Friday, 2 January 2015

Pantulan 95/14: Sajak Azmi Yusoff, “Di Suatu Lapangan”

Pantulan 95/14: Sempadan
Sajak Azmi Yusoff, “Di Suatu Lapangan”, (ciptaan 1975), Sarina, Oktober 1977, muka surat 135, bernada sama dengan “Soneta Kembara”. Tetapi penegasan kali ini khusus tentang kesendirian. Manusia menjalani hidup dengan kepastian ia sahaja yang bertanggungjawab menanggung risikonya. Kalau pertahanan diri tidak mencukupi lemaslah dihimpit ke tengah ke tepi. Ada pengajaran, ada teladan bahawa pengalaman yang dilalui, pancaroba yang diharungi, walau selama mana pun, sewajarnya tidak dipersiakan. Banyak cerita kejayaan bermula dari episod duka, dari jatuh, jatuh, jatuh dan kemudian bangkit, bertatih, dan, kerana gigih meyakini kebolehan sendiri serta tawakal terhadap Ilahi, berakhir di mercu tertentu lagi tinggi. Ini adalah hakikat dan tetap sah hingga kini.
ASKAT: Itulah sebab sejarah itu bukan ilmu yang mati tanpa erti. Bertahun-tahun, berkurun-kurun, bangsa terjajah dapat muncul semula, menjadi merdeka dan mampu setara bahkan misali. Kalau aspek gergasi yang kita peduli, aspek peribadi bukan pula harus diabaikan. Ia tetap perlu diutamakan. Banyak contoh tentang pihak-pihak yang kekal mengungguli, tidak lain kerana prinsip-prinsip, strategi-strategi, yang tahan uji. Pendek kata, yang ‘berinti’ sahaja bersemayam tenteram selepas merenangi dan menongkah arus zaman.
(Nota: Sajak ini takku temui dalam mana-mana kumpulan puisi Azmi iaitu “Dua Alam”, Mengemam Jadam”, “Abrar” dan “Sakar Mawar”).
— at Sarina, Oktober, 1977

Pantulan 94/14: Sajak Sutung Umar RS, “Puisi Buat Ann”

Pantulan 94/14: Banteraskan
Sajak Sutung Umar RS, “Puisi Buat Ann”, Dewan Masyarakat, Mei 1976, muka surat 56 muncul sambil menceritakan kisah masghul. Kisah-kisah sebegini lazim benar didengar kerana ia berlegar di merata-rata. Kurang pasti pula aku tentang sebab-sebab pelacuran tidak terbasmikan. Boleh jadi ada tarikan untuk bersenang-lenang tanpa perlu memiliki kelayakan kesarjanaan. Sebab lain, munasabah juga berpunca dari penguatkuasaan yang tidak berterusan, ikut suka atau berkepentingan. Mungkin juga rasional keduniaan menjadi keutamaan lalu pengintegrasian semua yang boleh mencetus atau menyumbangkan permasalahan tidak menjadi agenda penyelarasan yang terkedepan, semua agensi atau jabatan. Yang mudah, ditohmahkan gejala demikian disebabkan kemiskinan. Ahli-ahli yang menyelidiki masalah-masalah kemasyarakatan tentu boleh menambah lebih lengkap lagi tentang sebab-sebab paling menepati.
ASKAT: Maksiat dalam apa bentuk sekalipun harus dibanteras. Tiada pun memberi faedah kalau mana-mana pihak, individu atau organisasi, membiarkan ia merebak tanpa berusaha mencari penyelesaian, jangka pendek dan jangka panjang. Sungguh kecewa melihat sebegitu ramai yang terlibat mencemarkan kemanusiaan. Dan pastilah berdosa, mana-mana pihak yang diamanahkan mencuaikan pertanggungjawaban sehingga negara kita bakal terkenal sebagai sarang yang memperbiak serba-serbi aktiviti yang meruntuhkan wawasan yang diimpikan.
— at Dewan Masyarakat, Mei 1976


Pantulan 93/14: Sajak Ahmad Sarju, “Sang Kuriang”

