Thursday, 23 January 2014

Sajak Nawawee Mohammad, “Suara Dari Lembah”

Pantulan 8/14

Giliran sahabatku, Nawawee Mohammad menyajakkan, “Suara Dari Lembah”, Mastika, Ogos 1973, muka surat 113, merintihi nasib malang warga merdeka, tentulah yang asali mendiami tanah tercinta ini. Penyair sedaerahku ini bertanya, “apa erti sendiri punya demokrasi/kira putera-puteri keciciran tak kesudahan”? Banyak lagi boleh dipetik memperkuat hujahan. Sajak ini kalau hendak diuraikan, sebenarnya mampu diwakili oleh judulnya yang sangat berisi; dalam cermat kata-katanya sungguh bererti - rendah, terhina, kecewa, berharap, kesal, tertipu, tertindas, sempit, dan …. Begitu terbiar sekali.

ASKAT: Tahun 1973, bererti lebih 40 tahun berlalu. Ketika itu tragedi melutu, rakyat termangu-mangu dan negara haru-biru, berusaha keras menghindarkan celaru. Dari segi sejarah itulah dekad paling menentu, kerana pada tahun 1970 dilancarkan Dasar Ekonomi Baru. Ada juga Dasar Pendidikan Kebangsaan dan kemudian DEB digantikan Dasar Pembangunan Nasional. Aku adalah salah seorang yang bertuah menikmati limpahan faedah dari pencapaian pendekatan pembangunan di bawah pemerintah; inisiatif kerajaan yang memegang teraju, benar-benar membantu merobah masa depanku. Kemudian, akupun termasuk ahli pasukan yang menyinsing lengan agar perancangan kerajaan memberi faedah-faedah yang perlu, serata seperti asalnya nawaitu. Dasar-dasar itulah yang menjadikan aku ahli kelas menengah masyarakat Melayu, bersama-sama ratusan ribu seangkatanku. Ramai, termasuk aku, menjadi warga kota, kemudian menetap dan beranak bercucu. Jadilah desa asal tempat bernostalgia. Sedang generasi baru, semakin kebandaran, dan mempunyai perspektif lain, tak sepenuhnya sehaluan.

Dari perspektif lain, malangnya kelemahan tidaklah terketepi dalam melaksanakan dasar-dasar yang murni. Kegelinciran, ketirisan, pembaziran pun hadir, menghitamkan pencapaian. Rakyat marhaen ada yang terpinggir, terlepaslah ganjaran pembangunan.

40 tahun yang sangat padat dengan serba-serbi. Kota menjadi lebih ramai penghuninya berbanding desa. Namun desa belum lagi berubah ke tahap membanggakan atau sepenuhnya menjadi lebih baik. Ketinggalan masih jelas dan perpaduan tidak banyak berlainan daripada dahulu. Maka tanggungjawab kuasa yang dimandatkan mengatasi sebarang kelemahan dan salah langkah dan salah laku supaya tidak berulang. Pun haruslah disedari masing-masing ada peranan, saling menjayakan.
 — at Mastika, Ogos 1973

Monday, 6 January 2014

Pantulan 7/14, Sajak Wan A. Rafar, “Panas Pun Turun – Sebuah Requim”



Pantulan 7/14

Saya ada menyimpan sebuah naskhah majalah Bahasa, Jilid 1, No. 1 Disember 1973, Edisi Baru keluaran Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM).

Rupa-rupanya ada tiga buah sajak teman fbku Sajak Wan A. Rafar (WanRafar Ishak) termuat di dalamnya tetapi aku sukakan “Panas Pun Turun – Sebuah Requim”. Sajak ini sudah berusia 40 tahun. Jelas sekali penyair muda ini berbicara tentang dunia lain, dunia selepas mati. Kata Wan, “kau di sana menanti terangkatnya hari/di tengah angkasa, di tengah padang tak bertepi”.

