Monday, 10 November 2014

Pantulan 66/14: Sajak Azmi Yusoff, “Potret Rumah Rakit”

Pantulan 66/14: Terpinggir di tubir
Muncul lagi! Sajak temanku Azmi Yusoff, “Potret Rumah Rakit”, Dewan Sastera, Oktober 1992, muka surat 19, jauh dari sembarangan. Ada sakti direnjis puisi ini, sampai tak mampu ku’renti memantuli. Ya, dari cecelah kekata, ternyata menjongol-jongol pukauan menghantui “gelita malam” sedang aku berkerusi meneliti dan melayan keasyikan sendiri, tanpa boleh menahan menghargai ke lain hari.
Kalau diperhatikan, sajak ini tercipta pada 1984 ketika Azmi berusia 30 tahun, dan tersiar 8 tahun kemudian. Mungkin ada cerita di sebaliknya. Kita boleh jumpa juga sajak ini termuat dalam “Mengemam Jadam”, muka surat 47. Tak anehkah, aku pula mengelus-ngelus sepi menggali rintihan manusiawi 30 tahun, menyusuli?
Kalau melalui jambatan tertentu kita boleh melihat rumah rakit berlabuh di tebing sungai berhimpit-himpit. Tentulah kalau sanggup berfikir, timbul pertanyaan kenapa lebih ramai orang tinggal di darat bukan di air? Tetapi membaca sajak ini jawapannya datang sendiri; ketiadaan tanah puncanya, walaupun tidak disebutkan penciptanya. Mereka tidak memiliki wang lalu “merembaskan walang” di air yang mengalir ke hilir. Dimana-mana penghuni-penghuninya, “menyelami segara malang”. Aku percaya mereka tidak rela menerimanya kerana terpampang di mataku mereka gigih berusaha; “di muara”, “mencari mutiara…”. Tragisnya, “kelibat insan” ini tidak beroleh “mujur”, “untung” dimana-mana jua, di “… hujung tanjung”, di “ceruk teluk”.
Ini hanyalah sekelumit derita manusia dalam sekitaran yang nampak di depan muka, dan lama. Banyak lagi, ceritera serupa atau lebih mendera, terselindung ditanggung sendiri jauh dari simpati. Tetapi adakah penonjolan berseni sesekali boleh menimbulkan kesan atau merobah keadaan? Yang ghalibnya, ia akan berterusan jadi senandungan seniman. Kemudian, cerita tidak lagi disebut, lenyap di khutub khanah.
Sungguh lara hati mengenang , sehalus gubahan, tidak diteliti, dihayati, lalu bergenang di daun keladi.
— at Dewan Sastera, Oktober 1992.

Pantulan 65/14: Sajak Rudi Mahmood, “Memandang Gambar Dunia”

Pantulan 65/14: Mengusap amarah
Sajak temanku Rudi Mahmood, “Memandang Gambar Dunia”, Dewan Sastera, Julai 1992, muka surat 29 memerikan kemungkinan berakhir dengan kengerian, tanpa kekesalan.
Dan ketepikan dahulu perutusannya kerana mahu kuujarkan bahawa sajak, walaupun mengandungi rahsia tetap sajak kerana ia menggayakan pemugauan masalah dari lenggukan kalimat yang digubah. Masing-masing boleh menyelaknya selapis-selapis.
Ini sejenis ‘sajak’ yang saya senangi. Apalagi kalau bahan yang digaulkan Rudi itu berupa “darah kerumitan mengingatkan kita maksud/kesenangan/yang terpilih untuk hidup”. Dan satu lagi, “… keberanian wira/yang bijak membunuh bagi memaknakan/keperwiraannya.” Sejengkal huraian pasti tidak upaya menjelaskan. Dan ini satu ciri ‘sajak’ yang kucari-cari. Bermisteri, dan berhasta-hasta ertiannya.
Keporakperandaanlah yang tampak di “gambar dunia” oleh pengkhianatan, penindasan, kezaliman berleluasa demi bertakhta di tampuk kuasa dan merajalela kelak menjadi kaedah bertahan sepanjang usia. Ini adalah satu fenomena, “… di mana saja. Di mana/saja”. Tetapi tentulah keadilan bakal muncul unggul melalui penyanjungan “kebenaran” . Sebab sudah menjadi hakikat bahawa golongan bawahan yang terpinggir, merempat, tidak terbela akan beroleh ganjaran akhirnya – secara berkumpulan atau individuan. Bagaimana? Mereka akan melakukan pengorbanan melalui perjuangan bermati-matian serela-relanya. Sebab cara inilah satu-satunya yang dipaksakan. Tiada duanya. Mereka pun ada maruah setara; bukan boleh diperlekeh sesuka-sukanya.
— at Dewan Sastera, Julai 1992.

