Thursday, 30 June 2016

Fragmen Memoir – Balik kampung (9)

Fragmen Memoir – Balik kampung (9)
Dalam majlis itu, aku merakam penghargaan yang tinggi lagi tulus terhadap pendekatan yang diperkenalkan oleh Azizan. Aku menjadi sebak, teresak-esak, sehingga menggigil-gigil tidak dapat mengawal emosi. Ucapan terhenti pada ketika-ketikanya. Sungguh di luar jangkaan. Penghargaan terima kasih terutama kepada beliau sekali gus sebenarnya suatu peluahan tidak langsung kekesalanku yang spontan mercup tanpa terbendung lagi. Betapa dalam sebahagian masa berkhidmat di situ tertekan oleh keprihatinan membereskan satu tanggungjawab yang beratnya hampir-hampir tidak pula diketahui oleh ramai yang lain. Mereka tidak mengetahui penangan tugas-tugas itu kerana mereka tidak berpengalaman melaksanakannya sendiri. Pengalamanku itu dirumuskan, walaupun tidak tepat, seakan maksudnya “orang yang makan cabai sahajalah menderita kepedasan”. Memang pengalaman di sini teramat ‘pedas’. Orang lain menjangkakan urusan berterusan terkendali selesa. Sewajarnya sentiasa lancar dan terkawal.

Fragmen Memoir – Balik kampung (8)

Fragmen Memoir – Balik kampung (8)
Perubahan drastik berlaku apabila Timbalan Pengarah bertukar. Sebahagian tugas-tugas yang selama ini di bawah MZbM terpindah ke bawah bidang tugas seorang Timbalan Pengarah yang lain, Azizan bin Ayob. Di bawah Azizan, sekelompok fail dipertimbangkan serentak. Secara bersidang. Penolong Pengarah membentang, aku, sebagai ketua cawangan, mengulas berdasarkan pengalaman, kajian sendiri dan perbandingan bersesuaian. Timbalan Pengarah memutuskan berdasarkan merit setiap argumen, bukti-bukti yang diberikan ditambah pula budibicaranya. Pendekatan ini lebih cekap lagi meringankan. Masa sangat banyak terjimat dan keputusan lebih sepakat kerana berdasarkan perbincangan langsung atau bersemuka. Tidak secara masing-masing menganalisis fail secara yang berasingan atau bersendirian. Pasukanku merasai kelegaan terlepas dari jerat yang tak kentara tapi membelenggu minda. .

Tuesday, 28 June 2016

Fragmen Memoir – Balik kampung (7)

Fragmen Memoir – Balik kampung (7)
Kerja-kerja yang ‘membebankan’ itu seolah-olahnya tidak bermusim. Ia hampir sepanjang tahun. Dari setahun ke setahun. Pada tiga tahun pertama pengendaliannya berbeza berbanding selepasnya. Isu pelanjutan cuti belajar bergaji penuh dengan biasiswa di kalangan pegawai yang mengikuti pengajian di Amerika Syarikat adalah kerap lagi memenatkan. Untuk memperakukan sama ada permohonan lanjutan kemudahan itu diluluskan atau sebaliknya mengambil masa yang tidak sedikit. Aku perlu meneliti kajian dan perakuan penolongku. Hampir setiap fail yang sampai di meja perlu kajian yang berlainan. Masing-masing dengan pekuliaritinya. Proses ini disusuli dengan penulisan minit bebas atau analisis diangkat untuk pertimbangan Timbalan Pengarah. Satu demi satu fail diselesaikan secara berasingan. Bergilir-gilir. Itulah stail pengurusan tempoh awalan selama aku di situ.

Fragmen Memoir – Balik kampung (6)

Fragmen Memoir – Balik kampung (6)
Cawangan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) mengadakan majlis jamuan perpisahan pada hari Selasa, sebelah petang, hari terakhirku di situ. Hadir sama ialah ketuaku, Azizan bin Ayob, Timbalan Pengarah BLKK. Seperti lazimnya, aku diminta berucap sepatah dua sempena pertukaran. Aku sudah kurang ingat semua perkara yang sebenarnya terluncur. Tetapi aku tidak boleh lupa beberapa perkara. Selayaknya aku berterima kasih kepada semua pegawai dan staf secawangan. Aku mengimbau kehadiran dan kebersamaan dengan mereka bertungkus lumus memikul amanah. Tidak boleh pula kusembunyikan daripada meluahkan keperitan mengendalikan tugas-tugas pengurusan Hadiah Latihan Persekutuan terutamanya. Inilah tanggungjawab yang menjadikan aku dan seorang dua pegawai dan pembantuku sering balik lewat bahkan sampai melampaui tengah malam. Aku sendiri hampir setiap hari membawa kerja sampai ke rumah. Dan bersambung lagi di pejabat selepas itu. Demikian sudah jadi rutin.