ASKAT: Saya merujuk buku Rachmat Taufiq Hidayat, “Khazanah Istilah Al-Quran”, Penerbit Mizan, 1989, cetakan pertama di bawah entri “Ākhirah” dan banyaklah ayat-ayat Al-Quran menyentuh dunia abadi itu. Kerana ceteknya ilmu, baiklah saya menyalin sahaja, “Untuk menunjukkan ākhirah, kadang-kadang dipakai juga ungkapan
dār al-ākhirah (tempat tinggal yang terakhir): … dār al-qarar (tempat tinggal yang kekal): …atau yaum al-ākhir, yakni hari akhir atau hari sesudah dunia berakhir yang didahului dengan musnahnya alam semesta ini berikut dengan segenap penghuninya. Dan iman kepada hari akhir merupakan sendi kelima dari arkan al-īmān ….”.

Al-Quran memberikan perhatian yang khusus terhadap hari akhir dengan senantiasa menempatkannya di belakang ungkapan beriman kepada Allāh … Juga banyak sekali ayat Al-Quran yang menerangkan tentang hari akhir (
yaum al-ākhir) dengan nama-nama yang berlainan, yang masing-masing nama itu menunjukkan pengertian apa yang akan terjadi pada hari itu, …” (lihat muka surat 16)
 — at Majalah Bahasa, Disember 1973.

Monday, 9 December 2013

Sajak Malim Ghozali Pk, “Laksamana, kucari akar rasional amanat atau hanya kata-katakah di lirih angin sepanjang zaman”

Kalau hendak dikatakan meresah rasa, memanglah. Pun, mengharukan atau membimbangkan, atau menusuk kalbu, kerana situasi semasa lebih membayangkan kemungkinan semakin banyak isyarat-isyarat kehilangan jati diri yang semenjak merdeka secara berkebangsaan dirancang dan dilaksanakan, tidak putus-putus menjelma, tertonjol terang-terangan. Ini kesan yang disemaikan apabila selesai mendekati karya teman lamaku yang kian tersohor, Malim Ghozali Pk, lewat sajak “Laksamana, kucari akar rasional amanat atau hanya kata-katakah di lirih angin sepanjang zaman”, dalam “Hujan di Limun Pagi”, Seladang Ventures, Disember 2008, cetakan pertama, muka surat 42-43. Yang dibicarakan, laungan lama panglima bahari, “TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA!” kerana “Melayumu merempat di laman sendiri”. Tetapi apabila diulang-ulangkan Malim, “…amanatmu atau hanya kata-katakah/…./sepanjang zaman sepanjang zaman.” Maka jadilah sajak ini satu luahan kecewa yang wajar diwarwar kerana bangsa Melayu belum lagi mengotakan kata-kata, bahkan sekadar mengujar-ujar, sedangkan sudah bebas menentu wawasan.

ASKAT: Saya petik dari Hikayat Hang Tuah: “Maka negeri Melaka pun sentosalah sebab Bendahara dan Laksamana memeliharakan.” (muka surat 414, DBP, 1986, cetakan ketiga). Tentulah ini puncanya atau meminjam kata-kata Malim, “akar rasional amanat”. Bendahara yang mengetuai pentadbiran kerajaan dan Hang Tuah melaksana dan mempertahankan. Unsur-unsur itu masih berkekalan sampai sekarang Perdana Menteri dan para pelaksana terdiri daripada penjawat-penjawat awam, yang dominan. Malim menyebutkan mereka yang diamanahkan itu sampai mencapai angka 90%-99%. Tetapi kenapa timbul kebimbangan ataukah sengaja digembar-gembur persoalan? Aku kira beliau tidak bermimpi kerana hakikatnya kita lebih berdegar-degar, terutama pada permulaan dan lantas sewenang-wenang, bergelumang dengan kedangkalan dan dikaburi habuan yang bukan matlamat idaman perlembagaan. Bahawa, ada kewajipan semua pihak, individu atau kumpulan dalam bentuk rasmi atau bukan. Dan ini, dituntut sekarang!.

