Thursday, 9 October 2014

Pantulan 54/14: Sajak Shafie Abu Bakar, “Muhasabah di Madrasah Diri dalam Menuruni Usia Setengah Abad”

Pantulan 54/14: Melangkah kembali
Aku memang mencari-cari sebuah sajak teman-teman fbku untuk dipantul seperti lazimnya. Hari ini ketemulah, [Shafie Bin Abu Bakar], Shafie Abu Bakar, “Muhasabah di Madrasah Diri dalam Menuruni Usia Setengah Abad”, Dewan Sastera, Jun 1993, muka surat 29. Tokoh ini bermuhasabah menandakan usia bertambah, “setengah abad”. Sungguhlah, kalau kita sejenak mengingati, “lantas kenangan silam/hadir pada satu titik/mendambakan.” Tiada sesia usaha berfaedah dan syahdu itu kerana sering berakhir dengan cetusan “…keinsafan” dan kemudian, “… menyuluh kegelapan jalan dilalui.”. Betapa penyajak ini menjunjung jasa bakti para guru kerana “mereka adalah sungai-sungai /yang menemukan alur diri/dengan laut tak bertepi”.
Pada sajak ini, terpemanai butiran mutiara di setiap putaran huruf, garis kalimat dan untaian rangkapannya. Inilah yang kita kehendaki daripada menerjuni karya seni. Sebeginilah juga yang banyak kita temui dalam syair-syair para sufi.
ASKAT: Yang paling sukar terjadi ialah membangkit dan memperkukuhkan keinsafan diri terhadap kehonaran yang telah berlaku dan berlalu dalam umbang-ambing penghidupan sambil menghubungjalinkannya dengan letak iman diri semasa dan lorong kembara masa depan, yang tersisa. Kita pernah dinasihati orang bijaksana agar bertaubat nasuha atas keterlanjuran yang kadang-kadang bertahap merajalela. Kesedaran tentang salah langkah, seleweng etika orang beriman lazim berlaku ketika senja akan digelapi . Diakui tidaklah pula demikian itu datang bertandang ketika muda tampan. Bahkan, apabila mencapai dewasa, setengah abad atau sekarang ini, enam dekad lebih bukan jaminan tertuntun sepadan. Ia tidak menjelma tanpa merenung tajam. Pun, tetap bertuah dan bersyukur oleh sesekali mengingati asal diri. Hanya, dikesali tidak pula berterusan ketaqwaan dilanda gangguan hasutan yang kerananya kekadang membantut langkah-langkah murni, terenti tetiba hanya selepas datang sedikit ujian duniawi. Sungguh rapuh benteng imani. Ya, usia ada takah-takahnya. Dan aku sudah melewati yang lazimnya dialami manusiawi.
(Nota: Tidak kujumpa sajak ini dalam kumpulan sajak pertama Shafie Abu Bakar, “Wajah Diri”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, cetakan pertama).
— at Dewan Sastera, Jun 1993

Pantulan 53/14: Sajak Ahmad Sarju, “Lelaki Tua Itu”

