Saturday, 4 June 2016

(Fragmen Memoir – Tak jadi (1) )

(Fragmen Memoir – Tak jadi (1) )
Maka, apabila aku dicamkan sebagai bakal Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan banyaklah persediaan kulakukan. Sebagai tambahan bahan-bahan bacaan yang sedia ada, aku membaca dengan mendalam dan meluas aspek-aspek pengurusan dan pentadbiran pendidikan yang boleh dicapai melalui Internet. Kulayari maklumat berkaitan dari serata dunia lalu kucetak dan kuminta dijilidkan secara sistematik. Kumpulan maklumat itu muncul kemas. Berjilid-jilid, tebal-tebal semuanya. Tidak ketinggalan juga keratan akhbar-akhbar. Berfolder-folder.
Haruslah kunyatakan bahawa maklumat-maklumat itu masih tetap relevan dengan jawatanku di Cawangan Skim Perkhidmatan, BPO. Ia tidak merugikan langsung bahkan menjadikanku lebih mantap pengetahuannya, sekiranya aku tidak beralih tempat berkhidmat. Maknanya usaha itu tidak sia-sia malah boleh menjadi bahan rujukan segera menjalankan tugasan seharian. Aku akan menjadi penjawat yang lebih bermaklumat. Sudah tentu juga, lebih berwibawa.

“Perskiman Perkhidmatan Kesultanan Melayu Zaman Tradisi”

“Perskiman Perkhidmatan Kesultanan Melayu Zaman Tradisi”
Jabatan Perpustakaan Negara Malaysia ada mengaturkan “Bacaan Kegemaran Saya Sektor Awam” pada tahun 2007. Program ini bertujuan membudayakan minat membaca di kalangan pegawai-pegawai kerajaan. Tan Sri Ismail Adam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bersedia untuk memulakan program dengan membuat ulasan 15-20 minit tentang sebuah buku yang dibacanya. Sesi pembicaraan buku tersebut telah dirakam pada 5 April 2007 oleh Jabatan Perpustakaan Negara. Rakaman itu kemudian ditayangkan dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan di Auditorium JPA pada 24 April 2007.
Jabatan Perpustakaan Negara juga memohon supaya dicari seorang lagi pegawai untuk mengambil bahagian pada sesi seterusnya. Saya telah bersetuju. Tetapi berlainan sedikit dengan pendekatan sesi pertama, program yang saya sertai melibatkan saya diwawancara oleh Ketua Pengarah JPN di atas pentas Auditorium secara langsung. Semua pegawai JPA akan hadir kerana majlis itu adalah sempena Perhimpunan Bulanan pada 8 Ogos 2007. Di samping itu, saya tidak membicarakan sebuah buku tetapi ‘banyak’ buku yang menyentuh “Perskiman Perkhidmatan Kesultanan Melayu Zaman Tradisi”. Saya ingat membawa bersama-sama ke majlis itu sejumlah buku yang berkaitan dengan tajuk yang dipilih seperti “Sulalat-Us-Salatin” suntingan A. Samad Ahmad, “Sejarah Melayu”, “Taj Us- Salatin”, “Bustan al-Salatin” dan beberapa buah buku lagi yang lain. Sesi itu telah dirakamkan dalam bentuk DVD. Sampai kini ia tersimpan rapi dalam koleksi peribadi.

Memoir 1/3 (23 Mei 2016)

Memoir 1/3 (23 Mei 2016)
Pada usia 65 tahun sekarang (2016), sebenarnya aku mempunyai masa terluang yang mewah. Hampir tidak ada langsung gangguan pihak-pihak lain. Masa itu benar-benar dalam kawalan sendiri. Boleh diubahsuai mengikut keperluan peribadi. Aku boleh memilih untuk tidak berbuat apa-apa. Aku boleh juga membuat rutin baru.
Aku perhatikan, jiranku, J, begitu ketat mengikuti jadualnya. Dia sebayaku. Bersara pada umur 56 tahun (2007). Ku perhatikan rutin J hampir sedekad. Ketika azan Subuh berkemundang kedengaran dia membuka pintu pagar. Enjin kereta dihidupkan dan ke masjid berhampiran dia beribadat. Selepas solat, dia duduk di majlis ilmu. Setiap habis solat Subuh, ceramah agama sejak sekian lama memang diaturkan pihak masjid. Dia hampir setiap kesempatan tidak menguzurkan diri. Dia akan memilih tempat yang selesa, bersandar di dinding masjid tidak jauh dari salah satu ‘speaker’ yang dipasangkan. Dengan begitu penyampaian ustaz terang menyelinap masuk ke hati. Apabila hari telah cerah, dia kembali ke rumah dengan bungkusan sarapan. Tentulah bungkusan itu mengandungi makanan kegemaran – nasi lemak, roti canai, nasi kerabu, dan lain-lain. Bungkusan itu nampaknya termasuk untuk isterinya.
Apabila azan Zuhur berkumandang, beliau hampir tidak ketinggalan berjemaah di masjid. Walaupun sebaris dua sahaja para jemaah, dia tidak pernah gagal mendukungnya. Menjadi makmum yang setia. Aku sering melihat dia balik ke rumah membimbit bungkusan makanan tengah hari setiap kali selesai waktu solat Zuhur. Pernah aku ternampak dia membeli nasi kandar bungkus dari gerai yang tidak jauh dari tempat kediaman. Makanan itu pun untuk dua orang. Sudah pasti untuk dinikmati bersama-sama isteri. Waktu Asar menjelang mengikut ketentuannya. Jiranku tidak pun jemu ke masjid lagi. Kereta Matrix berwarna biru yang agak lama itu dipandu cermat ke destinasi. Dan beliau tidak pula berlama-lamaan di sana. Sebaik selesai solat dia kembali.
J biasanya bersolat Maghrib di rumah. Jarang sekali beliau ada di barisan makmum di masjid. Aku tahu benar sebab waktu itu aku salah seorang ahli jemaah yang tegar di belakang Imam. Ketika waktu solat Isyak masuk J hampir tidak ketinggalan memakmurkan bersama-sama sebaris jemaaah tegar yang lain. Demikianlah jiranku yang juga kawanku mencorakkan waktu seharian. Amalan itu sudah sebati dengannya. Berterusan. sampai kini. Kawanku J telah menjadi rakan masjid yang akrab.