Sunday, 8 December 2013

Sajak Nawawee Mohammad, “Surat Dari Jebat”,

Teman fbku sedaerah, Nawawee Mohammad pun tidak terlupa menilai pustaka lama. Melalui “Surat Dari Jebat”, dalam antologi “Dua Alam”, Grup Pemuisi UKM, 1978, cetakan pertama, muka surat 50, dipancarkan tafsiran dan pendirian beliau. Kita ratah dulu kata-kata berapi yang diluahkannya, “adapun demokrasi di sini/…/…/…/mengusut rambut anakpelaut/mengharubiru niat petani/kerana di tengah kota kini/…/sebilah keris hanya perhiasan.” Pada zaman bukan kesultanan (baca merdeka) ini semuanya sudah boleh dipersoalkan. Kerana itulah dilanjutkan beliau, ya, “setelah wira milik individu/…/setiaku tak perlu menunggu/…/…/…/demi Jebat demi Jebat/merajalela istana bumi sendiri.”

ASKAT: Benarlah pendidikan seharusnya menjelmakan peribadi yang terpuji, yang misali, mendukung nilai-nilai yang disanjung tinggi oleh masyarakat. Zaman Melaka, Sultan yang berkuasa mutlak. Bendahara pun tidak sanggup menentang titah, kecuali setakat membuka suara berwasiat, menegaskan banyak pesanan termasuk jangan sekali-kali menafi daulat raja sedang bertakhta di istana puri . Tetapi pemerintahan yang didukung oleh perkiraan undi pun belum pasti mewujudkan keadilan. Lambang kekuasaan, seperti “keris” seharusnya bukan hiasan semata-mata, sebaliknya sebagai suatu perlambangan yang menyerlahkan perlembagaan yang wajib dipatuhi dan dilaksanakan. Kalau yang demikian itu tidak menjadi amalan, penekanan atau kezaliman berleluasa, atau masih ada, bermaknalah kerajaan atau kuasa yang diberi tidak ditadbir atau digunakan secara menepati. Dukungan agar keadaan begitu berterusan sudahlah tidak boleh dipertahankan. Jadi, pada medannya teruskanlah berjuang agar tercapai wawasan murni (?), yang dilambangkan melalui perjuangan (peribadi) Jebat iaitu keadilan, keperwiraan, kebolehan, persahabatan…. Walaupun kesempurnaan bukan diwakili Jebat, ada unsur-unsur utama yang menonjol. Dan yang baik-baiklah sewajarnya memandu arah tuju penambahbaikan.

Sebagai hiasan kutunjukkan ilustrasi dipetik daripada buku Rahman C.M, “Tragedi Akibat Fitnah”, Macmillan Malaysia, 1980, cetakan pertama, muka surat 77.

Tuesday, 3 December 2013

Sajak Zurinah Hassan, “Kuntum Indah”



Demi hari-hari yang lama berlalu kita angkat semula ke persada maya, sajak teman fbku, Dr. Zurinah Hassan, “Kuntum Indah”, PEMIMPIN, Jun 1971, muka surat 41. Biarkan puisi ini bersenandung sendiri – dengan judulnya, dengan kalimat-kalimatnya, dengan kesatuan pengertiannya. Alangkah bertuah negara jika semua menjadi nyata seperti diperikan sesuci hati.

ASKAT: Musim mencorakkan jati diri negara telah lama bermula. Awal tahun-tahun 1970-an sudahpun diperhebat, tergembeleng menjadi agenda negara, terutama yang berserampang dua mata, yang kukira berjaya ke tahap yang pada, cukup menjadi asas meneruskan usaha berganda, menyedari sejarah negara dengan pelbagai dimensinya. Tetapi alangkah masih juga jauh, mendakap cecita murni dan ideal sahabatku ini. Pencapaian kita sebagai satu ‘bangsa’ seakan bertateh, di denai berduri, di kali yang dicemari. Barangkali tidak melampaui, jika satu puisi lagi dicipta karyawan yang amat ahli ini, semestinyalah merujuk realiti, dengan maksud mengemas kini. Dari persepsi peribadi, setakat ini, anyaman 42 tahun itu masih kekal menjadi mimpi….

