Thursday, 3 December 2020

    Pantulan E/01/01/2019: Sajak Hashim Yaacob “Kota A Famosa”   

    Pada 31 Ogos 1993, Hashim Yaacob meruap-ruap amarahnya ketika berdepan dengan “Kota A Famosa”        (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Disember 1993, muka surat 34. Beliau lalu memahatkan geraman dendam     kesumatnya:

“Sesekali aku ke Melaka/bersemuka kota A Famosa/Hatiku panas membara/Aku robohkan kota celaka/dengan pancaran mata.”

Pengunjung prihatin sewajarnya begitu mendirikan sikap semasa. Ataukah, seseorang harus lebih mempamerkan tekad dan pelan tindakan yang lebih bijaksana dan nyata faedahnya? Kalaulah kita menerima hakikat, kota yang menimpakan sejarah malang bangsa ini bukan untuk dilawati sekadar menghibur hati kala bercuti, tentulah keramatnya tidaklah setakat tersenarai sebagai salah satu daripada banyak destinasi pelancongan dalam negeri.
Kota yang sedikit tersisa lagi ini, masih cukup untuk mengembalikan ingatan, lalu membangkitkan suatu erti iaitu malapetaka seraksasa menggempa 500 tahun dahulu seharusnya diupayakan tidak lagi berulang – dalam aneka kepelbagaian impaknya. Hanya dengan kesedaran yang lebih menepati sahaja sisa-sisa tinggalan itu baharu benar-benar memanfaatkan generasi terkini.
NOTA: Ruangan “Persada Puisi”, Dewan Sastera, Jun 1994, memuatkan lapan buah puisi Hashim Yaacob, “Tolong Aku Ayah, Tolong Aku Ibu”, “Aku Hanya Mahu ke Seberang”, “Luka di Jari Kaki”, “Hutangku Seluas Laut Biru (Buat Sri Nurestri)”, “Aku Umpama Debu”, “Pesan Mama”, “Orang Tua Pak Dogol”, dan “Bila Tiba Saatnya”, muka surat 82-84.



No comments:

Post a Comment