Monday, 10 November 2014

Pantulan 72/14: Sajak Siti Zainon Ismaill, “Nafas”

Pantulan 72/14: Selagi nyawa…
Sajak tokoh malar bersinar, Siti Zainon Ismaill, “Nafas”, Mastika, Jun 1985, kulit belakang, muka surat dalam, teristimewa, kerana berwarni-warna. Tidak seperti yang lain-lain. Pun begitu, lewat nada sendu beliau menghembus desus kesalan lantaran keterbiaran, yang dialami walaupun sedang menuju kematian. Rupa-rupanya, demikian nasib atau tuah jasad insan biasa “yang tidak bernama” dalam buana yang serba serbi ada. Tentulah aneh gambaran keterabaian diperikan. Atau, inikah sebenarnya gerangan takdir atau kejahilan ilmu mengimarahkan anugerah Rabbul ‘alamin? Siapa ‘kan kita persalahkan? Pemerintahkah yang tidak prihatin, mengkesampingkan golongan marhaen yang tiada siapa lagi boleh dijadikan tempat bergantung harapan memakmurkan penghidupan? Atau, tidakkah kita boleh lebih berani mengakui kelemahan diri; dari menanti-nanti sampai terhenti “nafas” yang hakikatnya pasti terjadi? Ya, lambat laun harus dirasai sekali. Lalu, ayuhlah berikhtiar sendiri. Yakinilah, sebelum ajal berpantang mati!
ASKAT: Teringat aku ajaran guru, agar hidup sentiasa berjasa, bak kata perumpamaan, harimau hilang tersisa belang, insan maut nama terbilang. Dan ini kufahami, tidaklah menghalang sesiapa untuk menempa tempat di pentas kenamaan, mengikut bidang yang dipilih sendiri. Tetapi, kata cikgu, kejayaan tidak datang menggolek. Ada pengorbanan sepanjang perjalanan. Kalau seseorang itu tidak bersedia menghadapi badai tsunami yang membanjiri dan melemasi, menjejaki onak duri di belantara alami, mendaki gunung persaingan beraneka dimensi, meredah segara saujana bergelombang maka benamkan sahaja cita-cita biar menjadi angan-angan. Tak mengapalah begini kalau sudah rela di hati, tetapi, janganlah pula minta dilayan setara wira lagi berjuang demi pendirian yang sudah tiada apapun lagi boleh mengalihkan haluan kecuali , di setinggi-tinggi pencapaian.
— at Mastika, Jun 1985

Deklamasi Amanat

Cerita lama: Mendeklamasikan penutupan majlis
Hendak tayang pendeklamasian sajak “Amanat Seri Paduka” menggantikan ucapan penutupan majlis kursus. Sebahagian sajak asal, yang panjang, dipetik pendek seperti berikut:
“Kitalah pelukis corak perkhidmatan awam 
di tangan kita ada kunci pintu gerbang kerajaan
tepat pilihan ampuhlah angkatan
rakyat puas dapati faedah dari sumbangan
lolos penumpang semua hadapi angkara
dan kita paling wajar ditampar kutukan dan murka
sesalan susulan tidak sekali-kali menjadi penawar”

Pantulan 71/14: Sajak Zurinah Hassan, “Laut dan Belantara di Lewat Suatu Senja”

Pantulan 71/14: Pilih kalimat
Sajak Dato' Dr. Zurinah Hassan, “Laut dan Belantara di Lewat Suatu Senja”, Dewan Masyarakat, September 1973, muka surat 21, melambaiku, sedang kicau murai di julai seakan mengilai melihatku termangu. Kalau nakku pilih, “betapa ghairah suara selagi tidak terakam” adalah paling kuberahi. Seperti juga kita menghafali, “Sunyi itu duka/sunyi itu kudus/sunyi itu lupa/sunyi itu lampus” atau kemudian, “Dan aku akan lebih tidak peduli/aku mau hidup seribu tahun lagi” atau, “ada besok maka pasti ada suria”; atau, … masih ada lagi yang boleh dikenalpasti. Silakan mulai pilihan peribadi.
ASKAT: Jauh sebau mawar, aku sendiri pernah mewarwar, bukanlah sejajar , “Biar kita jadi pakar/…/…/…/…/Yang muktabar” (tahun 1991)
 — at Dewan Masyarakat, September 1973.

Pantulan 70/14: Sajak Salmiah Ismail, “Kematian”

Pantulan 70/14: Dua alam
Teman yang telah lama tak melintasiku dalam rupa pemuisi , Salmiah Ismail ,
ketika sangat remaja sudah menghayati perihalan “kematian” mengikut naluri mudinya. Terbukti sudah melalui sajak beliau, “Kematian” (Puisi Bulan Ini), Dewan Masyarakat, September 1973, muka surat 52. Getaran perasaan yang dilayannya kuringkaskan, dengan mengutip bahawa “kehidupan”; “…adalah/rumput-rampai di bumi”; “…bagai /ikan-ikan di air”; “…seperti/burung lelayang di awan”. Setiap suasana boleh menimbulkan masalah dan kemusnahanlah yang menamatkan hayat.
ASKAT: Ku sambung lagi! Kalau begitu, kentalkan tekad, wajakan semangat , limpahkan dada dengan ilmu yang dituntut agama supaya ancaman di “bumi”, “air” dan “awan” itu bertukar menjadi pendukung dan memperkasakan diri, mengelak daripada mengalah atau menyerah sudi sekali-kali.
Tetapi, kenapakah ? Mengapakah, sesudah menyedari sesuatu yang hidup pasti mati, diserukan juga supaya segera sampai ke pengakhiran itu. Barangkali, sebab satu-satunya, kerana diyakini, bahawa ada kehidupan kekal di akhirat. Orang mati dihidupkan semula. Kehidupan kedua ini tidak sama dengan kehidupan di dunia. Tiada kematian lagi selepas itu. Orang bertakwa akan menikmati kurnia Allah swt. Dalam keredhaannya. Pasti pula orang yang mengingkari perintah Ilahi, sangatlah rugi. Tiada penyelamatnya lagi.

