Thursday, 3 December 2020

    Pantulan U/01/01/2020: Hashim Yaacob, Aku Hanya Mahu Ke Seberang (2008), kumpulan puisi , puisi        misali

Dalam beg sandangku memang tersedia tiga buah buku. Kalau perlu ia boleh kubaca apabila masa meluangkan. Mana-mana satu atau satu persatu. Dan masa itu jadi terluang. Alat radiotrapi di PMUM tergendala berfungsi sehingga urusan yang boleh selesai dalam masa 40 minit jadi berjam-jam. Kuharus menanti. Entahkan bila pulih dibaiki tiada jaminan muktamad petugas urusan temujanji.
Maka, kucapailah Aku Hanya Mahu Ke Seberang, kumpulan puisi Hashim Yaacob, 2008. Ia sebuah buku comel mengandungi 77 buah puisi. Kata Pengantar ditulis kritis berseni oleh A. Samad Said, karyawan bestari. Penilaian beliau cukup meyakinkan untuk sesiapa membaca selanjutnya menyusuli.
Aku sendiri pernah menikmati puisi-puisi Hashim. Juga, ulasan-ulasan orang lain terhadap bakat kepuisiannya kubaca rapi. Terakhir sekali ketika membelek Dewan Sastera, Disember 1993, sajak beliau “Kota A Famosa” mencekup minatku sampai bukan ‘friend’ pun berjaya mempengaruhiku menulis pantulan singkat (Pantulan A /01/04/2019: Berdikari mewarisi bertarikh 18 Disember 2019) . Begitulah Hashim dengan pukauan sajak-sajaknya, kusentuh sipi, sekadar mengiktiraf kebolehan cemerlang personaliti tidak banyak seperti.
Dan, dalam menunggu tadi, sempat kubaca santai 34 sajak. Staf Radiotrapi datang memberitahu urusan radiotrapi R tidak dapat diteruskan. Kami dinasihati pulang menunggu arahan di rumah. Kerana ia dekat. Solat Jumaat pun menghampiri. Sebagai pemandu dan pengiring R aku akur masa yang terluang.
Tetapi, sajak-sajak itu, bermula dengan “Aku Hanya Mahu ke Seberang” sampai “Anak Mas, Pulanglah”, memukau tetap serupa dan merata. Seperti ketika dia memukauku di ujung tahun lalu itu, pada pantulan 2019. Ya,setiap satu sajak-sajak itu.
Memang dia seorang pereka puisi yang sejati. Bahasanya mudah tapi bernilai tinggi. Idenya biasa tetapi sepenuhnya sarat berinti. Sepuhan pengalaman peribadi tergembleng sebati menyerlahkan celekan budaya tradisional cendekiawan berpendidikan dan berjawatan tinggi. Pandai sungguh ia mencungkil pengalaman hidup, merenungnya berintelekan mencetus kesan yang memperkayakan deria kepuisian sesiapa pun pembicara. Pendek kata, kemahiran berpuisinya saling tak tumpah seperti dalam bidang pergigian yang dikerjayai beliau ke puncak institusi unggulan.
Kukira tidak adil untuk memilih hanya satu, mengutamakan sajak tertentu kerana yang lain-lain pun begitu. Setara mutu. Semuanya sajak-sajak yang benar-benar sajak.
Namun, sejauh berupaya ditulis di laman, aku paling terkesan dengan penutupan sajaknya “Empat Puluh Tahun Bersama Ayah” (bertarikh 1993). Dengan rumusan pengalaman kehidupan yang terburai permai walau melalui dua setengah halaman, kalimat-kalimat penamat sajak ini mengharukan.
Dalam mengenang jasa ayahnya, Hashim menayangkan: “Kucium tangan ayah/dengan hujan/yang turun dari kelopak mataku.” Bakti peribadi itulah (dan ibunya) yang mengelakkan Hashim daripada menurun mewarisi kerjaya sebagai penoreh. Sekali gus pula, penghargaan itu memanikkan mataku pula kerana aku tahu sumbangan jasa kedua-dua ayah dan makku sendiri sampai aku selesa seperti sekarang ini.
Kumpulan puisi ini berdasarkan naskhah terbitan Pekan Ilmu Publications Sdn. Bhd. Ia naskhah ulang cetak pada tahun 2008. Cetakan pertama ialah pada tahun 2003. Naskhah ini pun ada di dalam koleksiku. Sebuah lagi kumpulan puisi ini, terbitan Task Global (M) Sdn. Bhd. adalah edisi cetakan yang lebih awal iaitu pada tahun 2001.
Tidak mengapa memiliki semuanya. Wujud wajah naskhah-naskhah ini berlainan. Setiap satu wajar dikutip menjadi koleksi bernilai tinggi untuk suatu tempoh yang zamani.
Image may contain: one or more people and text
Leo Aws, Ahmad David Kholilurrahman and 12 others
2 comments
1 share
Like
Comment
Share

Comments

View 1 more comment

No comments:

Post a Comment