Thursday, 3 December 2020

    Pantulan D/01/03/2019: Sajak Hilmi Rindu, “Satu Percakapan Antara Detik dengan Malam” - Hakikat     Sejarah

Sampai sekarang pun
Mohd Abdullah
masih berterusan menukang sajak. Ada sepuhan cungkilan mental yang teliti dalam ciptaan-ciptaan beliau. Terhurai makna dengan kesenian yang unik, sekali gus mencengkam minda penelaah. Maka tidak harus kita terkejut kalau beberapa hari lepas pun Hilmi terpilih lagi menerima hadiah menukang sajak peringkat kebangsaan. Berdekad-dekad keupayaan Hilmi terbukti. Berkali-kali.
Aku pula tidak terikat melihat dan mengamati sesuatu ciptaan sajak kerana usianya. Lama atau baru bukan kriteria tersangkut hati. Dalam kes pantulan kali ini, sajak Hilmi Rindu, Wakaf Tembesu, Mac 2000, “Satu Percakapan Antara Detik dengan Malam” (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Mei 2000, muka surat 81, yang lebih menarik perhatian kerana tiba-tiba menjongol dalam rutin belekan harianku. Hampir dua dekad wujudnya, lapahan mutiara isu tidak pula mengusangkan butir fikirnya. Bahkan, selama itu lagi ke depan pun, hakikat ini tidak berobah. Sajak akan kekal menjadi sajak jika diukir dengan bijak.
Dua watak yang berdialog, masing-masing amat akur dengan tanggungjawab. Detik berdetikan tanpa renti. Tidak berundur pasti. Malam bersulaman pancaran sinar bulan atau gelematan tanpanya. Sampai bila-bila, mematuhi firman. Maka, kerana tiada kemungkaran membahuinya, lalu bersemaraklah hikmah dari tapisan minda tajam yang mencetuskan asyik pada minda-minda lain, yang mencari-cari keindahan untuk dikemam sedang hari melajak waktunya. Ia berbaloi.
Sungguh, dua rangkap itu sudah benar-benar cukup. Tidak ada sobekan lain diperlukan. Tidak perlu ada pilihan petikan untuk dinyatakan sebagai lebih baik daripada sebahagian yang lain. Setiap satu berdiri sehala demi menjadikan diksi-diksi itu berkembang menjelmakan sebuah lagi ciptaan yang benar-benar sebuah sajak.
Image may contain: text that says "Hilmi Rindu Satu Percakapan Antara Detik dengan Malam "Telah kubentangkan tubuhku yang sunyi dan dingin dalam ketenangan seribu mimpi maka tidurlah wahai detik sebelum pagi membuka mata, kata malam kepada detik. "Aku tak Tampu tidur kerana hadirku bukan untuk tidur hadirku bersama denyut kehidupan yang resah aku berpaut pada harapan dan meneliti setiap yang hilang meskipun sayapku basah meskipun paruh berdarah aku mampu bertahan dan melupakan segala perjuangan selain menyimpannya di rumah sejarah, kata detik pada malam. akaf Tembusu, Mac 2000."
Zulkifli Salleh, As Abbas and 18 others
2 comments
Like
Comment
Share

Comments

  • Salam. Alhamdulillah, terima kasih Dato' atas pantulan sajak ini.
    1
    • Like
    • Reply
    • 1 y
  • Benar sekali pantulan Dato' Ahmad Said ttg sajak2 PUISI Hilmi Rindu . Tahniah Hilmi Rindu (memberikan sumbangan Leo Dgn Buku PUISI)

    Pantulan A/01/02/2019: Sajak Leo A.W.S., “Yang Menyusukannya – Allahyarham. Kak Yah”

