Lepas sembahyang Asar semalam aku
berdoa akhir tahun sendirian di rumah dan pada 6.20 petang ke masjid untuk
menyambut awal Muharram 1434 bersama-sama para ahli kariah lain. Doa awal tahun
dibacakan oleh Imam Kehormat Ustaz Nik Mohamad selepas bacaan Yaasin sebaik selesai
solat Maghrib. Lepas sembahyang Isya’ Ustaz Rahimi Mat Saad, Pensyarah Fakulti
Pendidikan Universiti Malaya menyampaikan ceramah Maal Hijrah selama lebih
kurang 40 minit.
Intisari ceramah yang mampu ku garapi
dirumuskan seperti berikut:
(a) Tempoh
masa yang berbeza panjangnya dakwah
Rasullullah s.a.w di Mekah (13 tahun) sewajarnya memberi pengajaran kepada kita
bahawa aspek pembinaan peribadi, sahsiah, akhlak, kerohanian lebih sukar,
penting, mencabar berbanding aspek fizikal, atau lain-lainnya yang lebih
diasosiasikan dengan aktiviti-aktiviti Rasullullah s.a.w. di Madinah (10 tahun);
(b) Apabila
sudah ada kelompok yang terasuh, bertekad waja maka mereka akan menjadi pengisi ruang dan
penjamin kejayaan langkah-langkah ke arah perealisasian apa sahaja perancangan
yang dilakukan;
(c) Adalah
baik seseorang berhijrah seketika dan
kemudian kembali semula dengan lebih berilmu dan bijaksana untuk berkhidmat mendidik
masyarakat atau kaumnya; Alam Melayu menerima manfaat pendekatan ini melalui sumbangan
besar para ulama yang menuntut ilmu di Timur Tengah dan kembali mengajar atau menulis
kitab-kitab untuk menyebarkan ajaran Islam di wilayah asal mereka;
(d) Amatlah
penting menginstitusikan aspek-aspek tertentu yang sememangnya berpunca atau milik
Islam supaya agama Islam lebih gah. Sebagai
contoh, senibina masjid begitu jelas mendokong dan memprojekkan keunikan dan keindahan
Islam. Begitu juga, kalendar Hijriah adalah satu lagi daripada perkara-perkara
yang penting boleh ditingkatgunakan supaya semua unsur atau ciri keislaman
dapat disebatikan dalam budaya hidup umatnya. Jati diri Islam akan terserlah
dan kian mantap dengan kita sendiri menyedari dan mengamalkan secara bersungguh-sungguh
dan menyeluruh;
(e) Apabila
memasuki 1434 bermakna setahun yang berlalu (1433) tidak akan kembali lagi.
Tentulah rugi bagi sesiapa mensia-siakan masa itu tanpa dimanfaatkan. Setiap
manusia telah ditentukan tempoh hayatnya di dunia. Apabila tiba masanya ia akan
kembali menemui Ilahi tepat pada waktunya. Adalah sangat rugi jika hakikat ini
tidak disedari dan ia terus tidak menimba potensi faedah daripada baki atau
sisa-sisa usia yang masih ada.
Nyatalah
ada iktibar yang boleh diraih daripada peristiwa sejarah seutama ini. Demikian sahaja
yang saya mampu ungkapkan sungguhpun sebenarnya lebih banyak yang disebut oleh
ustaz tidak saya sentuh.
Pada pagi hari pertama tahun baharu
ini (bersamaan 15 November 2012), melalui TV aku menyaksikan upacara penganugerahan
Tokoh Maal Hijrah 1434 kepada Allahyarham Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman, bekas
Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Meneliti riwayat hidup beliau, saya bersetuju
bahawa pemilihan yang dibuat adalah wajar. Melalui jawatan-jawatan yang pernah
disandang dan penglibatan dalam aspek-aspek keagamaan dan kemasyarakatan yang meliputi
jangka masa yang panjang beliau menabur bakti berupa sumbangan yang bermakna
kepada perkembangan dan pemartabatan Islam semasa dan akan datang. Dengan itu beliau telah meninggalkan nama yang
harum dan akan terpahat dalam lembaran sejarah negara.
Sambil itu, pembacaanku hari ini
termasuklah (kebetulan) tentang Khutbah Jumaat Warta Jabatan Agama Johor, bilangan 246, Mac 1974 bertajuk Hijrah Tahun Baru Kita tulisan Jamaluddin
Hashim. Khutbah ini adalah sempena kedatangan tahun Hijriah 1394; maknanya sambutan
yang berlaku pada 40 tahun yang lalu. Jadi, alang-alang menulis tentang bulan Muharam,
elok juga ku nyatakan apakah yang ditulis dalam Khutbah ini iaitu:
- “…
soalan pokok dari seluruh peristiwa Hijrah itu iaitu untuk mendapatkan tapak
kerana merebut kejayaan …”
- “Kita menempuh tahun Hijrah ialah kerana mengenang
peristiwa Hijrah Rasullullah s.a.w. itu sendiri yang dikira lebih penting
daripada segala peristiwa penting yang berlaku di zaman Junjungan dan sahabat-sahabat
dengan sebab itulah sahabat-sahabat Nabi yang mempelopori taqwim tahun Islam
tidak memulakan tahun Islam itu dengan mengambil sempena hari lahir Junjungan…tetapi
[memilih] peristiwa Hijrah [kerana] ada mempunyai beberapa anjuran dan contoh
teladan yang amat berharga.”
- “Semangat
Hijrah itu menghendaki dan mengajar kaum Muslimin supaya mereka jangan hanya
berdiam diri – menerima sahaja apa-apa nasib yang menimpa mereka sebaliknya
mereka hendaklah sentiasa membuka mata dan fikiran berikhtiar sedaya upaya jika
di satu-satu tempat kurang berjaya beralihlah pula ke tempat yang lain atau jika
di dalam sesuatu langkah didapati tersalah atau merugikan aturlah pula langkah yang
baru dengan syarat langkah yang baru itu telah difikirkan masak-masak dan meyakini
bahawa kesalahan dan kerugian tidak lagi akan berulang.”
- Dalam
Khutbah itu beliau juga memetik ayat-ayat al-Quran iaitu Surah-surah al-Zariat 55,
al-Ankabut 69, al-Baqarah 218 dan al-Anfal 75.
Sekian untuk kali ini.