Memoir 1/2 (21 Mei 2016)

Memoir 1/2 (21 Mei 2016)
Sudah lebih dari wajar aku mulai menulis. Aku sebenarnya tidak kekurangan bahan untuk melakukannya. Paling kurang aku boleh menulis tentang diri sendiri. Seperti orang lain yang menjalani kehidupan pada zaman kanak-kanak, zaman remaja, zaman dewasa, dan zaman persaraan, aku pun mengalaminya juga. Tiada terkecuali serbaneka. Kehidupan di kampung ada kisah-kisahnya yang menarik. Zaman persekolahan tidak pula kurang peristiwanya. Mengharungi keremajaan di ibu kota, lagilah berpancaroba. Tambahan pula menuntut ilmu di universiti, bukan semua remaja bertuah mengalami. Berpuluh tahun berlalu tetap bererti. Tentu ada seorang dua sahabat handai sedia mendengar cerita. Aku percaya orang lain juga sudi mengetahui. Sementelahan lagi, waktu berkhidmat dengan kerajaan lebih daripada empat dekad seharusnya tidak wajar kendur berkubur bersama umur. Malanglah terbiar hilang bersama kematian. Jadi tidak sesia sedikit pun jika kurakamkan.
Pendeknya, aku mempunyai bahan untuk mengarang. Ia lebih daripada memadai. Hanya aku harus bersabar. Tidak mungkin dengan sekali duduk karya boleh tiba-tiba menjelma. Menulis secara spontan bukan boleh menghasilkan sebuah buku serta-merta. Biarlah kalau selembar sekali duduk pun. Demikian tidak mengapa. Lama-kelamaan menebal juga halaman terkumpul. Dengan syarat tidak terhenti sekerat jalan. Tahan bertahan. Ada orang mengambil masa bertahun-tahun baru menjadi. Ada yang mengunci diri untuk melakukan. Ada pula, bersunyi-sunyi untuk memberi tumpuan. Masing-masing ada cara tersendiri. Tetapi yang penting akhirnya penulisan itu mesti selesai. Teringat aku, seorang teman lama yang sudah diiktiraf karyawan ternama menyatakan, “Kalau menulis pastikan habis.”

Memoir 1 (20 Mei 2016)

Memoir 1 (20 Mei 2016)
Selama mana harus aku terus membaca tulisan orang lain? Sebaik habis sebuah buku, rencana, sajak, novel, cerpen, … masih banyak lagi bahan-bahan yang belum dibaca. Sambil itu setiap kali ada pesta buku, setiap kali pula aku mengunjunginya. Masalahnya, tidak pernah aku gagal membeli buku-buku baru- beraneka tema, dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Tentulah dengan keadaan demikian, dalam lambakan buku milik sendiri, bacaanku perlu berterusan. Jumlah buku yang dibeli lebih banyak daripada kemampuan menghabisi pembacaannya. Semenjak dahulu sampai sekarang tidak berubah. Tidak pernah kelajuan membaca semua buku dalam koleksi mengungguli pertambahan naskhah-naskhah yang subur terkumpul . Sementara itu, saban bulan majalah-majalah yang kulanggani sentiasa tiba. Ia tetap juga perlu dibaca supaya aku tidak tersisih daripada perkembangan bidang-bidang yang menjadi minat peribadi semenjak sekian lama. Tidak pula dinafikan kepuasan mercup datang bersama aktiviti mengasyikkan ini.