Monday, 2 December 2013

Sajak Abd. Aziz bin Harun, “Sebuah Usia Bernama Tua Adalah Malam Yang Terpegun”

Hajat untuk mengkhusus ruang lingkup pantulan terhadap karya-karya teman-teman fbku dilonggarkan sedikit kerana terbaca sajak Abd. Aziz bin Harun, “Sebuah Usia Bernama Tua Adalah Malam Yang Terpegun”, Mastika, Julai 1986, muka surat 57. Rangkap kelima sungguh mengesankan, “suatu waktu bernama tua/adalah malam yang terpegun/merenung langit tidak berbintang/laut yang kematian ombak/dan sebuah pelabuhan yang menanti.” Silakanlah tuan-puan kalau mahu pula merenungi rangkap-rangkap yang mendahului.

ASKAT: Ketika takah usia terus mendakap rapat ke puncak, tersentakku oleh kesendirian, pada hakikat kehidupan yang digelumangi unsur-unsur penafian berterusan terhadap hak menghuni bumi. Terpampang, tanpa kewaswasan setitikpun. Berlaksaan bintang yang lenyap, lalu menggelitakan alam yang mengasasi kewujudan insan, sekali gus memaknakan kekerdilanku. Gelombang ombak tujuh lautan yang tidak berhenti-henti memukul pantai, semenjak tahun terjadi alam maya, boleh lumpuh berakhir maut, lagi menggandakan situasi kesementaraan nafas yang dihela. Benarlah kita semakin berlari menuju destinasi yang pasti.

Sunday, 1 December 2013

Sajak Rudi Mahmood, “Mentera Cik Siti”,

Pengetahuanku tentang Cik Siti [Wan Kembang] amat cetek. Dari segi asal mula baginda bertakhta sampai hilang dari ceritera, tetap jadi tanda tanya. Bacalah buku ‘sejarah’ manapun. Tidak nampak bukti-bukti boleh dipegang dan ditilik, maka apapun cerita tentang raja perempuan ini kekal sebagai suatu misteri, demi identiti atau jati diri. Tetapi teman fbkuRudi Mahmood, kukira tidak menjadikan hakikat itu menghalang penciptaan karya kreatif melalui puisi, “Mentera Cik Siti”, Dewan Sastera, Disember 1980, muka surat 15.

Yang kutimba, raja ini mengalami, “nestapa” "di atas peterana". Tetapi kita tahu, tiada riwayat cinta dialaminya. Baginda mahu bersendirian, menghindarinya, mendara sedang pula berkuasa. Pada suatu ketika, yakni kini, Rudi meletuskan tanya: “Sedang/apakah ‘kau cik siti, kembali bangun memuja taman/dan kijang tua.” Di tempat lain kujumpa dan menyukainya, “’Kau puteri setia. Di belakang taman tak siapa/terdengar tuk peraih bersedih keranamu.” Dan tentulah penting penutup sajak ini, “Agar di atas panggung/makyung nanti benarkan aku menjadi si pakyungnya/menceritakan tamanmu tanpa bunga.”

Itu sajalah yang kumampu menghubungkaitkan kalimat-kalimat yang tidak pun berturutan tetapi tetap menjurus ke satu pemerian. Lebih penting aku suka “mentera” dan ini mengingatkan pengalaman masa kecil, “Telah kurendam bertih tujuh biji. Telah kutabur di kandang kijangmu yang terluka. Telah kuletak air lapan kuala. Telah kuratakan pasir seribu genggam.”

ASKAT: Tiga puluh tiga tahun suatu tempoh yang boleh dikira lama tetapi kalau peristiwa, tertentu pula, tidak akan terlupakan sekiranya bermakna kepada kita empunya ciptaan. Bagiku pula, misteri yang seakan tercapai punca rahasianya, wajar dihargai, kerana lebih berbekas di hati dan teruji berkali-kali. Terserah kepada Rudi.

Nota: Hiasan mengiringi tak kuselitkan sekali, tetapi kalau ada yang berhajat menatap wajah Cik Siti, lawatilah laman maya kerajaan negeri berkenaan sewajarnya.