Pantulan 93/14: Dongeng cinta
Sajak temanku, Ahmad Sarju, berjudul “Sang Kuriang”, Dewan Masyarakat, September 1975, muka surat 55, menjelma mesra. Cerita putera yang terdera rasa oleh penolakan nafsu (cinta?) oleh ibunda kerana menyalahi adat susila. Maka, yang terkesan seharusnya, tiada wajar kehonaran berleluasa. Fakta-fakta seharusnya muncul agar memandu perlakuan manusia, melorongkan kepada amalan-amalan bermaknawi, bukan yang menyalahi adat negeri dan adab manusiawi. Suatu lagenda, ratusan tahun berlalu (ribuan?) masih tetap mencengkam bacaan ulangan asalkan diperikan semula dengan kemerduan dan lenggokan kata-kata mencempera rasa, membaur rangsangan. Kalau dikaji pemerian tentang Sangkuriang, ada tafsiran tertentu dalam setiap peristiwa yang dilalui watak-wataknya. Dan, terpulanglah, setiap pembaca boleh pula membuat tafsiran sendiri-sendiri, selapis atau berlapis-lapis. Aku setuju penyair kita telah memilih sempurna rumusan, “jawaban menyula jasad dan roh kita”, sebagai tafsiran bermutu penelitian baharu. Sungguh, tiada sesia mentelaah apabila tambahan berguna menyusup ke minda, memperteguh kewarasan. Memang kena.
ASKAT: Pernah kulawati Gunung Tangkuban Perahu dan setelah mengetahui latar dan bentuk rupa bumi, tidaklah terkejut cerita Sangkuriang dipercayai orang zaman dahulukala. Pun terlampau banyak khurafat legenda itu, sehingga akal siapa pun mempersoalkan (kebenaran) khayalan purbanya. Tetapi dari perspektif kini, kecanggihan zaman mutakhir boleh menjadikan dongeng itu berlaku, seperti banyak cerita seperti itu diperbuat untuk tayangan santai di kaca TV, mengikat minat kanak-kanak. Demikian menjadi realiti dibantu teknologi terkini. Tetapi, dari segi hiburan, atau memasyhurkan tempat-tempat agar jadi tumpuan wisatawan, cerita-cerita demikian sangat berperanan. Maka siapa pun perekanya, adalah diakui sangat bijaksana. Masyarakat yang mewarisi hasil ciptaan beliau mendapat faedah sampai bila-bila, kerana dijadikan sumber memakmurkan penghidupan di sekitaran.
— at Dewan Masyarakat, September 1975


Pantulan 92/14: Sajak Azmi Yusoff, “Soneta Kembara”

Pantulan 92/14: Redha mencekali
Keprolifikan yang terbukti. Lagi tersua dengan Azmi Yusoff, melagukan “Soneta Kembara”, Mastika, Disember 1979, muka surat 50. Ya, yang kesekian kali. Mengatasi teman-teman yang lain. Aku tidak mencerakinkan ciri-ciri “soneta” tetapi lebih berminat melayan keharuan oleh calitan Azmi yang terang di lembaran. Untaian pertama, kemas sekali memaparkan hakikat kehidupan yang kita jalani. Memanglah ada perbezaan nasib sesama kita. Sebahagian manusia dari semenjak lahir sampai akhir terzahir menerima pelayanan yang sempurna. Yang lebih ramai terdiri daripada yang tidak sebahagianya. Dan di sinilah sajak ini bererti. Pada untaian kedua, diasuhi Azmi peneliti karya beliau agar gigih menghadapi semua yang datang bertubi-tubi, walaupun tidak melimpahkan rezeki. Ya, belum lagi ….
ASKAT: Kebetulan hari ini melintasi kata-kata Awang Had Salleh, “keindahan sajak terletak tidak sahaja pada keharmonian kombinasi bunyi, sanjak dan kata-kata tetapi juga pada keikhlasan erti.” (lihat, “Di Penjuru Matamu”, Utusan Publications, 1981, cetakan kesebelas; Pendahuluan, tanpa muka surat). Maka, aku hanya mencungkil setiap baris ternukil, setiap butir madah terpamer, biar semuanya tidak lagi ditimbusi pasir, menyerlah hadir agar mendesir dan amanatnya banjir di kalangan pentafsir dan juga pencari yang berfikir.
(Nota: Kuselidiki dan mendapati sajak ini tiada termuat dalam mana-mana kumpulan puisi Azmi iaitu “Dua Alam”, Mengemam Jadam”, “Abrar” dan “Sakar Mawar”).
— at Mastika, Disember 1979.


Pantulan 91/14: Sajak Siti Zainon Ismail, “Profil Cinta”

Pantulan 91/14: Murni dan sejati
Siti Zainon Ismail, melalui “Profil Cinta”, Dewan Masyarakat, Jun 1974, muka surat 52, menyorot Sita, Rama, juga Rawana untuk mengumpamakan sebuah lagi episod cinta kini. Ada pula jentayu dan panah menambah seru. Tetapi yang kuketahui, Rama dan Sita saling bercintaan. Hanya angkara Rawana menimbulkan kecelaruan sehingga cinta murni itu dipaliti waswas dan ombang-ambing gelombang perasaan sehingga meruncingkan ikatan. Bahkan, hampir memusnahkan perkahwinan. Dan pada pertanyaan akhir Siti, “di mana,/di mana, di mana?”, ada persamaan tentang prasangka seperti dalam riwayat zaman-berzaman itu. Mengingati jelujur cerita hikayat, aku berharap keresahan tidak meruap kerana Sita dan Rama, ada tanggungjawab membuktikan pendirian atau sikap masing-masing, demi kemantapan berterusan. Mereka orang yang beradab sopan, berdarjat diraja, tersanjung rakyat jelata. Kejujuranlah yang harus tegak berdiri memagari fitnah atau syak yang bertujuan memisahkan gemblengan dua hati. Dan mereka seharusnya berjatidiri agar dapat diteladani serata negeri.
— at Dewan Masyarakat, Jun 1974