Pantulan 69/14: Sajak Wan A. Rafar, “Sajak Seorang Suami Kepada Isterinya di Kampung”

Pantulan 69/14: Menjeruk sendu
Bila bersendirian, sahabatku (WanRafar Ishak) Wan A. Rafar mengukir pesan, lewat “Sajak Seorang Suami Kepada Isterinya di Kampung”, Dewan Masyarakat, Mac 1973, muka surat 48, lantas menjerut rasa dan melemaskan jiwa. Alangkah nyata penderitaan hidup. Betapa sukar melangkah onak “kemiskinan” yang memusing-musing lingkaran pedihnya apalagi bersendirian. Keparahan bertambah lantaran dikelilingi jiran senasib. Aku tidak sanggup berlama-lamaan menerap situasi. Hiba hati tak tertahankan pasti. Namun, teman-teman garapilah sendiri suatu calitan benar keluarga yang tetap setia menjalani kemelaratan tanpa terlupa berdampingan walau sepihak di kota dan sepihak lagi dinaungi “pohonan” di mata tak kelihatan. Ya! Bersedialah dengan sapu tangan mengesat genangan.
ASKAT: Aku kira pada abad ke-21 pun tidak salah untuk merindu. Apalagi kalau mereka yang dirindukan amat disayangi. Bagi suami, mereka itu tentulah isteri dan anak sendiri. Dalam merindu, tidak pun dihindar kita mengakui suasana yang mencengkam di perantauan. Demikian, menjelaskan kepada orang-orang tercinta kita bukan melupakan, bukan sengaja tidak mahu mengirim nafkah zahir. Itu difahami kerana ia yang menjadi sebab asalnya kita berpisahan dan berjauhan kembara mencari rezeki. Kehibaan bukan syarat mesti dijelmakan hasil mengirim perutusan sayang. Asal ada niat murni mengekalkan perhubungan dengan isteri dan anak yang tiada tempat lain untuk bergantung, penghantaran warkah bermadah , sudah memadai. Tetapi, sering kali, kesannya mengharu sanubari. Tetapi sampai bila? Sampai mati?
— at Dewan Masharakat, Mac 1973.

Penghargaan

Alhamdulillah,
Tetiba tiba “Seriosa Sukma” (DBP, 2014, cetakan pertama)
gumpalan rasa ditempa minda
prihatin meneroka kerencaman
penghidupan berlendir
keringat perjuangan
menongkah arus usia
kedewasaan.
Kurakam kesyukuran
atas ehsan
temanku
pemuisi ( Azmi Yusoff)
kesekian kali.

Pantulan 68/14: Sajak Sutung Umar RS, “Semalam-malamam Dalam Warna”

Pantulan 68/14: Karam berenang
Sajak karyawan gigih, Sutung Umar RS, “Semalam-malamam Dalam
Warna”, Dewan Masyarakat, Jun 1972, muka surat 54, seperti selalu, mencekik kalbu, menyindir tentu, dan menjadi aku terpaku serta tak ragu mengakui sebuah karya bermutu. Tiada perlu diselak erti lagi, kerana kata-kata seperti “malam”, “perempuan”, “basah dan berdosa”; “tak bangunbangun” melimpah-ruah dengan kisah-kisah rendah maruah. Aku suka sekali dengan perkataan “pribadi”. Tetapi tak aku mahu mendalami. Nah, usaplah sendiri. Sedetik pun tiada merugi.
ASKAT: Aku kira latar karya ini benar-benar menyerlahkan. Benar-benar setara tahun-tahun 1960-an menjangkau 1970-an. Belum ada usaha-usaha menanamkan nilai-nilai murni ketika itu. Siapa pun boleh memilih untuk hidup di kotaraya, dengan bergaya dan hanyut tanpa perhentian. Siang berpeluh bertungkus-lumus malam mendengus-dengus. Bagi yang bertuah mencapai menara pengajian, apabila berjawatan, “semalam-malaman” tunggang-langgang melayan kejantanan. Zaman jahiliah itu bukan tamat bila Islam diisytihar 14 abad silam. Kemungkaran itu tetap berakar dan menjalar, sampai berabad-abad kemudian, di bandar-bandar ataupun di luar-luar bandar. Ya sehingga sekarang. Penjajahankah yang menyuburkan atau kemerdekaankah yang menyesatkan? Barangkali orang dulu-dulu tidak boleh mengaku lebih berkebudayaan misali berbanding generasi kini. Hanya orang tua-tua telah sempat merasa seperti yang diceritakan . Semuanya. Tetapi, dari dekad ke dekad, datang sekarang, pada hakikatnya masih pincang, menuntut penambahbaikan berterusan. Dalam amalan beragama kita belum lagi sempurna.
— at Dewan Masharakat, Jun 1972.