Pantulan A /01/04/2019: Sajak Darma Muhammad, “Bila Kau Dewasa” - Berdikari mewarisi
Sajak Darma Muhammad, “Bila Kau Dewasa”, Al Islam Mei 1976, muka surat 47, hanya setengah jengkalku panjangnya. Ia pun tidak sukar dimengerti; setiap patah diksi, setiap kalimat, dan setiap rangkap. Tetapi sebagai sebuah sajak yang berdiri padu ia mencetuskan kemungkinan penghuraian yang subur – seselira pentelaahnya, sama ada ingin berterusan panjang atau pendek, seadanya. Hanya kalau dipilih penghuraian pendek, sependek mana dikira memadai untuk merangkumkan kekuatan mesejnya itu? Oleh sebab adanya pilihan demikian, aku kira sajak ini seharusnya dirungkai halusi berisi. Sekurang-kurangnya, inti utamanya tidak terlepas. Jangan tercicir patinya. Agar dikutip oleh kebanyakan penggemar mutiara minda.
Maka bertuahlah, kalau sebagai anak kita diperingatkan dengan nasihat-nasihat, yang boleh memandu tingkah percaturan hidup. Hakikatnya, usia yang muda meruangkan jangka hayat yang lebih panjang berbanding mereka yang lebih dahulu ‘makan garam’. Malanglah kalau anak membesar kemudian dewasa lalu perlu berdikari dengan tiada petua untuk dirujuk ketika berdepan dengan persoalan bertaraf hidup mati. Pengetahuan, ilmu, kemahiran boleh jadi mudah diraih. Relatifnya. Namun kematangan adalah bersumberkan pengalaman. Dan, orang tua merasai senang riang pahit maung lebih dahulu. Pencerahan dan pencurahan hikmah suatu tindakan bijaksana. Remaja wajar mensyukuri kerana petua itu bakal membantunya mara ke depan. Setidak-tidaknya hikmah warisan itu menjadi alternatif atau perbandingan dalam proses pendewasaan. Ia boleh dianggap tangkal berharga melerai permasalahan sebelum memutuskan pendekatan terbaik pada akhirnya.
Aku sebenarnya tercuit oleh kemurahatian Darma meng“hadiahkan sebuah dunia”… “dengan cinta dan kata-kata” kepada anaknya. Bahawa, baharulah disedari, sebagai ibu atau bapa, kita sebenarnya bertuah kerana memiliki ‘kekayaan’ itu. Yang lazimnya kekayaan itu tidak disedari ramai orang. Kemurahan hati ini benar-benar mencungkil keinsafan. Sekali gus terpamer keeratan hubungan yang semestinya terpadu likat di antara ibu bapa dan anak mereka.
Bahawa kehidupan tidak menjamin laluan perjalanan dan hujungan yang sama kepada semua orang. Ini adalah kenyataan, walaupun anak-anak diasuh oleh ibu bapa yang sama. Sudah tentu, ayah dan ibu yang sedang berbahagia mengharapkan kesejahteraan yang lebih atau setara dinikmati anak-anak berbanding dengan yang dilalui mereka sendiri. Namun, persediaan, cabaran, sekitaran, bahkan takdir menjadikan langkah-langkah perjalanan seseorang bakal berlainan menuju matlamat.
Kalaulah seseorang anak memanfaati asuhan yang diterima di samping menyelami, menghargai dan menjadikan perjuangan ibu bapanya, sebagai teladan dan iktibar, ia sebenarnya tidaklah tercampak ke alam dewasa meraba-raba dalam kesesatan.

No comments:
Post a Comment