misteri, demi identiti atau jati diri. Tetapi teman fbkuRudi Mahmood, kukira tidak menjadikan hakikat itu menghalang penciptaan karya kreatif melalui puisi, “Mentera Cik Siti”, Dewan Sastera, Disember 1980, muka surat 15.

Yang kutimba, raja ini mengalami, “nestapa” "di atas peterana". Tetapi kita tahu, tiada riwayat cinta dialaminya. Baginda mahu bersendirian, menghindarinya, mendara sedang pula berkuasa. Pada suatu ketika, yakni kini, Rudi meletuskan tanya: “Sedang/apakah ‘kau cik siti, kembali bangun memuja taman/dan kijang tua.” Di tempat lain kujumpa dan menyukainya, “’Kau puteri setia. Di belakang taman tak siapa/terdengar tuk peraih bersedih keranamu.” Dan tentulah penting penutup sajak ini, “Agar di atas panggung/makyung nanti benarkan aku menjadi si pakyungnya/menceritakan tamanmu tanpa bunga.”

Itu sajalah yang kumampu menghubungkaitkan kalimat-kalimat yang tidak pun berturutan tetapi tetap menjurus ke satu pemerian. Lebih penting aku suka “mentera” dan ini mengingatkan pengalaman masa kecil, “Telah kurendam bertih tujuh biji. Telah kutabur di kandang kijangmu yang terluka. Telah kuletak air lapan kuala. Telah kuratakan pasir seribu genggam.”

ASKAT: Tiga puluh tiga tahun suatu tempoh yang boleh dikira lama tetapi kalau peristiwa, tertentu pula, tidak akan terlupakan sekiranya bermakna kepada kita empunya ciptaan. Bagiku pula, misteri yang seakan tercapai punca rahasianya, wajar dihargai, kerana lebih berbekas di hati dan teruji berkali-kali. Terserah kepada Rudi.

Nota: Hiasan mengiringi tak kuselitkan sekali, tetapi kalau ada yang berhajat menatap wajah Cik Siti, lawatilah laman maya kerajaan negeri berkenaan sewajarnya.

Friday, 29 November 2013

Sajak Ami Masra, “Ceretera Tun Teja”

Satu rakaman peristiwa yang telah diketahui ramai pencinta sastera dilakukan oleh teman fbku, Ami Masra melalui sajak “Ceretera Tun Teja”, Mastika, Februari 1986, muka surat 56. Teman-teman eloklah meraih inti seluruh puisi, semoga terhibur sekali. Saya pula hanya mencetus khusus rangkap yang ketiga, tentang “Megat Panji Alam luka hatinya”. Kisah Megat Terengganu ini selalu diabaikan, kerana orang lebih suka memperikan Hang Tuah, atau raja Melaka atau Tun Teja sahaja.

ASKAT: Aku mahu memantul lain daripada yang selalu. Dalam hikayat, Tun Teja Menggala bakal dijodohkan dengan anak raja Terengganu itu. Sudah padan benar begitu. Megat seorang putera raja dan layak memperisterikan Tun Teja, anak Bendahara Seri Buana Inderapura. Sampai masa lazimnya pertunangan menjadi perkahwinan dan jadilah mereka suami isteri. Tetapi, bagaimana, seorang panglima besar seternama Hang Tuah, tetapi terusir kerana dimurkai raja Melaka, menjadi rendah pekerti berbuat honar dan cemar di Inderapura demi merangkul kembali kedudukan tertinggi dalam negeri sendiri, tiada secara lain, kecuali berusaha memikat semula hati raja melalui persembahan berupa Tun Teja yang pernah dihajati raja sendiri. Dari segi khidmat bakti kepada raja di zaman silam, tidakkah wajar ada peraturan seharusnya mengekang tindak-tanduk yang melukakan hati orang itu? Bukankah salah berguru menuntut ilmu, lalu menggunakannya untuk menipu, memperdaya, menganiaya, berlaku curang, demi kepentingan pensendirian. Tiada pula alasan untuk membuktikan kepentingan negeri atau negara, kerana persoalan utama bukan mengenai ancaman terhadap keutuhannya. Setakat menyenangkan atau memenangi semula hati Sultan, perlakuan atau lebih tepat lagi, angkara penipuan tanpa arahan, seharusnya dicela, bukan dianugerahi kurniaan berlimpahan. Dalam episod ini, Megat Panji Alam seharusnya diberi lebih penghargaan, kerana ia rela mati mempertahankan hak dan maruah. Hidup tak bermakna bagi pemimpin yang terbukti dayus.