Pantulan 90/14: Sajak Azmi Yusoff, “Seorang Anak Telah Kembali ke Gunungnya”

Pantulan 90/14: Demi perjuangan
Pada usia 20 tahun, Azmi Yusoff, menceritakan “Seorang Anak Telah Kembali ke Gunungnya”, Dewan Masyarakat, April 1974, muka surat 53. Kagum juga aku dalam meratahinya. Karya ini tetap mengusik - oleh kemerduan dan kelunakan kata-kata, keindahan alam yang dilukis sekali gus kesedihan atau kekecewaan yang dihempaskannya di antara baris, yang hampir semuanya menimbulkan asyik. Tetapi, yang terserlah, pokoknya hidup adalah perjuangan. Bukan mudah mencapai cita-cita. Di jalanan, lazimnya sentiasa mercup juring-juring tajam menikam langkahan, menyukarkan dan menguji kegigihan ke tahap hadnya. Semangat boleh patah terkulai kalau tiada tahan menghadapi. Dan malanglah diri mengalami kecundangan. Bertambah lagi kerugian kalau ada yang bergantung harapan kepada kejayaan perjuangannya. Para pendukung atau pengikut, sama ada disedarinya atau tidak , tentu kecewa oleh kerapuhan azam atau pendirian, walau apa sekalipun yang mempengaruhi.
ASKAT: Yang disanjung ialah wira. Tentulah terbalik dan janggal kalau yang bukan bertaraf demikian yang diberi tempat terpuji. Pejuang yang mati berjuang, walaupun gagal tiba di destinasi, tetap ternama dan sepanjang masa dikenang sebagai pejuang sejati. Memang perlu ada strategi dan tidak perlu tergesa-gesa sampai merugikan kalau halangan tidak mudah diatasi. Ia boleh berundur, menanti dan muncul lagi, dengan segala kelengkapan. Yang dikehendaki, ialah kejayaan abadi. Dalam semadi sentiasa menjadi simbol misali.
(Nota: Sajak ini termuat juga dalam antologi, “Dua Alam”, Grup Pemuisi UKM, 1978, cetakan pertama, muka surat 12)
— at Dewan Masyarakat, April 1974


Pantulan 89/14: Sajak Rudi Mahmood, “Ramvong 2”

Pantulan 89/14: Tragedi
Sesiapa yang meminati atau pernah menonton Ramvong tentu terhenti lalu meneliti, demi mengulangi menikmati sekali lagi Ramvong versi Rudi Mahmood, melalui sajak “Ramvong 2”, Dewan Sastera, Januari 1989, muka surat 18. Yang kupernah lihat, para penarinya, muda-muda. Gerak-geri mereka, apalagi yang gadis atau wanita, lembut menawan, merangsangkan. Tidak pula terfikir untuk membayangkan kedukacitaan hasil menonton seni budaya ini. Tetapi Rudi, lebih mengerti. Dalam persembahan demikian ada rahsia terbongkar. Ternyata, ada tekanan ke atas penari Ramvong, apabila kian berusia, daya tarikannya tidak lagi seberapa. Yang asal popular tentu berusaha agar kekal terkenal. Tetapi apakan daya, hakikat menguasai, takkan selama-lamanya dipuja bahkan lenyap sendiri. Dan benarlah, “…menerima/peruntukan tua ini, dia seperti tarian yang mengikut /rentak.” Ya, tragedi terjadi pada akhirnya, kerana manusia tidak mampu bertahan pada takah yang sama. Lambat-laun yang tetap berlaku, mendatangi tanpa terhindari lagi.
ASKAT: Membaca sajak sekali gus seakan membaca cerpen bukan tidak menghiburkan. Tetapi hampir tiada cerpen akan merupa menjadi sajak. (Bolehkah saya perkenalkan ‘sajpen’?) Aku perasan, Rudi menggemblengkan, dua genre ini dengan cekatan dan aku mendapat kepuasan kerana ‘cerpen’nya sepenuhnya berciri sajak dan menjelma sebagai sajak sejati! Bermaknawi. Ia menuntut tafsiran sewajarnya pula; suatu ciri utama sebuah puisi yang lantaran itu dihargai.
— at Dewan Sastera, Januari 1989