Pantulan 64/14: Sajak Zurinah Hassan, “Bunga Manggar”

Pantulan 64/14: Kemeriahan
Sajak Dato' Dr. Zurinah Hassan, “Bunga Manggar”, Dewan Sastera, Disember 1993, muka surat 32 mengingatkanku pesanan pemimpin utama agar tidak disambut besar-besaran bila datang berkunjung mengendalikan tanggungjawab atau kewajipan. Tetapi, pada masa-masa yang berlalu, pesanan begitu terbukti tidak berkesan. Ia hanya jadi suatu syor kebiasaan bagi seseorang pemimpin utama pada masa permulaan di tampuk kuasa. Lama kelamaan pesanan itu tidak lagi berulang dan pemimpin itu berterusan diundang atau disambut meriah riuh seluruh daerah. Bukan tidak ada pesalahnya membiarkan fenomena itu berlanjutan. Kita tahu, para petugas bertungkus lumus berbulan-bulan membuat persiapan kerana ketua yang atasan tidak menganggap seruan demikian sebagai arahan yang wajib dipatuhi. Maka berterusanlah amalan membazirkan sumber yang sewajarnya boleh dijimatkan untuk perkara-perkara lain yang lebih perlu diberi keutamaan.
Bukankah malang, “kampung” dan rakyat yang daif itu harus “…kembali kepada kegelapan”? Sedangkan pemimpin bertanggungjawab membawa pembangunan dan kemakmuran selama mandatnya belum hilang. Melihat ada tempat lain berubah amalan, membateras sebarang keterlaluan, siapakah boleh mempastikan “bunga manggar” itu tidak lagi diarak dan tercacak sebagai perhiasan? Tanpa pencak silat, pulut kuning, perbarisan mengerlip-mengerlap, berkurangkah makna acara? Hambarkah majlis jika yang dilebihkan ialah curahan rahmat setara kepentingan rakyat. Pembaziran berbanding pemanfaatan sentiasa melorongkan pendekatan pilihan terbaik lagi berkekalan. Mereka yang tergolong dalam kategori atasan harus mengutamakan perealitian wawasan dan bukan sekadar warwaran mengabui tujuan. Bukankah itu yang lebih diperlui orang awam sebagai balasan setimpal menjadi alat pihak tertentu mendaki tinggi ke awan?
(ASKAT: Mengenang pengalaman , aku suka kalau arahan yang jelas baik diikuti dan dizahirkan tanpa bertangguh-tangguh lagi). Tinggalkanlah amalan yang membazir).
— at Dewan Sastera, Disember 1993.

Pantulan 63/14:Sajak Wan Mohd Nor W.D., “Agama dan Evolusi”,

Pantulan 63/14: “…menyuluh kembara…”
Bagi kita yang membaca polemik sastera Islam, tahulah bahawa lebih ramai sependapat dengan pandangan bahawa karya-karya itu wajar mendukung kebenaran dan mengagungkan Yang Maha Berkuasa melalui amalan yang dituntut oleh agama suci yang diwahyukan melalui Nabi Muhammad S.A.W. Oleh yang demikian, amalan atau tanggapan syirik dan pembesaran pemikiran sesat tentulah tiada tempat dalam kreativiti para sasterawan yang tergolong dalam kategori tersebut. Percubaan untuk menjelmakan sastera Islam dalam kesusasteraan Melayu telah lama bermula tetapi, kecuali satu dua karya yang terkenal (seperti pernah dibicarakan oleh Syed Muhammad Naquib al-Atas) tiadalah kita dilimpahi karya-karya era mutakhir dari kalangan sasterawan yang diakui sebagai mempunyai ilmu pengetahuan mendalam tentang ajaran Islam itu.
Dalam majalah-majalah berunsur keagamaan kita biasa juga menemui dan membaca puisi-puisi keagamaan (keislaman?) dan sekali sekala dapatlah kita menikmati keindahan ciptaan-ciptaan itu, mengikut tahaf penguasaan atau keilmuan kita sendiri. Namun, pada hakikatnya, sukar sekali menemui seseorang yang berilmu mendalam serta diakui pakar dalam ilmu-ilmu Islam berpuisi mengketengahkan pemikiran beliau tentang sesuatu aspek seindah mungkin. Mujurlah hari ini aku melintasi puisi karya ilmuan tersohor (Mohd Nor Abu Ilham) Wan Mohd Nor W.D., “Agama dan Evolusi”, Dewan Sastera, Jun 1991, muka surat 29. Karya ini tidak wajar terselit lagi. Tanpa ragu-ragu, membacanya pasti memperkayakan perasaan beragama. Aku yakin, kian tinggi didikan keagamaan pembacanya kian tinggi pula penghayatan dan kesannya daripada sajak ini.
Mengakui apresiasiku, secara rambang kupilih: “kejahilan gelap dianggap cahaya”; “khazanah baginda perlu digali/…/…/tinggal kita mengambil erti”. Terhadap kalimat-kalimat yang lain kita dapat mengerti selapis walaupun pengarang sendiri lebih mengetahui berlapis-lapis yang lain dan akan bersyukur kita kalau beliau berperi tentang , “erti agama pegangan akal/jiwa dibangun berisi amal/pantang diisi ikhlas si juhhal/bukan ciptaan khayalan dangkal/…”
Betapa panjang boleh dihuraikan sajak ini ( oleh para ilmuan). Tetapi, dengan pendeknya keseluruhan sajak ini pun, ia tetap menyemarakkan kita kembali menghayati anutan yang mungkin diamalkan secara yang belum mencapai pengertian atau anjuran yang sebenar-benarnya.
— at Dewan Sastera, Jun 1991.