Nota: Kupamerkan juga beberapa ilustrasi, satu dipetik daripada majalah Dewan Pelajar, Mei 1990, muka surat 21 (Kubur Tun Teja) dan dua lagi dipetik daripada buku M. C. ff Sheppard, “The Adventures of Hang Tuah”, Donald Moore, Singapura.
 (4 photos)

Wednesday, 27 November 2013

Sajak Zaiton Ajamain, “Bahtera Kehidupan”

Aku lebih suka menyentuh karya yang lama tercipta. Bukan yang semasa. Tetapi, demi lebih mendekati, kupilih puisi teman fbku, [Hajah Hajah Zaiton Haji Ajamain] Zaiton Ajamain, “Bahtera Kehidupan”, Dewan Sastera, November 2013, muka surat 77. Tentulah yang ini terkini (sungguhpun bertarikh 6 Mac – 7 Julai 2011). Ada banyak binatang disebut-rangkum sekali, “singa”, “harimau”, “katak”, “ketam”, “sesumpah”, “kancil”. Ada pula tumbuh-tumbuhan, “dedalu (semalu?), diumpamakannya. Analisis watak manusia tidak salah lagi dilakukan terperinci, sebagai perbandingan amalan hidup manusia dalam melayari tantangan pergaulan, perhubugan sesama insan yang kuasanya tak sepadan, lebih-lebih lagi, yang melibatkan mereka yang berwewenang. Dengan watak-watak perbandingan sedemikian, fahamlah kita maksudnya mengertikan seakan atau serupa juga cerita-cerita zaman dahulukala, atau zaman kita kanak-kanak mulai belajar, ketika mana perangai atau watak binatang jadi cerminan sikap manusia, tamsil, teladan. Jadi dalam kehidupan itu, ada kebuasan terhadap mangsa, ada penindasan ke atas yang lemah kurang upaya, yang tiada tempat berpaut membanteras angkara. Tanpa terselindung lagi dipaparkan beliau, “…kuasa sudah buta tanpa deria”. Sungguhlah menepati huraian Zaiton, bahawa “kemanusiaan ditelan…/manusia kurang ingat mengingati/bagai orang-orang kian usang… …/orang lupa menjadi orang/yang ada segala deria rasa dan ihsan.” Agak malang demikian itu subur berterusan, lantas mencengkam sampai menggelorai perasaan di dalam dada manusia, seperti diperi nyata pada awal-awal puisi, “…kita diminta bersabar/menerima, dan sesekala berhemah mengalah”.

Penghidupan pun subur direncami kepura-puraan. Manusia bersikap tidak serupa dengan yang sebenarnya tertanam dalam sanubari demi mengaut faedah segera walaupun bukan bertatasusila, “…bak sesumpah/mengaburi pandangan,”. Yang menjadi persoalan temanku ialah reaksi individu-individu, dan “kita” juga. Untuk sedikit menjelaskan inti tumpuan karyawan, kuceduki ibarat tersembul dalam kalimat tersulam. Ya, bergantung kepada latar belakang pendidikan dan pengalaman seseorang, terpantullah cara melawan, memberontak atau tidak sehaluan, iaitu melalui sikap “…si kancil/bijaksana, budiman memanfaat minda”. Di saat yang lain, “adakalanya bagai menikus/takut bisa terkaman, takut bingit ngauman”.

ASKAT: Penghidupan, tanpa penafian lagi, suatu cabaran yang menggetirkan. Salah satu sebabnya ialah individu tidak mampu menghadapi tekanan, tidak berdaya menongkah arus deras melemahkan perjalanan seusia pernafasan. Tetapi ketenteraman hidup, alangkah muram, semakin suram jika kita sebagai individu, tidak dilengkapi “kuasa” memutuskan atau mempengaruhi keadaan. Bahkan, yang malangnya seseorang termasuk dalam bahagian majoriti, seerti golongan bawahan. Bukan semua orang boleh mengharungi kegulatan yang timbul daripada kezaliman atau salahguna kuasa, bahkan juga budibicara. Tentangan berupa cetusan paduan ikhtiar dari suatu kelompok atau kumpulan teraniaya tentunya tidak sama kerana seringnya lebih berkesan berbanding dengan yang dilakukan secara bersendirian. Tetapi aku suka kepada potensi masa hadapan; individu harus bertindak dengan kebijaksanaan yang menumpaskan kezaliman berleluasa. Biarlah penghidupan menyerlahkan harapan. Untuk semua orang.