Pantulan D/01/03/2019: Sajak Hilmi Rindu, “Satu Percakapan Antara Detik dengan Malam” - Hakikat Sejarah
Sampai sekarang pun
Mohd Abdullah
masih berterusan menukang sajak. Ada sepuhan cungkilan mental yang teliti dalam ciptaan-ciptaan beliau. Terhurai makna dengan kesenian yang unik, sekali gus mencengkam minda penelaah. Maka tidak harus kita terkejut kalau beberapa hari lepas pun Hilmi terpilih lagi menerima hadiah menukang sajak peringkat kebangsaan. Berdekad-dekad keupayaan Hilmi terbukti. Berkali-kali.Aku pula tidak terikat melihat dan mengamati sesuatu ciptaan sajak kerana usianya. Lama atau baru bukan kriteria tersangkut hati. Dalam kes pantulan kali ini, sajak Hilmi Rindu, Wakaf Tembesu, Mac 2000, “Satu Percakapan Antara Detik dengan Malam” (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Mei 2000, muka surat 81, yang lebih menarik perhatian kerana tiba-tiba menjongol dalam rutin belekan harianku. Hampir dua dekad wujudnya, lapahan mutiara isu tidak pula mengusangkan butir fikirnya. Bahkan, selama itu lagi ke depan pun, hakikat ini tidak berobah. Sajak akan kekal menjadi sajak jika diukir dengan bijak.
Dua watak yang berdialog, masing-masing amat akur dengan tanggungjawab. Detik berdetikan tanpa renti. Tidak berundur pasti. Malam bersulaman pancaran sinar bulan atau gelematan tanpanya. Sampai bila-bila, mematuhi firman. Maka, kerana tiada kemungkaran membahuinya, lalu bersemaraklah hikmah dari tapisan minda tajam yang mencetuskan asyik pada minda-minda lain, yang mencari-cari keindahan untuk dikemam sedang hari melajak waktunya. Ia berbaloi.
Sungguh, dua rangkap itu sudah benar-benar cukup. Tidak ada sobekan lain diperlukan. Tidak perlu ada pilihan petikan untuk dinyatakan sebagai lebih baik daripada sebahagian yang lain. Setiap satu berdiri sehala demi menjadikan diksi-diksi itu berkembang menjelmakan sebuah lagi ciptaan yang benar-benar sebuah sajak.

No comments:
Post a Comment