Berangkatlah

Berangkatlah
(mengenang Allahyarham Suhaimi Kamaruddin)

Bening Subuh
luruh lumpuh
direntap gema perisytiharan
dari menara rumah-Nya
tentang kepulanganmu
setelah kuziarahi
baharu beberapa hari
sedang tak kujangka
itulah terakhir pertemuan
kerana saat pamitan
kusemai harapan
sembuh nanti
ayuh teruskan
bersama-sama
kita akan terus
mentadabburi kitab suci
seminggu satu malam
menekuni Al-Lughatul Al-Arabiah
seminggu setiap Sabtu
sampai selesai
Sungguh
kematian adalah benar
insan hanyalah berikhtiar
berdoa dan bertawakkal
semoga dilimpahi
kurniaan abadi
setimpal iman sendiri
Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un.

ASKAT
Kampung Tunku
Petaling Jaya
1 November 2014

Bakti Sebati

Bakti Sebati
(mengenang Allahyarham TS Prof. Dr. Ismail Hussein)

Biarkan dia pergi
selazim insan
namun seorang pendita
tidak mati
tiada kubur
hadir selamanya
wawasan tersohor
bertabur subur
menganjur
dalam sanubari berlipat
menjadi obor
berlalu zaman
teringat
mencetus semangat
sampai kiamat.

ASKAT
Kampung Tunku
22 Oktober 2014

Saturday, 18 October 2014

Pantulan 62/14: Sajak Wan A. Rafar, “Cabaran”,

Pantulan 62/14: Serupa dulu?
Sajak (WanRafar Ishak) Wan A. Rafar, “Cabaran”, Dewan Masyarakat, Julai 1967, muka surat 50 tetap kekal dengan mesejnya, iaitu ‘mencabar’ walaupun telah tercipta 48 tahun lalu. Salahkah tanggapan ini? Yang kita tahu, kita masih dalam keadaan yang tidak jauh berbeza berbanding suatu ketika dahulu. Dalam kemelaratan; ketika bersekolah berjalan kaki, bermandi-manda di sungai dan berlarian di pantai, memikul kayu api di hutan untuk mengasapkan dapur, berpelita minyak tanah mentelaah pelajaran, menenggala sawah, berpukat tangkul, beratap tiris membasahi lantai musim banjir, berkurung di musim tengkujuh berlauk ikan budu, … ketika menghadapi pelbagai kekurangan kerana belum menguasai keperluan hidup dan lemah bersaingan di zaman moden. Semua itu, “gambar-gambar tidak lagi menarik”. Tetapi Wan tidak berputus harap. Dan ini tidak pelik kerana seruan setaranya masih diraungkan. Dan Wan semenjak dahulu menggesa kita, “Angkatkan/kepala berangmu” dan berusahalah mencapai cita-cita luhur yang tentunya akan membahagiakan, jika berjaya mengatasi rintangan yang nyata dan terselindung.
ASKAT: Hidup ini bukanlah suatu kenyataan tanpa dugaan. Terbukti semenjak azali, langkahan manusia tidak sepenuhnya lancar kerana di jalanan ada lopak-lopak memperlahankan pergerakan, ada gaung sukar dilintasi, ada tasik terlalu luas untuk direnangi, ada hutan tersangat tebal untuk diredahi. Tetapi kalau gunung tidak didaki, sang pertapa tak boleh kita gurui. Tanpa mengalami semuanya, peribadi tidak cukup perkasa, semangat tidak ‘kan waja, minda tidak akan bijaksana, dan “Hari depan nan agung” pastilah hanya mimpi. Maka sudah tetap benarlah bahawa cabaran dahulu dan kini serta yang mendatangi tetap berbentuk “cabaran”. Cumanya, sekitaran yang berubah melingkari pelaku-pelaku semasa, menuntut penyesuaian selayaknya. Kita tidak boleh berlepas tangan, hanya berharap yang dihajati melayang singgah di riba. Bulan tak pernah jatuh demikian. Pendaratan di mukanya adalah hasil usaha berterusan di samping keupayaan membiayainya.