Spontan membaca lantaran melintasi dalam belekan harian terlontarlah reaksi.
Aku kira tidak salah bercerita tentang kematian apalagi ketika kini kita sendiri sudah menghampiri bahkan melepasi umur kelaziman mati. Barangkali, umur lewat enam puluhan, apalagi mendekati takah tujuh, sudah menjadi umur seseorang lazim mati. Tentu oleh pelbagai sebab seseorang mati. Kerana, mengidap kencing manis yang kronik, buah pinggang gagal berfungsi, barah meningkat ke tahap tinggi, dan serangan sakit jantung yang mendadak. Atas sebab-sebab ini, boleh sahaja sebab-sebab lain pun, kematian menghibakan. Meninggalkan impak yang beraneka. Bahkan boleh bertahap tragedi. Terutama bagi sedara-mara yang rapat – anak-anak paling utamanya.
Yang menjadi kelaziman juga, pada usia ‘tua’ seseorang sudah mulai hidup bersendirian (atau berduaan). Anak-anak sudah tidak tinggal bersama-sama lagi. Mereka telah mulai berdikari, kemudian membina keluarga masing-masing pula. Dan lazimnya juga, tinggal berjauhan. Pertemuan antara ibu bapa dan anak-anak hanya ‘berkala’ – ketika musim cuti, pada hari perayaan yang sememangnya terjadual. Lazimnya juga, pertemuan adalah dalam keadaan kegirangan.
Sajak, (
Leo Aws
) Leo A.W.S., “Yang Menyusukannya – Allahyarham. Kak Yah”, (Dewan Sastera, Januari 2000, muka surat 59) yang kupantulkan ini menarik lantaran Leo memilih suasana sebaliknya. Keadaan hiba, murung, sendu, kerana anak gadis kembali menziarahi ibu yang sudah arwah dalam “tulang dan kulit sahaja.” Tentulah gadis itu begitu sibuk, diandaikan bergelumang dengan pancaroba meraih rezeki di bandaraya. Ah, betapa menyentuh perasaan dua perkataan “akhirnya” dizahirkan, paling bermakna yang diletakkan pada awal-awalnya. Ia mencetuskan pentafsiran lebih mengarah keterbiaran dan penyesalan. Namun, barangkali anak ini tidak terlampau menganiayai ibunya kerana Leo menggunakan perkataan “solehin” menutup puisi ini.
Keberbauran unsur anak yang berjauhan dari kampung halaman lalu renggang dari ibu sendiri, sedangkan sekali gus ia masih tetap diisytiharkan “solehin” menjadikan kesan terakhir dari pembacaan mengendur. Tak mengapalah. Sebagai sebuah catatan, puisi ini berdiri merakam peristiwa yang berlaku di situ ketika itu.
Image may contain: text that says "Leo yang Menyusukannya Allahyarham. Kak Yah Akhirnya dia balik tatkala ibunya tengah dimandikan ibunya bukanlah ibu tinggal tulang dan kulit sahaja. Waris berziarah memapahnya meniti tali air bebatas sawah ke pondok berbelukar tebal hujung dusun tanah perkuburan. Esak sendunya dari kalbu tatkala ibunya akan dikebumikan ibunya dibidupkan semula yang melahir dan menyusukannya. Dia balik akhirnya sebagai gadis yatim piatu ibunya tetaplah ibu menadah doa si anak solehin. 24 Julai 1998."
Rismayanti Idris, As Abbas and 15 others
1 comment
Like
Comment
Share

Comments

  • Terima kasih atas pantulan banyak judul puisi2 Kita oleh "pengkaji/ sarjana puisi sejati" Dato' Ahmad Said; percayalah Kita sendiri tersendu membaca diam serta mengenang arwah Kak Yah & anakndanya satu2 yg Kita sendiri Ada di dlm kedua2 watak ibu & anak perempuannya; berbeza Kita adik lelaki arwah Kak Yah drp ibu yg sama si anak Solehah yatim piatu anak sdr sendiri (wajah ibu si gadis persisan wajah neneknya jika dia tahu .. si yatim piatu nan malang!)
    • Like

    Pantulan E/01/01/2019: Sajak Hashim Yaacob “Kota A Famosa”   

    Pada 31 Ogos 1993, Hashim Yaacob meruap-ruap amarahnya ketika berdepan dengan “Kota A Famosa”        (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Disember 1993, muka surat 34. Beliau lalu memahatkan geraman dendam     kesumatnya:

“Sesekali aku ke Melaka/bersemuka kota A Famosa/Hatiku panas membara/Aku robohkan kota celaka/dengan pancaran mata.”

Pengunjung prihatin sewajarnya begitu mendirikan sikap semasa. Ataukah, seseorang harus lebih mempamerkan tekad dan pelan tindakan yang lebih bijaksana dan nyata faedahnya? Kalaulah kita menerima hakikat, kota yang menimpakan sejarah malang bangsa ini bukan untuk dilawati sekadar menghibur hati kala bercuti, tentulah keramatnya tidaklah setakat tersenarai sebagai salah satu daripada banyak destinasi pelancongan dalam negeri.
Kota yang sedikit tersisa lagi ini, masih cukup untuk mengembalikan ingatan, lalu membangkitkan suatu erti iaitu malapetaka seraksasa menggempa 500 tahun dahulu seharusnya diupayakan tidak lagi berulang – dalam aneka kepelbagaian impaknya. Hanya dengan kesedaran yang lebih menepati sahaja sisa-sisa tinggalan itu baharu benar-benar memanfaatkan generasi terkini.
NOTA: Ruangan “Persada Puisi”, Dewan Sastera, Jun 1994, memuatkan lapan buah puisi Hashim Yaacob, “Tolong Aku Ayah, Tolong Aku Ibu”, “Aku Hanya Mahu ke Seberang”, “Luka di Jari Kaki”, “Hutangku Seluas Laut Biru (Buat Sri Nurestri)”, “Aku Umpama Debu”, “Pesan Mama”, “Orang Tua Pak Dogol”, dan “Bila Tiba Saatnya”, muka surat 82-84.