Saturday, 1 September 2018

Pantulan A/03/09/2018: Sajak Hilmi Rindu, [Santai Minda], “Di Bawah Paras Kesepian”

Pantulan A/03/09/2018: Renjisan Ketapaan
32 tahun berlalu pun, kesunyian, apalagi ‘kesepian’ tidak sekali-kali melupuskan batas penghayatan seseorang. Dalam suasana begitu, pada bila-bila era pun, ia bingkas menerpa dan menujah minda dengan kepelbagaian – merangkumi aneka aspek yang mahu kita bayangkan atau lebih baik, fikir dan cungkilkan.
Semoga yang kita selongkari, ialah yang memberikan faedah-faedah. Bukan yang merugikan. Sekurang-kurangnya kepada diri sendiri. Yang baik lagi jika dapat dimanfaati kaum keluarga, rakan taulan, jemaah kariah kalaupun tidak menerobosi warga sebangsa atau senegara.
Jadi, balik kepada olahan rakanku ini, Hilmi Rindu, [Santai Minda], “Di Bawah Paras Kesepian”, Dewan Sastera, September 1986, halaman 45, aku sangat diuliti baris-baris, “Di saat ini fikiran/hanyalah batas daun-daun mengembang/serta akar mencari arah sendiri.” Kepuitisan tahap tinggi menggaru berahi.
Tetapi, alangkah lebih diharap-harap lagi jikalau perenungan diri tidak hanya amalan dalam sekitaran pertapaan. Keriuhpikukan yang mengelumangi helaan nafas renta pun seharusnya memancutkan ide-ide bermutu menguja kesepakatan berterminal kebajikan.
Comments
Santai Minda Salam. Terima kasih Dato' kerana menemukan dan mengangkat kembali sajak ini.

Pantulan A/02/08/2018: Sajak Hilmi Rindu, [Santai Minda] “Sesal”

Pantulan A/02/08/2018: Menyental pengabaian
Barangkali salah satu aspek kehidupan manusia yang lazim diutarakan oleh para agamawan apabila mendakwahkan orang-orang dewasa dalam majlis-majlis ilmu ialah tentang penggunaan masa ketika masa itu benar-benar menjadi tanggungjawab seseorang itu sendiri memanfaatkannya: waktu muda sebelum datang waktu tua, waktu sihat sebelum jatuh sakit dan seterusnya. Namun, kepentingan demikian nyatalah tidak ada dalam ingatan “seorang lelaki tua”. Maka, tidaklah mengejutkan penyesalan tidak berkesudahannya seperti boleh diraih dari gambaran dalam sajak Hilmi Rindu, [Santai Minda] “Sesal”, Utusan Kiblat, Oktober 1983, muka surat 36.
Terasa sekali lelaki ini telah kehilangan punca ketika dikedut usia. Dia sudah tidak upaya lagi bertindak membela diri kerana kini hanya “menunggu” masa berhenti yang pasti melawati. Sungguh menyayukan. Semoga, para lelaki lain tidak serupa beliau mengendali situasi. Selagi ruang diberi sewajarnyalah digagahi menebus kejahilan selama ini.
Sebaik-baik langkah ialah kembali mengamalkan ajaran agama, dengan mempelajari dan beribadat sempurna seakan besok terjadual meninggal dunia atau kalau dikurniai usia panjang berganda, berusaha senadanya, iaitu seakan kematian bakal lama menerpa. Ini bermakna, sekiranya, solat yang paling utama janganlah lagi terlupa atau berlengah-lengah mendirikannya. Nanti, Ramadan bakal menjelang, semua galakan beramal selain berpuasa, bertarawih, bertadarus, bertahajud, bersedekah, dan seumpamanya tidak boleh tidak dilakukan setakwanya. Selepas berzakat fitrah, berhajilah ke Baitullah serta berziarah ke bandar Rasulullah. Pendek kata banyak lagi aktiviti mengisi rompong-rompong kekesalan yang terpampang dalam minda peribadi.
Semoga aku pun dapat melakukan begitu kerana hakikatnya diriku tiada bezanya berbanding “seorang lelaki tua” itu.
Comments
Ahmad David Kholilurrahman Molek jika masih ada majalah sastera Jawi
Manage
LikeShow More Reactions
Reply21w
Santai Minda Terima kasih atas penelitian Dato'.
Manage
LikeShow More Reactions
Reply21w
Encik Hanafiah Mahu dikongsi dengan izin

Pantulan C/01/ 07/2018: Sajak Solihin Osman, “Rimbun Dusta”