Pantulan 53/14: Mengisar piring rakaman
Sajak “Lelaki Tua Itu”, Dewan Sastera, April 1992, muka surat 33 dicipta oleh teman fbku, Ahmad Sarju ketika beliau baru mencapai usia 50 tahun. Umur yang belum tergolong ‘tua’ semasa ini. Calitan lukisan yang terpapar adalah lakaran kegigihan anak jati tanah ini menghadapi cabaran, mempertahankan “maruah” seorang diri. Tidak mahu hartanya tergadai. Walau dihulurkan “… segumpal umpan/…permata …”, ia tidak gelap mata menerimanya ataumelepaskan pegangan milik warisan.
Ada kata-kata, “dalang”, “petualang”, “maruah”, “cerobohi”, “birokrasi” yang sekali gus mempamerkan isu yang diketengahkan bukan kecil. Ada kelompok tertentu yang terlibat. Masing-masing menegakkan kepentingan sendiri-sendiri. Sanggup diperalatkan demi melayani nafsu jangka pendek kerana kemudian kehilangan hak, tapak dan wajah kejatian.
Membaca lebih dua dekad kemudian, ketahui kita bahawa ketika itu, betapa sudah tiada lagi benteng atau semangat perjuangan kumpulan majoriti, kerana tertonjol jelas “Laki-laki tua itu” bersendirian dalam kedaifannya menyuarakan penentangan. Ia tidak sehaluan atau bersedia tunduk walaupun berusia lagi kian berlanjutan dimamah masa.
Sajak ini dianggap ‘bersejarah’ kerana merakamkan proses perubahan dan tragedi yang melanda anak-anak bumi yang nampaknya tidak mendapat simpati mana-mana pihak pun melindungi sekangkang hak peribadi. Mereka yang lain tidak menyebelahi, bahkan “amanah” telah dikhianati.
Bayangkanlah, ketika itu pun sudah bersendirian menghadapi suasana penglupusan seperti kata Ahmad, “Laki-laki tua itu tetap setia/pada rumah dan tanah moyangnya/pada amanah yang digenggamnya/dengan lidah ia bertahan/hanya dengan lidah.”
ASKAT: Banyak sebab berlaku peristiwa penyahan demikian, sampai segelintir saja masih mempertahankan tanah milik. Sekarang ia sedang berlaku dengan lebih segera. Pemerhati, malah sesiapa pun, boleh melihat senario yang berubahan sepanjang era pembangunan. Di Utara, Selatan, Barat dan Timur berleluasa. Peratusan penduduk mewarnai pertempatan telah berubah dan ada yang baru, berbeza jati diri, menghuni dan yang lama lenyap dari pandangan mata. Berundur kemudian berkubur. Bolehkah fenomena ini ditepis atau disanggah, kalau bukti-bukti adalah keterbalikannya?
(Nota: Sajak ini, dengan pengubahsuaian di sana sini, termuat juga dalam kumpulan puisi, Ahmad Sarju, “Permata Budi”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007, cetakan pertama, muka surat 63 dengan judul yang berlainan sedikit, “Laki-laki Tua Kita”.
— at Dewan Sastera, April 1992.

Pantulan 52/14: Sajak Rudi Mahmood, “Metempsikosis”,

Pantulan 52/14: Di alam sana
Sajak teman fbku, Rudi Mahmood, “Metempsikosis”, Dewan Sastera, Februari 1992, muka surat 32, bukan boleh dinikmati tanpa memahami istilah-istilah yang digunakan. Bermula dari judulnya lagi sehingga ke akhirnya, aspek ini mencabar kemantapan ruang lingkup dan tingkat kefahaman. Maka perlulah dirujuk kamus untuk mengasaskan diri. Ambillah, misalnya , “kasyaf”, barzakh”, “kosmis”, “kultus”, “logika”, “mikraj”, “mistik”, “mantik”, dan “labirin” .Sekadar dipilih mengikut runtunan darjah penguasaan terhadap istilah-istilah yang jarang digunakan seharian, kerana khusus untuk sesuatu bidang keilmuan.
Tetapi, sejujurnya, seacap mana pun dibaca aku belum sebati dengan maksud atau apa yang dimaknai Rudi, dalam kalimat-kalimat, frasa-frasa, dan perengganan yang dibina beliau, satu demi satu. Namun, ini adalah ‘sajak’. Sayanglah jika ia terbungkus terus. Tambahan lagi, ‘panjang’nya janganlah menafikan hak apresiasi.
Maka, kubocorkan pembalutnya agar kesemerbakan baunya menyelinapi, menyerapi, melelehi alam maya, memanfaatkan pembaca yang rela mencari-cari inti dari usaha-usaha yang bukan sekadar kegianan berpuisi. Jadi, sepertiga untaian atau sekelompok frasa, seberapa barisannya disentuh jua. Agar 23 tahun kemudian pun, boleh ditelaah seperti pada awal tercipta. Agar terbuka minda menimba madu yang terumus hasilan renung mata jiwa. Agar tidak sentiasa sewarna dengan susunan madah lara. Biar benar-benar berfaedah. Bukan kerana asal tersiar, lalu sepadanya.
Ada pengakuan beliau tentang kelemahan diri peribadi untuk mengerti kehidupan alam bukan dunia. Tetapi penerokaan beliau tidak pula sesia. Kesedaran mulai bercambah “…mengirimkan padaku huruf dan angka baru.” Demikian itu tercapai jua oleh kesungguhan waja.
Melangkahi dua bahagian awal, di bahagian 3, beliau ber'sahajalah': “inilah pamabuk-Mu, Allah. Pemabuk yang lenyap/dalam kesedapan-Mu.”
ASKAT: Aku tidak tahu, lagi pun bukan ahlinya, untuk bercerita tentang kehidupan bukan dunia nyata, alam barzakh, alam akhirat, alam syurga dan alam neraka. Mendengar ceramah-ceramah, membaca buku-buku dan seumpamanya membantu pemahaman pada peringkat paling asas sambil mengakui bahawa Allah subhanahu wataala sahajalah lebih mengetahui. Segala-galanya, termasuk alam-alam itu. Pun, tingkat usaha, ilmu pengetahuan, pengamatan, amalan harian di kalangan kita tetap akan membezakan kefahaman tentangnya. Dipersilakanlah menggali erti tersembunyi.
— at Dewan Sastera, Februari 1992.