Fragmen Memoir – Balik kampung (5)

Fragmen Memoir – Balik kampung (5)
Aku menghubungi Hamzah bin Hj. Ghazali, Ketua Penolong Pengarah di Unit Gunasama, Bahagian Perkhidmatan, JPA. Kami agak mesra kerana pernah bertugas sepejabat di Cawangan Naik Pangkat dan Tatatertib, Bahagian Perkhidmatan pada awal tahun 1980-an. Kuberitahu tentang hasratku untuk bertukar keluar dari Kuala Lumpur. Sambil itu kurisikkan juga luang untuk pulang ke ‘kampung’. Hamzah memberitahu bahawa kebetulan ada kekosongan jawatan di Terengganu, di Pejabat Kemajuan Negeri. Dia memang tahu aku berasal dari Terengganu lalu disyorkan untukku . Jawatannya pun setaraf dengan jawatan hakikiku. Betapa kena masanya. Benar-benar ini suatu kesempatan yang sukar diperolehi untuk bertugas di negeri sendiri. Lebih penting lagi, sambil menyelesaikan satu masalah peribadi yang lain. Seharusnya tidak dilepaskan. Aku menyanggupi syor beliau.
Hamzah menandatangani "Pemberitahu Pertukaran P.T.D. T/K Bil. 111/88" bertarikh 15 Mac 1988. Dalam surat itu tercatat:
“Encik Ahmad bin Said, P.T.D. Tingkatan Tertinggi ‘G’, Ketua Penolong Pengarah, Latihan Dalam Negeri, Bahagian Latihan dan Kemajuan Kerjaya, Jabatan Perkhidmatan Awam, P.T.D. Tingkatan tertinggi ‘G’ ditukarkan sebagai Timbalan Pegawai Kemajuan Negeri Terengganu, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, P.T.D. Tingkatan Tertinggi ‘G’.”
Pertukaran ini berkuatkuasa mulai dari 1 April 1988.

Fragmen Memoir – Balik kampung (4)

Fragmen Memoir – Balik kampung (4)
Terlintas juga di fikiranku kebimbangan. Bolehkah aku melaksana tugas-tugas baru itu sebaik yang telah kulakukan dalam jawatan sekarang? Bidang kemahiranku ini tergolong dalam bidang pengurusan sumber manusia dan pengurusan organisasi. Di pejabat aku sudah dikenali sebagai penjawat yang berprestasi tinggi. Aku telah dipilih sebagai Penerima Anugerah Khidmat Cemerlang, BLKK dua tahun, bagi tahun 1984 iaitu tahun mula-mula ditempatkan, dan tahun 1986. Aku pernah dicalonkan bertanding sebagai Tokoh JPA 1987. Aku percaya setelah memasuki tahun keempat di situ wajarlah tidak statik sumbanganku. Aku yakin penilaian prestasi tahun 1987 kelak lebih memberangsangkan! Aku membayangkan akan terpilih menerima AKC kali ketiga pada tahun 1988, jika aku memilih berterusan di situ.
Sedangkan kerja-kerja yang tergolong dalam pengkhususan pembangunan hanya kuceburi semasa mula-mula dilantik. Itu pun tidak sampai setahun. Bolehkah aku melakukan secemerlang itu juga dalam bidang pengkhususan yang berlainan, bidang pembangunan, dan dalam sekitaran yang jauh berbeza? Sekiranya gagal menyerlah, kerjayaku akan terjejas. Prestasi yang merudum sangat perlu dielakkan. Itu sudah jadi pegangan peribadi. Risikonya serius. Aku akan ketinggalan dalam pertimbangan untuk kenaikan pangkat. Kesannya sepanjang hayat kerjaya. Aku tahu benar sebab pernah mengendalikan sendiri tugas-tugas kenaikan pangkat dan rayuannya di Bahagian Perkhidmatan dahulu.
(Catatan: Gambar hiasan dipetik daripada “Chenderamata Pertabalan”, tanpa tarikh)

Fragmen Memoir – Balik kampung (3)

Fragmen Memoir – Balik kampung (3)
Aku juga bertanyakan Abdul Karim bin Abdullah Omar, ketika itu Pegawai Kemajuan Negeri Selangor. Sebelum itu beliau menjawat jawatan Pegawai Kemajuan Negeri Terengganu untuk beberapa tahun. Kami saling mengenali ketika sama-sama di Bahagian Perkhidmatan, JPA suatu ketika dahulu; beliau mengetuai Cawangan Tatatertib dan aku menjawat Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Naik Pangkat. Dia menyokong. Negeri Terengganu tempat yang baik untuk mencari pengalaman baru. Kelainan bidang tugas diakui mencabar tetapi, mengenali perwatakanku, dalam jangka masa yang singkat dia yakin aku boleh menyesuaikan diri.
Kebetulan pula, salah seorang penolongku, Izhar, pernah bertugas di Pejabat Kemajuan Negeri Sembilan, sebelum ditempatkan di Bahagian Latihan. Beliau juga kuusuli untuk mendapat maklumat tambahan. Selaku Penolong Pegawai Kemajuan Negeri, Tingkatan Biasa, tugas-tugasnya tentulah tidak jauh bezanya dari segi ruang lingkupannya. Perbezaan hanya dari segi bidang kuasa, jaringan kawalan dalam pejabat, dan keinteraksian antara jabatan, berbanding seorang pegawai yang bertaraf jawatan Tingkatan Tertinggi ‘G’, iaitu taraf jawatan hakikiku.