Saturday, 21 May 2016

Pantulan D/03/26/2016: Sajak Solihin Osman, “Apa Khabar Bumiku”

Pantulan D/03/26/2016: Perimbangan
Aku pilih satu kalimat, “Bumi semakin sakit” olahan Solihin Osman, melalui sajak beliau, “Apa Khabar Bumiku”, (Sejambak Puisi), Seni dan Budaya, Utusan Melayu Mingguan, 17-23 April 2005, muka 30 untuk merembaskan isu yang dicerakinkan penyair lantaran melihat “kerakusan budi/dan kejelekan budaya” sehingga manusia bertindak honar sampai berderu-derulah bala bencana menimpa alam tempat bersuaka. Secara khusus aku yakin, karya ini terhasil ekoran tuangan minda beliau mencernakan kesan tragedi tsunami yang amat dahsyat itu, yang berlaku sekitar tarikh pengkaryaan. Kata Solihin, “Ia datang lagi/kekuatan dari bawah kaki/lalu mengajak angin dan air/membasuh luka hidup/…”
Solihin mengakui sesuatu kejadian yang berlaku ada maknanya. Hanya tiada seorang pun mengetahui erti yang sebenar-benarnya di sebalik setiap kejadian. “Ia membawa berjuta persoalan untuk ditafsirkan.” Dengan ilmu dan ketajaman jentera fikir masing-masinglah baru iktibar atau teladan menyerlahkan faedah-faedah sebenar.
Tetapi di kalangan penganut teguh, takdir adalah dalam kewibawaan Tuhan. Pun, manusia tidak boleh sewenang-wenang bertindak jahil, mengetepikan sebab-akibat terjadi peristiwa. Akal yang dimiliki seharusnya memandu mereka agar tidak berleluasa memenuhi selera yang tidak lain akan berakhir dengan kecelakaan, jauh dari memakmurkan. Ada mesej oleh karyawan, bahawa bumi ini boleh menjadi tempat yang membuka peluang dan kesempatan untuk manusia sentiasa membangunkan ketamadunan, yang menafikan sebarang unsur kehaiwanan. “Jiwa yang tenat dengan duniawi” ternyata tertutup perasaannya terhadap ukhrawi. Maka, mustahillah akan terbit satu pendekatan yang seimbang dalam menangani persoalan yang muncul sepanjang kembara berona sementara.

Pantulan F/3/25/2016: Sajak Sahrunizam Abdul Talib, “Detik Yang Tak Tertangguhkan".

Pantulan F/3/25/2016: Pasti
Sahrunizam Abdul Talib, melalui “Detik Yang Tak Tertangguhkan”, Dewan Agama dan Falsafah, Jilid 1, Bil. 3, Ogos 2001, muka surat 60, memadahkan tentang kepastian hidup insan di bumi. Semua yang bernyawa tetap menemui pengakhirannya yang disebut kematian. Hanya yang berbeza tempoh melalui alam kehidupan dunia. Seperatusan yang kecil pergi sebaik sahaja dilahirkan, ramai juga yang mati muda, dan terbesar peratusannya meninggal dunia ketika umur dewasa. Ada beberapa tanda mengenal kategori usia kematian di kalangan orang-orang dewasa. Barangkali bagi orang yang berkerjaya, umur persaraan adalah yang paling ketara menjadi kriteria utama. Ketika itu sebahagian masih segar, ceria dan selesa dan terus melangkah mara mendukung hasrat agar sepanjang masa dilimpahi berkat. Tetapi ada juga yang tidak sempat bertahan lama, dilawati karenah dan dibebani penderitaan yang memendekkan kenikmatan, menggendalakan pencapaian kebahagiaan sekeluarga dan sesama manusia.
Hakikat kematian banyak maknanya; nyata dan tersembunyi. Kita yang berakal boleh berfikir bahawa kelangsungan hidup terhenti oleh sebab kehidupan kekal sebenarnya bukan di sini. Ada tempat lain yang harus kita pergi, untuk mengenali kehidupan abadi. Tetapi kehidupan abadi berwajah dua, sama ada jernih berseri atau gelap mengeri. Semua kita telah diberitahu semenjak azali, bahawa orang yang taat mengikut Kitab Suci akan terbela dan sebaliknya yang durhaka, menafi janji Ilahi akan terdera melampaui imaginasi. Semuanya terjadi selepas diadili dengan selengkap-lengkap bukti. Tetapi, sedang kita masih di sini, pilihan tetap terbuka, yang seyogianya mudah dilakukan, iaitu menjadi penganut yang tidak berbelah bahagi mentaati seruan Tuhan Sarwa Alam.
Kematian apabila mendatangi tidak lagi memberi ruang membuat pilihan. Semua amal kebajikan berciri ketakwaan menjadi sakti sedangkan yang sebaliknya sama sekali tidak bererti, tidak boleh mengabui perbicaraan pada Hari Pembalasan.
(Catatan: Kebetulan, ruangan “Bahasa Arab”, pada muka surat 61, sumber yang sama, mengutip Hadis riwayat al-Tarmizi, “Diriwayatkan daripada Abi Barzah al-Aslamiy katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak akan berganjak kedua belah kaki seseorang itu di hari kiamat kelak, sehinggalah dia ditanya tentang umurnya, ke manakah ia dihabiskan. Tentang ilmunya, bagaimanakah dia menggunakannya? Tentang hartanya, dari manakah ia diperolehi dan untuk apakah ia dibelanjakan? Dan tentang tubuhnya untuk apakah ia digunakan?”)