Pantulan 51/14: Sumbangsih

Pantulan 51/14: Sumbangsih
Mendedikasikan hasil karya kepada seseorang adalah satu penghormatan, penghargaan, kenang-kenangan, pengabadian perasaan, pesanan azimat, dan pada umumnya, bermaksud yang baik-baik jua. Dalam kehidupan yang masih berterusan (Alhamdulillah kita bersyukur), kembaraan kita tidak sentiasa tanpa dugaan. Yang Maha Berkuasa adalah Maha Penyayang dan Maha Mengasihani …. Tidaklah pula orang yang tidak teruji lebih tahu cabaran itu berbanding dengan yang mengalami sendiri. Pun, pengalaman membekalkan mata perasaan yang membentuk inti sari reaksi atau apresiasi terhadap latar belakang seseorang peribadi dalam tindakan atau pendirian, akibat peristiwa yang mempengaruhi fasa-fasa penghidupannya.
Kita nampak impak peristiwa kematian ahli keluarga. Kita lihat tepuan azam sama-sama mendepani kancah, gelombang, badai di hadapan. Kita berasa muafakatan keluarga mendokong cita-cita. Eratnya satu keluarga yang tidak tenggelam lemas walau betapa derita sanubari, timbul menghadiri. Yang menyata adalah keprihatinan, kecintaan, pengharapan, untuk terus mensyukuri anugerah, sedang kesempatan terluang. Tentulah semua itu dipintal dengan rumbuan doa selaku insan bertakwa.
Kupamerkan penghargaan ‘pengabadian’, sebagai tersempurnai teman fbku Y. Bhg. Dato' Dr. Mohd Mansor Abdullah, senyatanya.
ASKAT: Setinggi-tinggi penghargaan atas pemberian berupa kumpulan sajak mengandungi 73 buah ciptaan antara tahun 1974 hingga 2010 , M. Ashikin, “Lembah Damai”, Institut Terjemahan & Buku Malaysia, 2014. Bolehlah aku menikmatinya sambil terus membelek-belek koleksi lamaku serentak melangkahi denai persaraan ini.

Memahami “tamadun” dan “peradaban”