Pantulan C/01/ 07/2018: Mengulit persepsi
Aku lebih suka ditujukan langsung kepada peribadi yang digambarkan itu. Maka terkenalah batang hidungnya lalu tercapailah hasrat dan terkedulah (?) orang yang ditenangkan. Namun, sajak barangkali lebih ‘seni’nya. Lantas, seseorang individu boleh menjelma sebagai kelompok, atau pada atau sehingga satu ekstrimnya, suatu umat! Dengan keluwesan itu, sajak menjadi sarana bagi karyawan meluahkan perasaan (ataukah pencernaan batiniah) terhadap suatu isu atau situasi sejati dalam sebuah masyarakat tempat beliau menjalani kehidupan seharian. Itulah salah satu refleksi atau persepsi yang boleh terpantul daripada puisi Solihin Osman, “Rimbun Dusta”, (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Februari 2010, muka surat 63.
Yang menjadi aku lebih-lebih teruja memantulinya ialah kebingaran semasa dalam negara. Tidak ternafikan lagi bahawa tingkah-tingkah pendustaan sangat berleluasa masakini, sehingga tergubal akta memagarinya. Rakyat majoriti terkeliru dan terkapai-kapai. Para warga marhaen yang rata-rata berbudi bahasa dan jujur ikhlas merencanakan kehidupan masing-masing terkecamuk oleh versi-versi pilihan. Kepihakan dalam masyarakat telah berakar kuat dan sebarang usaha merobah pendirian terhadap kebenaran hakiki tidak berjaya sama sekali. Maka, berterusan persepsi demi persepsi sambil kehiruk-pikukan nampaknya lebih memudaratkan berbanding kemanfaatannya.
Rupa-rupanya, dalam negara yang sama, dengan latar belakang pendidikan yang beraneka aliran dan ragam, pemuakan yang bertradisi dan terbit-terbitan dari serpihan trend mutakhiran didukung kecanggihan teknologi gagal mensebatikan para warga menjadi sehaluan. Dan, dalam masa yang jauh sekali lagi menjelang pun, semua yang termaktub dalam perlembagaan, dasar-dasar berkebangsaan, kisah-kisah kejayaan lampau tidak pasti diakui seratus-peratus sebagai teladan-teladan mempengaruhi pendekatan-pendekatan masa depan. .
Haruskah kita terus mengulit persepsi dalam melangkah ke garis mimpi dan pasti yang dipertelingkahi sesama atau antar generasi yang mustahil sebati?

Pantulan B/03/06/2018: Sajak Rudi Mahmood, “Katakan Saja Kau Sebetulnya Lampu Di Tengah Pelabuhan Itu (cerita buat Melah)”

Pantulan B/03/06/2018: Detik meraikan.
Kukira-kirakan, keseluruhan puisi Rudi Mahmood, Township, U.L., 1981, “Katakan Saja Kau Sebetulnya Lampu Di Tengah Pelabuhan Itu (cerita buat Melah)”, Dewan Sastera, Ogos 1983, muka surat 65, sejengkalku penuh panjang regangannya dari mula sampai akhir.
Namun, kalau diberikan kelewahan masa pun, aku ragu-ragu boleh menggarapinya sefaham dan semaksud seperti disemi Rudi sebaik beliau selesai menciptanya. Ia begitu memerit. Anehnya ia menjerat asyik, sambil menahan belekan lain diteruskan!
Pilihan yang terbuka, lagi sangat meringankan, ialah mengambil rangkap terakhir sebagai bahan memantul kesan. Tidak jauh tersasul pendekatan ini kerana ulian kalimat-kalimat Rudi di sini adalah rumusan yang sekali gus dihubungkan langsung dengan judul sajak ini.
“Kau” (ataukah Melah?), sangat bermakna dalam episod cinta yang dikisahkan. Arjuna cetera ini telah menderita oleh pesonanya. Ia ialah juita yang tidak wajar lagi lari menghindar diri kerana telah benar-benar mencengkami hati ‘aku’ selama ini. Ketibaan di destinasi lantas tidak seharusnya menghancurkkan harapan menikmati hasil jerih-perih di sebaliknya. Segala derita honaran ombak badai yang ditempuhi terlerai sambil merealisasikan habuan. Maka wira yang tiba di ‘pelabuhan’ seharusnya tidak dinafikan haknya untuk dibelai manja. Tentulah zalim, ataukah kejam (?), bertindak meningkah selainnya. Malah, bertepatan kita mengibaratkan, bak buana, seri malamnya terserlah oleh pancaran purnama penuh. Begitulah tidaklah pula jauh bezanya suasana di pelabuhan ketika ‘aku’ tiba. Sebenarnya tiada pilihan bagi dara kecuali meraikan suatu akhiran perjuangan getir yang jitu dengan absahan sempurna, iaitu kegirangan sejati.
Tak mengapalah kalau ini hanya sebuah lagi retorik terpancar dari karya berseni seorang pemuisi yang ahli.
Comments
Rudi Mahmood T.kasih Dato, sajak2 tulisan 1981, zaman remaja, umur 23 tahun. Ditulis ketika menginap di kuarters KTM, Township, Sentul, Jalan Ipoh bersebelahan IPD Sentul
Manage
LikeShow More Reactions
Reply23w
LikeShow More Reactions
Reply23w
Arsyad Pendang Saya sukakan baris, "maka pada suatu hari kaulihat aku pulang semula dengan akal tradisi." 👍