Memahami “tamadun” dan “peradaban”
Di majlis wacana kelmarin, mendengar tafsiran Mohd Nor Abu Ilham tentang “civilization” yang dalam bahasa Melayu memiliki dua istilah iaitu “tamadun” dan “peradaban”. Bagi beliau, dua istilah itu ada perbezaannya sungguhpun umum lebih menyamakan kedua-duanya. Bersumber beliau, yang dapat saya garap, “tamadun” itu berisi atau berlandas keagamaan sedangkan “peradaban” pula tanpanya.
Dari satu dimensi yang lain, kebetulan, belekan hari ini melintasi “Daripada Editor, Perihal Tamadun Melayu”, Jurnal Bahasa, September 1989, muka surat 566-567, ditulis oleh Aminah Harun. Beliau merujuk Kamus Dewan (1984), Oxford English Dictionary dan Longman Dictionary of Contemporary English untuk memahami istilah “tamadun” dan “peradaban”. Berdasarkan rujukan itu beliau merumuskan editorial itu, “…Walau bagaimanapun bijaksana atau berilmu seseorang itu, tetapi selagi ia hanya memaparkan kebijaksanaan dan keilmuannya itu melalui bahasa pertuturan sahaja, orang itu belumlah dapat dianggap ‘bertamadun’./Hal inilah yang harus kita sematkan ke dalam dada kita pada bila-bila masa pun dan seterusnya berusaha mengisi tamadun bangsa kita melalui bahasa tulisan yang baik, maju lagi canggih.”
ASKAT: Sewajarnya, orang yang “bijaksana” dan “berilmu” cekatan berlisan setanding bertulisan.
(Nota: Persidangan Antarabangsa Tamadun Melayu ke II diadakan pada 15 hingga 20 Ogos 1989 di Kuala Lumpur)

“Tujuh Puluh Lima Tahun Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan"

Kompetensi?
Saya membaca, Abdul Razak Mahmud, “Tujuh Puluh Lima Tahun Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (5)”, “Sedikit Mengenai Pejabat Menterjemah Kitab”, Pengasuh, bilangan 513, Julai-Ogos 1991, muka surat 4-7, 11. Beliau membuat kesimpulan: “Sesungguhnya kita telah kehilangan banyak masa, tenaga dan wang bagi kerja-kerja yang kemudiannya ternyata tidak menjadi ini. Setakat ini, bolehlah disebut di sini, bahawa tujuan Majlis dalam bidang yang satu ini telah gagal; Pejabat Terjemahan yang ditubuhkan seawal 1916 terpaksa dibubarkan, tenaga penterjemah dipindah ke jawatan lain dan buku-buku yang telah siap diusahakan tinggal tidak bercetak dan kini hilang begitu saja.”
 — at Pengasuh, Bilangan 513, Julai-Ogos 1991

Pantulan 50/14: Sajak Azmi Yusoff, "Tasbih Lirih di Dire Dawa”

Pantulan 50/14: Sampai pupus
Aku membelek sampai meleret ke lembah derita mangsa peperangan yang ber“Tasbih Lirih di Dire Dawa”, Dewan Sastera, November 1991, muka surat 34, melalui pena teman fbku, Azmi Yusoff.
Kesejagatan penderitaan, semenjak dahulu, berterusan bahkan lagi terbukti kini. Kelaparan, kebuluran, pengabaian, keterbiaran menular, tiada upaya mengelakkan. Kematian di mana-mana. Tanpa hentinya diberitakan. Terpapar menjadi persoalan biasa tiada pun mengusik rasa kemanusiaan. Namun pengharapan sebenarnya tetap ada di kalangan penderita-penderita walaupun berakhir pada hakikatnya yang paling munasabah iaitu suatu pangakuan tentang “tapak asa semakin haus” . Jadi, tawakal bukan lagi tuntutan sebab persengkitaan akan terus bercorak berhabis-habisan dan gambaran tragedi yang tersaksi tanpa terselindung itu sudah bukan berharapan kembali beransur pulih. Kemusnahan adalah kenyataan yang tidak lagi dinafikan atau diketepikan sebagai penyudah muktamad daripada ledakan benci, dendam kesumat berabad atau oleh pertimbangan singkat. Yang telah terbukti benar dan yang akan berlaku ialah peranapan dan pelupusan, saat demi saat yang sedang berdetikan. Dalam suasana begini, haruskah ada doa?
ASKAT: Simpati tidak menyelesaikan dan ingatan tidak kekal. Putaran peristiwa serupa berlaku pasti. Maka terjadilah semua yang terjadi , senggang bersenggang untuk semua generasi mengakui suatu proses penghancuran oleh sebab manusia tidak boleh berdamai dan berkongsi di bumi, dan kesamarataan bukan boleh wujud abadi.
(Nota: Rujuk juga, kumpulan puisi “Mengemam Jadam”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994, muka surat 72, yang memuatkan sajak yang sama)
— at Dewan Sastera, November 1991.